KEUPAYAAN MacBook Pro menerusi cip M3 Max membolehkan laptop ini diiktiraf sebagai ‘raja’ segala peranti.
KEUPAYAAN MacBook Pro menerusi cip M3 Max membolehkan laptop ini diiktiraf sebagai ‘raja’ segala peranti.
Muhammad Saufi Hassan


TAHUN 2023 memperlihatkan keupayaan cip pemproses bagi kelas peranti atau 'laptop' produktiviti serta prestasi tinggi, sekali gus memberikan keupayaan lebih baik kepada pengguna.

Sebut saja laptop prestasi tinggi ini, pastinya penugasan seperti animasi, suntingan video resolusi tinggi sehingga kepada tugas pengekodan serta perisian tiga dimensi (3D).

Semua perisian berkenaan memerlukan keupayaan laptop yang sangat baik kerana ia memerlukan spesifikasi khusus untuk melancarkan perisian terbabit.

Seperti minggu lalu, #ITMetro menyenaraikan lima laptop prestasi tinggi terbaik untuk 2023 dan ini adalah laptop 'juara terbaik dalam semua juara'.

Laptop Prestasi Tinggi Terbaik 2023: MacBook Pro 2023 (Cip M3 Max)

Tatkala menyentuh berkenaan laptop atau peranti prestasi tinggi terbaik, rata-rata mengguna memilih produk keluaran Apple khususnya peranti 'raja' mereka iaitu MacBook Pro 2023 dengan cip pemproses terkini iaitu M3 Max.

Cip berkenaan memberi daya baharu kepada keseluruhan pengalaman kepenggunaan, sekali gus menterjemahkan semula erti kata penugasan kompleks terbabit.

Menerusi peranti ini, pengguna boleh melaksanakan pembinaan model 3D dengan pengubahsuaian masa nyata tanpa perlu menunggu untuk 'rendering' atau sebagainya.

Walaupun model 3D berkenaan bersifat terlalu kompleks, namun ia tidak menjadi masalah untuk MacBook Pro 2023 ini memberikan 'persembahan' terbaiknya.

Setakat ini, tiada peranti yang mampu menandingi MacBook Pro dan peranti ini selayaknya digelar sebagai 'raja'.

Laptop Permainan Keseluruhan Terbaik 2023: Lenovo Legion Pro 7i

Penulis tidak perlu untuk 'sakit kepala' melakukan timbang tara untuk kategori ini kerana pemenangnya adalah jelas iaitu Lenovo Legion Pro 7i.

Untuk kategori kelas permainan keseluruhan terbaik ini, pemenangnya adalah jelas iaitu milik peranti ini yang menawarkan kuasa spesifikasi terbaik berbanding pencabar yang lain.

Cip pemproses Intel Core sehingga i9-13900HX serta pemilihan kad grafik bermula RTX 4070, RTX 4080 dan RTX 4090 serta padanan RAM melebihi 32GB DDR5 memberikan kuasa yang tiada taranya.

Menerusi laptop ini, pengguna boleh melakukan penetapan kesan grafik tahap ultra tanpa sebarang masalah.

Laptop Permainan Terbaik 2023: Dell XPS 17

Untuk pengalaman permainan, skrin yang besar adalah satu kelebihan di samping spesifikasi terkini.

Menerusi Dell XPS 17, kuasa sebenar diperoleh menerusi cip pemproses antara Intel Core i7-13700H atau Intel Core i9-13900H yang dipadankan bersama memori (RAM) sehingga 64GB.

Binaan storan SSD 1TB atau sehingga 8TB juga memberi kelebihan kepada pengguna sama ada untuk bermain sebarang genre permainan atau melaksanakan tugasan kompleks.

Padanan cip grafik Nvidia GeForce RTX4070 juga memberikan pengalaman permainan yang sangat baik.

Laptop Kelas Hibrid (Permainan dan Produktiviti) Terbaik 2023: Predator Helios Neo 16

Menerusi tanda harga yang mampu milik, Predator Helios Neo 16 adalah laptop hibrid terbaik.

Ini bermaksud laptop ini mampu melancarkan permainan dan penugasan produktiviti tanpa sebarang masalah.

Kebanyakan pengguna memilih laptop ini kerana tanda harga yang mampu milik di samping keupayaan spesifikasi yang sepadan dengan tanda harganya.

Maka tidak hairan ini laptop hibrid yang menjadi pilihan ramai dan kekuatan laptop ini terletak pada keupayaan skrin paparan yang sangat menarik serta jelas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2023 @ 5:00 PM