PERANTI stereo tanpa wayar Huawei FreeBuds 4i turut tawar sokongan pembatalan hingar aktif.
PERANTI stereo tanpa wayar Huawei FreeBuds 4i turut tawar sokongan pembatalan hingar aktif.
Muhammad Saufi Hassan

Peranti stereo tanpa wayar atau 'True Wireless Stereo' sudah menjadi semakin popular dalam kalangan pengguna kerana ia bukan saja sebagai aksesori sebaliknya keperluan harian.

Biarpun ia sekadar fon telinga tanpa wayar, namun kebanyakan pengguna hari ini sudah menggunakan bukan saja untuk mendengar muzik sebaliknya memudahkan tatkala persidangan video dilakukan.

Untuk itu, Huawei FreeBuds 4i adalah jawapannya kerana ia bukan saja 'mesra poket' sebaliknya menawarkan prestasi kualiti bunyi yang baik termasuk sokongan pembatalan hingar aktif.

Jika menyentuh soal TWS ini, pastinya fungsi pembatalan hingar aktif atau 'active noise cancellation' sangat penting supaya bunyi yang terhasil oleh fon telinga lebih jelas.

Jika pengguna tidak mempunyai peranti Huawei, tidak perlu bimbang kerana ia masih boleh dipadankan menerusi telefon pintar Android yang lain.

Penulis menguji Huawei FreeBuds 4i ini untuk mendengar muzik, mendengar persidangan video serta untuk tujuan riadah bagi menguji aspek kualiti bunyi sehingga kepada jangka hayat bateri.

Secara keseluruhannya, ia adalah sebuah TWS yang baik untuk dimiliki oleh pengguna terutamanya bagi sesiapa yang sering bergerak daripada satu lokasi ke lokasi lain.

FREEBUDS 4i menawarkan pembatalan hingar aktif (ANC) untuk pengguna.
FREEBUDS 4i menawarkan pembatalan hingar aktif (ANC) untuk pengguna.

Pada penilaian penulis, jika pengguna bukan seorang yang 'audiophile' iaitu mementingkan frekuensi bunyi untuk semua tahap ia masih sebuah fon telinga yang sangat baik.

Namun, sedikit kekurangan apabila pengguna sedar dalam julat frekuensi bunyi untuk bass pertengahan, ia agak 'lemah' dan kurang jelas.

Untuk kategori pengguna biasa, Huawei FreeBuds 4i ini menawarkan pemacu bunyi 10mm dinamik yang dipadankan bersama kapasiti bateri 55mAh untuk fon telinga dan 215mAh pada pod pengecas.

Tanda harga untuk peranti ini adalah RM379 dan seperti yang penulis katakan, jika pengguna daripada kategori 'audiophile' pastinya mendapati beberapa kelemahan yang utama.

Paling ketara adalah sistem pembatalan hingar aktif yang tidak cukup kefungsiannya serta masih boleh mendengar bunyi persekitaran walaupun pengguna sudah menghidupkan mod berkenaan.

Bagi pengguna yang memiliki peranti Huawei, ia adalah berita baik untuk anda terutamanya yang berhajat untuk membeli fon kepala ini kerana sistem kawalan aplikasi lebih optimum dengan peranti Huawei saja.

FON telinga tanpa wayar ini mempunyai kawalan aplikasi lebih optimum jika dipadankan dengan peranti Huawei.
FON telinga tanpa wayar ini mempunyai kawalan aplikasi lebih optimum jika dipadankan dengan peranti Huawei.

Ketahanan bateri juga mampu untuk bertahan lebih 10 jam digunakan secara berterusan dan ia boleh mencapai lebih 22 jam dengan bantuan pod pengecas.

Bekas simpanan fon telinga ini bukan sekadar bekas, malah ia turut berfungsi untuk mengecas sama seperti TWS yang berada di pasaran.

Secara keseluruhannya, Huawei FreeBuds 4i ini masih fon telinga tanpa wayar yang baik untuk dimiliki biarpun memiliki kekurangan daripada aspek penghasilan kualiti bunyi.

Penulis merasakan bahawa ia bersesuaian dengan tanda harga aksesori ini yang tidak terlalu 'kayangan' dan lebih mesra poket berbanding TWS lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 6:10 AM