Siti Aminah Mohd Yusof


Bayan Lepas: Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Komunikasi berhubung isu pemilikan akaun TikTok oleh kanak-kanak berusia bawah 13 tahun.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya perlu memohon penyelarasan daripada Kementerian Komunikasi sebelum mengeluarkan sebarang garis panduan membabitkan golongan berkenaan.

"Itu kita minta penyelarasan daripada Menteri Komunikasi (Fahmi Fadzil) memandangkan saya fikir, saya memerlukan maklumat dan pedoman daripada beliau supaya kita juga boleh tengok kesan dan impaknya kepada anak-anak kita.

"Saya pasti ada garis panduan yang perlu dipatuhi bagi memastikan kawalan itu berlaku khususnya daripada ibu bapa," katanya selepas menghadiri majlis apresiasi Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Daerah Barat Daya dan Timur Laut, di sini, hari ini.

Terdahulu, Fadhlina menyampaikan Anugerah Kanak-Kanak Cemerlang Tabika Kemas Daerah Barat Daya dan Timur Laut kepada 107 penerima dengan seramai 824 kanak-kanak menerima sijil graduasi masing-masing.

FADHLINA (tengah) beramah mesra dengan anak-anak di Dewan Seri Mutiara Raia Inn Pulau Pinang. FOTO Danial Saad
FADHLINA (tengah) beramah mesra dengan anak-anak di Dewan Seri Mutiara Raia Inn Pulau Pinang. FOTO Danial Saad

Jumaat lalu, Fahmi dilaporkan berkata, isu pemilikan akaun TikTok oleh kanak-kanak bawah usia 13 tahun antara isu dipertimbang untuk diutarakan kepada pengurusan platform media sosial terbabit.

Menurutnya, terdapat sedikit kerisauan berhubung pemilikan akaun TikTok oleh golongan terbabit selain garis panduan komuniti media sosial terbabit menyatakan kanak-kanak bawah usia 13 tahun tidak dibenarkan untuk membuka akaun di platform itu.

Fahmi turut memaklumkan beliau akan berbincang dengan Jabatan Peguam Negara jika perlu mengambil tindakan perundangan terhadap pengurusan TikTok berhubung pemilikan akaun oleh kanak-kanak seperti yang dilakukan negara lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2024 @ 12:58 PM