TIKTOK boleh diibaratkan sarang segala bentuk video berunsur fitnah, mengelirukan dan isu sensitiviti.
TIKTOK boleh diibaratkan sarang segala bentuk video berunsur fitnah, mengelirukan dan isu sensitiviti.
Muhammad Saufi Hassan

Pengendali aplikasi video popular, TikTok mengulangi pendiriannya untuk mengambil langkah proaktif bagi menangani isu yang dibangkitkan beberapa pihak berkuasa di negara ini khususnya berkenaan penyebaran berita palsu dan sebagainya.

Jurucakap platform itu menyatakan bahawa TikTok komited untuk mematuhi peraturan di negara ini, sekali gus isu yang berkaitan dapat ditangani secara bersama.

"TikTok menghormati undang-undang dan peraturan tempatan serta komited mengambil langkah proaktif untuk menangani isu yang dibangkitkan," katanya.

Pada masa sama, TikTok sudahpun menganjurkan mesyuarat dengan pengawal selia komunikasi Malaysia untuk menunjukkan komitmennya.

Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, TikTok tidak berusaha secukupnya untuk membendung kandungan fitnah atau mengelirukan di platformnya.

Fahmi berkata, firma media sosial itu gagal mematuhi beberapa undang-undang tempatan.

Beliau berkata, TikTok juga perlu menangani isu berkaitan pengedaran kandungan dan pembelian pengiklanan berikutan aduan daripada perniagaan, orang awam dan agensi media.

FAHMI melihat TikTok tidak berusaha secukupnya membendung kandungan fitnah.
FAHMI melihat TikTok tidak berusaha secukupnya membendung kandungan fitnah.

TikTok yang dimiliki firma China ByteDance, mengalami tekanan di Asia Tenggara selepas keputusan Indonesia minggu lalu untuk menghentikan urus niaga di platformnya berikutan larangan e-dagang di media sosial dan siasatan Vietnam terhadap kandungan berbahaya pada aplikasinya.

Malaysia sejak beberapa bulan kebelakangan ini mengekang kandungan dalam talian yang menyentuh kaum, agama dan kandungan sensitif yang lain.

Beberapa minggu lalu, #ITMetro ada membincangkan isu 'bahaya beg kuning' yang sinonim dengan nama jolokan platform penjualan di TikTok.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata, TikTok seharusnya akur dengan setiap perundangan yang sudah termaktub di negara ini dan ikhlas untuk berkongsi dengan agensi atau pihak berkuasa.

SIRAJ
SIRAJ

"Kita boleh katakan bahawa TikTok ini sarang segala bentuk video berunsur fitnah, mengelirukan, isu sensitiviti dan sebagainya.

"Seharusnya TikTok prihatin berkenaan keadaan dan norma masyarakat setempat serta mengambil langkah proaktif menyekat atau mengurangkan kandungan berkenaan, namun mereka tidak ikhlas berusaha ke arah itu.

"Platform video pendek itu seharusnya kondusif untuk semua peringkat usia, namun platform itu menjadi tempat pengumpulan segala bentuk berita termasuk berunsur fitnah dan mengelirukan," katanya.

Menyentuh soal 'beg kuning,' Siraj berkata, Indonesia melihat bahawa wujud masalah yang dominan dalam platform jual beli TikTok seperti penjualan barang tiruan yang mengancam pemilik cap dagang.

"Masalah sama turut berlaku di negara ini, kita bukan menafikan hak mereka untuk berurus niaga, namun perlu ada prosedur dan perundangan yang perlu dipatuhi.

"Jika tidak, saya berasakan Malaysia juga perlu mengambil langkah drastik seperti Indonesia dengan mengharamkan urus niaga beg kuning berkenaan demi menjaga segmen yang lebih besar serta dominan," katanya.

WUJUD gesaan supaya kerajaan menghentikan operasi TikTok di negara ini.
WUJUD gesaan supaya kerajaan menghentikan operasi TikTok di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2023 @ 7:01 AM