SHUHADA MANSOR tahu konflik pasti wujud antara kita dan ibu bapa. Apa saja kemahuan pasti ditolak seolah-olah idea kita tak relevan. Tapi tahukah anda, jika berjaya buatkan ibu bapa jadi teman rapat, pasti bahagia hidup selamanya.

Kebanyakan remaja hari ini kurang rapat dengan ibu bapa kerana kita menganggap mereka seperti pengetua sekolah. Cara berpakaian, waktu keluar, rakan bahkan cara kita duduk pun ada kalanya ditegur seolah-olah semua tidak kena.

Penulis faham situasi ini boleh buatkan kita mengalami tekanan seperti kewujudan kita tidak penting bagi mereka. Waktu ini juga kita akan rasa seperti anak tiri dalam keluarga kerana apa saja ditegur dan ditentang mereka.

Mungkin sukar untuk merapatkan semula hubungan kekeluargaan kerana ada ketikanya kita terfikir bahawa ibu bapa bukanlah individu yang mudah bertolak ansur dan dibawa berbincang tapi percayalah, mereka adalah individu paling terbaik untuk jadi rakan karib kita.

JANGAN CABAR

Menurut artikel di laman web MyHealth, Kementerian Kesihatan Malaysia ditulis oleh Dr Norliza Ahmad menjelaskan, kadangkala remaja sengaja menguji bagaimana reaksi ibu bapa terhadap salah laku yang dilakukan. Kita tidak suka diarah mengenai sesuatu perkara kerana selasa membuat keputusan sendiri.

Jika ibu bapa adalah kawan karib, mereka pastinya boleh membantu kita untuk memutuskan keputusan yang terbaik kerana sememangnya mereka lebih mengenali kita berbanding rakan lain.

Pernahkah anda terfikir, ketika kita mempunyai masalah kewangan ataupun konflik antara rakan tahap kritikal, siapakah orang pertama yang kita akan jumpa? Sudah tentu ibu atau bapa tempat rujukan utama.

Guru kaunseling Akademi Tahfiz Al-Hidayah (ATAH), Roslailawati Mohamed berpendapat, meskipun remaja menganggap ibu bapa seperti kaunselor, namun perlu ada had untuk kita menolak pendapat mereka. Walau setegas mana pun, ibu bapa adalah individu paling tertinggi darjat dalam hidup kita. Mudah untuk rapatkan hubungan, amalkan komunikasi dua hala jika ada perkara untuk dibincangkan.

Bersikap terbuka untuk terima pandangan mereka.

MAK AYAH PERLU 'RILEKS'

Selain itu, Dr Norliza Ahmad turut menjelaskan, secara umumnya pada usia tujuh hingga 13 tahun, anak dididik supaya berdisiplin. Pada usia 14 hingga 21 tahun pula, ibu bapa perlu menjadikan anak mereka sebagai rakan.

Penjaga perlu membimbing dan bukannya membuat keputusan untuk anak remaja mereka. Apabila mereka bersikap memerintah atau mengarah, maka anak meningkat remaja akan menjauhkan diri, sekali gus membuatkan mereka lebih selesa untuk merujuk masalah kepada rakan dan bukannya ibu bapa.

"Kalau boleh ibu bapa perlu elakkan diri daripada memarahi anak di atas sikap yang kurang menyenangkan, sebaliknya nasihatkan mereka. Tak perlu panjang lebar. Cukup untuk menyampaikan mesej nasihat. Nasihat yang berjela-jela akan menjadi bebelan pada pandangan anak dan mereka akan menutup telinga daripada mendengar nasihat itu," katanya.

BINCANG DENGAN TENANG

Kita sering beranggapan, ibu bapa terlalu ego apabila tidak mahu langsung mendengar teguran dengan alasan mereka lebih dulu makan asam garam daripada kita tetapi itu hanyalah persepsi. Percayalah, ada cara terbaik untuk kita menegur mereka.

Jangan biarkan hubungan terus renggang kerana lambat laun kita yang rugi. Bayangkan, jika anda cukup rapat dengan mereka, pasti apa saja kehendak akan dituruti walaupun terpaksa berputih mata dalam sesetengah perkara kerana mahu menjaga hati.

Bagi anda yang hubungan masih renggang, apa kata curi waktu lapang untuk duduk dan berbincang dengan tenang. Ajak mereka berbual di tempat yang tiada orang kerana melakukan teguran di hadapan orang ramai, secara tidak langsung kita telah menjatuhkan air muka mereka.

Selain itu, tegur dengan menggunakan orang tengah yang dekat dengan mereka juga taktik berkesan seperti 'anak kesayangan' atau melalui abang atau kakak anda. Ini supaya segala teguran yang disampaikan dapat diterima dengan baik dan hati yang terbuka.

Pakar Psikologi Kanak-Kanak dan Remaja Pusat Pengajian Psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Khaidzir Ismail berkata, kata-kata ibu bapa adalah doa dan setiap yang keluar daripada mulut mereka mampu memberi impak kepada anak. Justeru, ambil peluang ini untuk jadikan mereka 'geng' terbaik anda.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 November 2014 @ 5:01 AM