BABY Shima memiliki pengikut yang ramai di media sosial.
BABY Shima memiliki pengikut yang ramai di media sosial.
Georgie Joseph

KONSEP video pendek di pelbagai platform media sosial sekarang mampu membawa impak besar dalam kehidupan seseorang.

Malah, ia menjadi sumber pendapatan lumayan bagi sesetengah orang tanpa mengira usia.

Justeru, bersempena ulang tahun keenamnya, platform penstriman muzik JOOX tidak ketinggalan untuk tampil dengan kempen terbarunya, Fanta6 Stage iaitu pertandingan kandungan video pendek untuk mencari bakat baharu.

Semestinya kandungan kreatif menjadi elemen penting dalam kejayaan sesuatu video dihasilkan.

Itulah juga yang dicari dalam pertandingan itu yang turut menampilkan penyanyi Baby Shima dan Cik B sebagai pembimbing.

Ketua Pengurusan JOOX Malaysia, Angie Tan berkata, mereka menyambut baik setiap yang menjadi sohor kini ketika ini.

Bagi mereka, itulah yang sebenarnya menjadi kelebihan untuk terus memajukan platform mereka.

Bukan sekadar menyajikan hiburan dan muzik berterusan, mereka perlu mengkaji apa juga jenis kehendak diinginkan pendengar.

Selain itu, misi mereka untuk memajukan lagi industri kandungan kreatif tempatan.

"Peminat muzik dan hiburan selalu mencari bakat baharu dan segar bagi memastikan mereka terus mengikuti 'trend' dan hit terkini. Kita hidup di era digital masa kini, jadi JOOX Malaysia menggunakan platformnya untuk memberi peluang kepada bakat kreatif baharu.

"Kami mencari calon menghiburkan untuk mempamerkan kebolehan mereka di kempen Fanta6 Stage menerusi 'filter' Buzz yang baru sahaja dilancarkan baru-baru ini selain untuk meraikan ulang tahun keenam JOOX Malaysia," katanya.

Baru-baru ini, JOOX melancarkan fitur video pendek Buzz yang sangat menarik. Ia bertujuan mendekatkan lagu pengguna JOOX untuk bersosial dan mempamerkan kreativiti mereka.

CIK B sentiasa tampil dengan kandungan kreatif dan menghiburkan.
CIK B sentiasa tampil dengan kandungan kreatif dan menghiburkan.

Menerusi kempen Fanta6 Stage, mereka juga berpeluang menimba ilmu penciptaan kandungan kreatif daripada Baby Shima dan Cik B yang akan berkongsi rahsia kejayaan sesuatu video dihasilkan.

Tidak dinafikan, dua penyanyi terbabit memiliki kuasa pengaruh yang cukup luar biasa dalam media sosial. Mereka adalah antara generasi baharu yang cukup aktif hasilkan pelbagai kandungan menarik.

Baby Shima sendiri pernah melakar sejarah apabila lagu pengenalannya mendapat jumlah tontonan lebih tiga juta dalam tempoh sehari selain memiliki pengikut dari Indonesia yang cukup besar.

Cik B pula berjaya meninggalkan impak tersendiri dengan pelbagai video lucunya di Instagram.

Dia kerap tampil dengan kandungan atau topik yang begitu mudah menjadi perhatian ramai.

Di bawah bimbingan kedua mereka, Fant6 Stage diharap akan membuka jalan mudah dan pantas buat peserta mencapai populariti.

Mereka boleh tonjolkan keperibadian unik kepada penonton dalam kempen ala rancangan realiti ini.

Untuk menyertainya, mereka hanya perlu merakam video antara 15 saat sehingga lima minit, mengandungi idea baharu dan kandungan asli, kreatif serta menarik.

Mereka perlu sertakan pengenalan ringkas mengenai diri mereka dan video berkenaan perlu dimuat naik di JOOX Buzz dengan tanda pagar nama mentor pilihan mereka, sama ada #BABYSHIMACREW atau #CIKBGANG.

Mereka perlu dapatkan capaian sebanyak mungkin untuk video terbabit dari 15 hingga 18 Jun.

Lapan pencipta kandungan yang terpilih menerusi kejayaan video mereka ataupun dipilih mentor sendiri seterusnya meneruskan perjuangan untuk menjadi juara Fanta6 Stage.

Juara bakal membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM10,000, bimbingan mentor ternama dan kontrak kurator kandungan Buzz selama tiga bulan secara eksklusif dengan JOOX.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 6:25 AM