ROG memperkenalkan dua laptop daripada siri Strix SCAR dan Strix G. FOTO ihsan ROG
ROG memperkenalkan dua laptop daripada siri Strix SCAR dan Strix G. FOTO ihsan ROG
Muhammad Saufi Hassan


Jenama kelas permainan terkemuka, Asus menerusi Republic of Gamers (ROG) memperkenalkan barisan dua laptop baharu daripada siri Strix SCAR dan Strix G.

Menerusi pengenalan baharu itu juga, peranti berkenaan didatangkan dengan cip pemproses daripada AMD serta Intel bersama-sama padanan memori (RAM) DDR5.

Bagi laptop ROG Strix SCAR, ia didatangkan dengan versi Windows 11 bersama-sama padanan Intel Core i9 Generasi ke-12 iaitu i9-12900H yang dipadankan bersama NVIDIA GeForce RTX Siri 3000.

Struktur memori generasi baharu yang boleh ditala sehingga 4,800MHz dan sistem storan memori PCIe Gen 4x4 SSD sekali gus melicinkan setiap tugasan.

Sistem dedikasi pertukaran MUX berupaya memberikan prestasi serta jangka hayat yang lebih baik kepada laptop ini apabila berfungsi secara automatik menukar sistem unit pemproses grafik (GPU) dengan integrasi pemproses.

Model baharu Strix SCAR menawarkan prestasi lebih baik sebanyak 15 peratus dan pengguna boleh menukar kefungsian hibrid kepada laptop jika mahu mengutamakan jangka hayat bateri.

Bagi laptop Strix G15 dan G17 dikuasakan dengan pemproses AMD Ryzen 9 6900HX bersama kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3080Ti.

Pengguna juga tidak perlu bimbang berhubung suhu laptop terutamanya untuk tugasan kompleks memandangkan ROG sudah menaiktaraf  menerusi sistem penyejukan pintar.

Generasi Strix SCAR sudah menggunakan sistem konduktor haba daripada Thermal Grizzly untuk penyelesaian haba pada tahap paling minimum.

Konduktor haba berkenaan mampu memberikan perbezaan suhu rendah sehingga 15 darjah Celcius berbanding sebelum ini.

Untuk resolusi pula, Strix SCAR 17 pada 1080p menawarkan kadar segar semula 360Hz bersama kadar tindak balas 3ms.

Bagi resolusi QHD pula, SCAR berupaya untuk memberi bacaan kadar segar semula 165Hz hingga 240Hz.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Februari 2022 @ 2:50 PM