Noorazura Abdul Rahman


Yan: Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan alasan akaun TikTok beliau disekat seperti yang dimaklumkan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil sebagai tidak munasabah.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) berkata, tiada sebarang kandungan senjata seperti kapak dan keris yang pernah dipaparkan di akaun TikTok beliau sebelum ini sehingga dikatakan menonjolkan kandungan berkenaan sebagai ugutan jenayah.

"Saya sudah semak tak ada pun, bukan (saja) kapak, minyak cap kapak pun tak ada, pasal apa nak bubuh (gambar) kapak, tak ada punca ini.

"Cuba diberi gambaran keganasan, kapak dengan keris. Nampak tak? Ha itu kepala otak depa (mereka), ingat kita tak tau. Simple sangat pikiaq (fikir) itu. Pikiaqlah canggih sikit apa bubuh kapak, minyak cap kapak boleh juga guna pening-pening kepala. Tak munasabah langsung," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan Geran dan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) bagi Daerah Yan di Guar Chempedak, di sini, hari ini.

Semalam media melaporkan Fahmi dipetik berkata, paparan kapak dan keris menjadi punca akaun rasmi Muhammad Sanusi disekat TikTok baru-baru ini.

Katanya, paparan itu jelas melanggar garis panduan komuniti platform media sosial itu seakan-akan menonjolkan ugutan jenayah.

Pada Sabtu lalu Akaun TikTok rasmi Muhammad Sanusi disekat sebelum ia boleh diakses semula dua hari kemudian.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi alasan yang diberikan Fahmi itu seperti tidak cekap.

"Tak tau menteri kita ni, apalah nak jadi Malaysia ni ada menteri macam ni.

"Saya harap bala ni cepat-cepatlah diangkat oleh Allah SWT. Dapat menteri tak competent (cekap). Menteri hangpa lah," katanya.

MUHAMMAD Sanusi ketika sidang media selepas Majlis Penyampaian Geran dan Lesen Pendudukan Sementara Daerah Yan. FOTO Syaharim Abidin
MUHAMMAD Sanusi ketika sidang media selepas Majlis Penyampaian Geran dan Lesen Pendudukan Sementara Daerah Yan. FOTO Syaharim Abidin

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2023 @ 3:22 PM