NOORSUHAIDA bersama juruterapi.
NOORSUHAIDA bersama juruterapi.
Siti Nadirah Hafidzin


PERCAYA atau tidak kecantikan boleh diserlahkan melalui penjagaan diri yang rapi bukan saja melalui rawatan wajah dan badan moden, tetapi mengikut setiap kaedah penjagaan yang diamalkan nenek moyang terdahulu.

Mungkin masih ramai yang melakukannya kerana yakin kaedah penjagaan diri secara tradisional seperti bertangas, berurut dan bertungku mempunyai kelebihannya tersendiri. Namun, ada juga yang kurang percaya dan beranggapan ia kaedah kolot.

Suatu ketika dulu, tiga amalan itu menjadi rutin bagi wanita, tidak kira bujang atau sudah berkahwin demi menjaga kesihatan dalaman, sekali gus memancarkan kecantikan luaran.

Amalan dan rawatan ini diakui memberi kesan mujarab kepada kecantikan serta kesihatan wanita, lebih-lebih lagi jika mereka berdepan dengan masalah seperti keputihan, angin, rahim longgar, kegemukan, ikhtiar zuriat sekali gus menyerlahkan lagi aura serta kecantikan diri.

NOORSUHAIDA menyediakan pelbagai jenis rawatan tradisional dan moden dari hujung rambut hingga hujung kaki.
NOORSUHAIDA menyediakan pelbagai jenis rawatan tradisional dan moden dari hujung rambut hingga hujung kaki.

Apabila melakukan rawatan berkenaan, ia membantu meringankan badan, memulihkan perjalanan darah, melancarkan haid, menaikkan seri dan menyerlahkan kecantikan semula jadi.

Berusaha memupuk kesedaran wanita masa kini untuk meneruskan kaedah penjagaan diri secara tradisional yang diselarikan dengan rawatan moden, Cemara Spa yang terletak di Parit Buntar, Perak ini menyediakan pelbagai jenis rawatan tradisional dan moden dari hujung rambut hingga hujung kaki.

Menurut pengasasnya Noorsuhaida Md Noor, rawatan tradisional yang menjadi antara rawatan terbaik adalah bertangas, urutan dan bertungku.

“Rawatan ini mempunyai kelebihan tersendiri yang membantu menyerlahkan kecantikan seseorang. Ramai yang mengaitkan amalan bertangas hanya untuk wanita selepas bersalin namun fakta itu tidak tepat.

“Bertangas ternyata baik untuk wanita bujang yang mungkin mengalami masalah kegatalan faraj dan keputihan,” ujarnya.

Noorsuhaida berkata, terdapat dua jenis bertangas iaitu tangas kering dan basah yang mana kedua-duanya mempunyai kelebihan tersendiri, tetapi keselesaannya berbeza mengikut pilihan individu.

BERTANGAS, berurut dan bertungku beri kesan mujarab
BERTANGAS, berurut dan bertungku beri kesan mujarab

“Cara bertangas kering adalah dengan menggunakan batu sungai yang dipanaskan selama satu jam di atas api kecil dan diletakkan serbuk tangas diperbuat daripada herba terpilih.

“Asapnya akan naik ke atas dan membantu mengetatkan rahim. Ramai yang menggemari tangas kering ini kerana ia ringkas dan tidak terlalu merimaskan bagi yang tidak tahan kepada kepanasan,” katanya.

Berbeza dengan tangas basah, kehangatannya lebih dirasai seolah-olah sedang mandi wap kerana ia menggunakan air panas yang dididihkan bersama daun herba terpilih.

“Bertangas digalakkan untuk dilakukan dalam tempoh 20 minit sudah memadai. Wanita bujang digalakkan melakukan dua kali sebulan dan boleh merasai perubahannya.

“Jangan sesekali bertangas menggunakan siraman cuka pada batu sungai kerana ia menipiskan dinding rahim. Bagi yang ingin melakukan di rumah, amat digalakkan dan tidak semestinya di spa saja,” katanya.

URUTAN DAN TUNGKU

Sentiasa menggalakkan pelanggannya melakukan rawatan tradisional seperti bertangas diikuti dengan urutan dan bertungku Noorsuhaida berkata, setiap rawatan itu perlu dilakukan setiap wanita sekurang-kurangnya sebulan sekali.

“Ramai yang datang ke spa dengan mengalami pelbagai masalah wanita, tidak kurang ada yang mahu berurut sebagai salah satu ikhtiar memiliki zuriat. Di sini, kami mempunyai pasukan terapi tradisional profesional yang mempunyai kemahiran tersendiri.

“Setiap pelanggan yang datang akan diteliti terlebih dulu sebelum menentukan rawatan bersesuaian,” katanya.

Noorsuhaida berkata, pada dasarnya ramai yang semakin kurang percaya dengan rawatan tradisional namun hakikatnya semua itu mempunyai manfaat tersendiri.

“Wanita tidak boleh ambil mudah soal kesihatan diri terutama rahim, disebabkan itu rajinkanlah berkunjung ke spa untuk memastikan keadaan rahim dalam keadaan baik.

“Jangan malu sekiranya anda mengalami masalah seperti tombong atau keputihan, maklumkan kepada terapi untuk memastikan masalah itu dapat dirawat,” ujarnya.

Katanya, selain rawatan tradisional, pihaknya turut menyediakan pelbagai rawatan moden termasuk rawatan wajah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Ogos 2019 @ 5:00 AM