Oleh Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Syarikat pengeluar elektronik gergasi, Apple bakal menganjurkan satu majlis secara maya yang dikenali sebagai 'Time Flies' dan perkara itu menimbulkan tanda tanya adakah Apple bakal memperkenalkan barisan peranti pintar paling popular iaitu iPhone 12 sempena majlis berkenaan.

Sehingga kini, tiada maklumat tertiris berhubung majlis berkenaan dan wujud tanggapan dalam kalangan warga net tentang keterujaan mereka untuk melihat sendiri generasi baharu iPhone.

Bagaimanapun, beberapa portal teknologi terkemuka menafikan bahawa Apple bakal memperkenalkan iPhone 12 memandangkan ia 'tidak menepati garis masa' pengenalan peranti berkenaan.

Walaupun Apple sebelum ini menyatakan bahawa pengenalan iPhone 12 akan dilakukan pada Oktober depan namun tidak mustahil syarikat berkenaan akan melakukan kejutan kepada pengguna.

Ia memandangkan majlis 'Time Flies' berkenaan dianggap 'besar' dan sekurang-kurangnya pengguna akan melihat pengenalan satu atau dua produk baharu termasuk Apple Watch Series 6.

Majlis itu juga dijangka akan memperkenalkan cip pemproses baharu iaitu Apple Bionic A14X untuk kegunaan peranti pintar syarikat berkenaan.

Biarpun secara tradisinya pengenalan iPhone dibuat pada bulan September setiap tahun, namun pada tahun ini perkara berkenaan dijangka tidak akan berlaku dan besar kemungkinan pengguna akan melihat kemas kini produk peranti jam pintar serta iPad.

Teka teki berkenaan bakal terjawab kurang 24 jam lagi apabila Apple mengadakan majlis secara maya secara global di Apple Park, Amerika Syarikat (AS).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2020 @ 9:22 PM