Muhammad Saufi Hassan

 

 

Platform carian enjin terbesar, Google memperkenalkan gelombang inovasi kecerdasan buatan (AI) generatif seterusnya merentas bidang teras perniagaannya.

   Pembangun dan perniagaan kini boleh mencuba API dan produk baharu yang memudahkan pembinaan model AI terbaik Google secara selamat dan berskala melalui Google Cloud dan persekitaran prototaip baharu yang dipanggil MakerSuite.

  Dalam Google Workspace, syarikat berkenaan memperkenalkan ciri baharu yang membantu para pengguna memanfaatkan kuasa AI generatif untuk mencipta, berhubung dan bekerjasama.

  Ketua Pegawai Eksekutif Google Cloud, Thomas Kurian berkata, kejayaan dalam AI generatif secara asasnya mengubah cara orang ramai berinteraksi dengan teknologi.

  "Kami membangunkan model bahasa besar secara bertanggungjawab supaya kami boleh memperkenalkannya dalam produk-produk kami dengan selamat.

  "Matlamat kami adalah untuk terus berani dan bertanggungjawab dalam pendekatan kami dan bekerjasama dengan pihak-pihak lain untuk menambah baik model AI kami supaya ia selamat dan berguna untuk semua orang.

  "Kami teruja dengan potensi AI generatif dan peluang yang akan dibukanya daripada membantu orang ramai mengekspresikan diri mereka secara kreatif, kepada membantu para pembangun membina jenis-jenis aplikasi baharu, kepada mengubah cara perniagaan dan kerajaan melibatkan pelanggan dan konstituen mereka," katanya.

  Bagi pembangun yang ingin membina aplikasi generasi seterusnya dengan AI generatif, Google memperkenalkan antara muka pengaturcaraan aplikasi (API) PaLM, tawaran baharu yang memudahkan dan selamat untuk bereksperimen dengan model bahasa besar terbaik Google.

  Google menyediakan model yang cekap, dari segi saiz dan keupayaan dan saiz-saiz lain akan ditambah tidak lama lagi.

  API juga dilengkapi dengan alat intuitif yang dipanggil MakerSuite, yang membolehkan pembangun membuat prototaip idea dengan cepat dan daripada semasa ke semasa akan mempunyai ciri untuk kejuruteraan segera, penjanaan data sintetik dan penalaan model tersuai serta semuanya disokong oleh alat keselamatan yang teguh.

 

 

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2023 @ 3:20 PM