Muhammad Saufi Hassan

 

Syarikat gergasi teknologi, Apple hari ini mengumumkan untuk mengadakan Persidangan Pembangunan Sedunia (WWDC) bermula 7 hingga 11 Jun depan menerusi kaedah atas talian.

  Ia adalah satu persidangan tahunan yang dianjurkan Apple untuk semua pembangun aplikasi bagi memberikan gambaran jelas berhubung semua sistem operasi Apple.

  Terdapat lima sistem operasi yang digunakan oleh peranti keluaran Apple iaitu iOS, iPadOS, macOS, watchOS dan tvOS.

  Penganjuran persidangan WWDC 2021 (WWDC21) itu juga memberi peluang kepada pembangun aplikasi serta perisian bagi melihat teknologi baharu, perkakasan dan kerangka untuk membina platform yang inovatif kepada pengguna.

  Naib Presiden Bahagian Hubungan Pemaju dan Pemasaran Perusahaan serta Pendidikan Seluruh Dunia Apple, Susan Prescott berkata, pihaknya teruja dengan penganjuran berkenaan untuk memberi pendedahan kepada teknologi baharu.

  "Kami gembira dapat mempertemukan pemaju pada setiap tahun di WWDC untuk belajar mengenai teknologi terkini dan menghubungkan dengan jurutera Apple.

  "Apple berusaha untuk menjadikan WWDC21 yang terbesar serta terbaik," katanya menerusi satu kenyataan akhbar sebentar tadi.

  Pada masa sama, Apple akan meneruskan tradisi untuk terus menyokong golongan pelajar menerusi Cabaran 'Swift Student'.

  Ia adalah cabaran untuk pelajar membuat pemandangan interaktif di taman permainan Swift dalam durasi tiga minit.

 

 

#kw Apple, WWDC21

 

 

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 11:30 AM