PENYEDIA kandungan perlu lebih bertanggungjawab dalam menyediakan atau mencipta satu video kreatif.
PENYEDIA kandungan perlu lebih bertanggungjawab dalam menyediakan atau mencipta satu video kreatif.
Muhammad Saufi Hassan


YOUTUBER, Tiktokers dan beberapa lagi gelaran untuk penyedia kandungan video digital sudah menjadi trend kerjaya baharu dalam kalangan anak muda.

Menerusi platform berkenaan, seseorang penyedia kandungan yang berjaya mampu untuk meraih pendapatan lumayan sehingga menjangkau enam angka bagi saluran yang mendapat jumlah tontonan serta pelanggan yang ramai.

Namun, wujud juga segelintir penyedia kandungan yang tidak bertanggungjawab dengan lebih mementingkan jumlah tontonan sehingga mengabaikan tanggungjawab untuk menyampaikan sesuatu bentuk kandungan kreatif berasaskan fakta.

Ini termasuk menyampaikan atau mencipta video yang tidak mempunyai kebenaran mengenai sesuatu isu sehingga mampu untuk mencetuskan situasi panik dalam kalangan penonton dan masyarakat.

Ia sekali gus mencetuskan persoalan adakah penyedia kandungan memerlukan suatu badan yang membolehkan setiap video digital dikawal selia atau cukup sekadar perundangan sedia ada.

Bagi Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berpandangan bahawa setiap penyedia kandungan perlu memikul tanggungjawab termasuk etika ketika mencipta satu video kreatif.

"Saya lihat ada kalangan penyedia kandungan yang benar-benar ikhlas dalam penyampaian mereka termasuk memberikan 1,001 pengajaran menerusi hasil kreatif mereka namun wujud juga segelintir yang tidak sebegitu.

"Ada segelintir penyedia kandungan yang lebih cenderung untuk meraih populariti saja dengan menampilkan video kreatif dengan pemakaian yang mencolok mata bagi wanita semata-mata untuk meraih jumlah tontonan.

TINDAKAN hanya mengejar jumlah tontonan akan memberi kesan negatif dalam jangka panjang.
TINDAKAN hanya mengejar jumlah tontonan akan memberi kesan negatif dalam jangka panjang.

"Tidak kurang juga segelintir penyedia kandungan yang menyajikan video tidak bermoral termasuk pengucapan yang tidak tertib dengan penggunaan bahasa kasar dan sebagainya,

" katanya ketika ditemui #ITMetro, semalam.

Menurutnya, setiap pencipta kandungan perlu sedar bahawa video yang dihasilkan ditonton oleh semua lapisan masyarakat termasuk golongan kanak-kanak yang mudah terpengaruh dengan sesuatu bahan.

MENJADI Youtuber, Tiktokers atau sebarang bentuk pereka kandungan video digital sudah menjadi trend kerjaya pada masa kini.
MENJADI Youtuber, Tiktokers atau sebarang bentuk pereka kandungan video digital sudah menjadi trend kerjaya pada masa kini.

"Mereka (penyedia kandungan) perlu memikul etika yang betul kerana video mereka ditonton oleh semua lapisan daripada peringkat dewasa sehingga kepada kanak-kanak.

"Kita tidak mahu golongan kanak-kanak ini terpengaruh dengan bahan yang berbentuk negatif termasuk penggunaan laras bahasa yang tidak kena pada tempatnya.

"Ia akan mengundang mudarat pada tempoh masa panjang jika dibiarkan tanpa sebarang pengawasan. Saya rasa cukup untuk setiap penyedia kandungan sedar tanggungjawab mereka, ia sudah memadai," katanya.

Beliau turut mengharapkan bahawa penyedia kandungan lebih sensitif dengan kandungan video yang dihasilkan supaya
semua pihak memperoleh manfaat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mac 2021 @ 7:01 AM