FITRAH mereka berbeza dengan anak lelaki, ibu bapa disaran pujuk dengan lembut.  GAMBAR hiasan
FITRAH mereka berbeza dengan anak lelaki, ibu bapa disaran pujuk dengan lembut. GAMBAR hiasan
Siti Nadirah Hafidzin


CEMBURU dan bergaduh antara aktiviti harian dalam diari kehidupan seseorang kanak-kanak yang mempunyai adik-beradik.

Ramai beranggapan hanya adik-beradik lelaki kerap bergaduh namun tanggapan itu ternyata tidak berasas kerana kanak-kanak perempuan juga tak terkecuali daripada episod itu terutama membabitkan rasa ‘cemburu’.

Sama ada sebagai adik atau kakak, perbalahan memang sukar dielakkan apatah lagi jika ada yang sedikit keras kepala atau suka merajuk.

Ibu bapa tentunya mula tertekan sekiranya pergaduhan itu berlaku hanya disebabkan perkara kecil seperti berebut anak patung, barang permainan atau rancangan televisyen yang ingin ditonton.

Walaupun dinasihat, dimarah dan dihukum, pertelingkahan ini tetap berlaku dan kadangkala dua hingga tiga kali sehari. Lebih memburukkan keadaan apabila kebanyakan kanak-kanak perempuan lebih suka menangis dan merajuk dalam tempoh yang lama.

Penulis yang mempunyai dua anak perempuan tidak terkecuali merasai pengalaman berdepan situasi anak bergaduh hingga berlaku adegan tarik- menarik baju dan rambut. Lebih memeningkan apabila kedua-duanya sudah mula menangis dan menjerit.

Menurut kaunselor keibubapaan, Azimah Hazhari, pergaduhan yang berlaku sesama adik-beradik perempuan kebiasaannya kurang membabitkan pergaduhan berbentuk fizikal seperti memukul, menyepak dan menolak.

“Bentuk pergaduhan juga berbeza kerana adik-beradik perempuan biasanya sekadar ‘bergaduh manja’ dan berbaik semula dalam tempoh singkat namun sekiranya punca pergaduhan itu agak besar kemungkinan tempoh merajuk itu berpanjangan.

“Ada pula yang sekadar jeling-menjeling apabila ada yang tidak puas hati dan hanya mendiamkan diri tanpa bercakap sepatah perkataan,” katanya.

Menurutnya, paling biasa pergaduhan berlaku disebabkan usia, rasa tidak puas hati, layanan ibu bapa, dengki dan pengaruh persekitaran.

“Perbezaan usia adalah faktor utama perkelahian antara anak. Mungkin si kakak sudah berusia lima atau enam tahun manakala si adik baru setahun lebih. Perbezaan usia itu menyebabkan berlaku banyak percanggahan pendapat walaupun mereka tidak boleh meluahkannya.

“Paling ketara apabila mereka berebut sesuatu barang. Kebiasaannya kanak-kanak perempuan akan mengakhiri pergaduhan itu dengan menangis dan menjerit kerana ia adalah fitrah mereka yang berbeza dengan kanak-kanak lelaki,” ujarnya.

Menurutnya, apa yang lebih penting adalah layanan dan tindakan ibu bapa itu sendiri terutama ketika berdepan dengan konflik itu.

“Kanak-kanak perempuan lebih sensitif dan manja, kebanyakan daripada mereka suka dibelai dan dilayan. Mungkin jika mereka mula mengesan berlakunya sedikit layanan tidak adil menyebabkan rasa tidak puas hati dan akhirnya timbul pergaduhan.

“Ibu bapa perlu ambil peranan dalam situasi ini, cuba sedaya upaya rapatkan hubungan antara kakak dengan adik bagi mewujudkan kemesraan antara mereka. Jelaskan mengenai hubungan adik- beradik yang perlu dijaga sehingga akhir hayat,” katanya.

Katanya, ibu bapa juga perlu berhati-hati dengan sebarang tindakan harian yang boleh menyebabkan anak bergaduh.

“Paling utama jangan suka membandingkan anak, beri layanan yang berbeza dan cenderung memenangkan sebelah pihak saja. Anak kecil di bawah usia dua tahun amat sensitif dalam bab layanan, lebih-lebih lagi apabila melihat seorang adik di depan mereka.

“Masing-masing ada imaginasi dan kefahaman tersendiri terhadap sesuatu perkara. Bagi adik, ibu bapa dan semua permainan adalah miliknya dalam masa sama si kakak pula berpandangan semua yang dibeli oleh ibu dan ayah juga adalah miliknya dan akhirnya ia menjadi sebab pergaduhan,” ujarnya.

Menurutnya, disebabkan anak perempuan mempunyai jiwa yang lebih lembut, ibu bapa perlulah mengendalikan pergaduhan yang berlaku sebaik-baiknya terutama tanpa mengguris hati keduanya.

“Memujuk dan meleraikan pergaduhan anak perempuan ini ada caranya, tidak boleh dengan kaedah terlalu berkasar, boleh pujuk mereka dengan lembut dan jelaskan mengenai kesan buruk akibat bergaduh sekiranya si anak dapat memahami.

“Jangan pula biarkan saja pergaduhan itu berlaku tanpa dileraikan kerana bimbang lama kelamaan wujudnya rasa dendam dan marah antara si kakak dan adik,” katanya.

CARA HADAPI

Perkelahian antara anak kecil adalah perkara lumrah. Walaupun ia menjadi antara cara anak anda saling memahami, tetapi pergaduhan adik beradik ini perlu ditangani dan dihadapi sebaiknya. Berikut langkah yang boleh dilakukan untuk mengelakkan perkelahian antara anak perempuan:

1. BANYAKKAN MASA BERKUMPUL SEKELUARGA YANG BERKUALITI

Anak perempuan sangat suka dilayan dan dibelai, disebabkan itu mereka perlukan masa yang lebih daripada ibu bapa. Pada masa sama, ajar mereka merasai pengalaman makan, bermain dan melakukan pelbagai aktiviti bersama keluarga dalam suasana mesra.

2. IBU BAPA JADI FASILITATOR

Ibu bapa perlu menjadi pendidik dan pembimbing anak. Sebagai contoh baringkan mereka bersebelahan dan bercerita terutama sebelum tidur, sangat baik untuk biasakan mereka tidur bersama.

3. RUANG KHAS UNTUK BERMAIN

Sediakan satu ruang khas untuk aktiviti anak perempuan bermain. Ia tidak semestinya besar, tetapi memadai untuk bergerak dan bermain bersama. Melalui cara ini mainan mereka hanya bersepah dalam satu ruang dan mereka berdua sama-sama bertanggungjawab untuk mengemaskannya selepas bermain.

4. JANGAN MEMBANDING-BANDINGKAN ANAK

Ini pantang larang yang perlu dijaga sehinggalah mereka dewasa. Jangan sesekali membandingkan anak tidak kira lelaki atau perempuan, walaupun anda bertujuan memberi perangsang kepada mereka.

Tindakan ini akan menyebabkan mereka terkilan, kecil hati dan merajuk lama. Lebih membimbangkan jika perasaan terluka ini berterusan hingga dewasa dan akan menjadi api dalam sekam yang menyambar sekiranya terjadi perselisihan faham apabila dewasa kelak.

Walaupun mereka masih kecil, anak boleh memahami maksud perkataan kita, cuma belum mampu bercakap. Jika anda memuji si kakak, puji juga kebaikan si adik.

5. LAYANAN ADIL

Berikan layanan yang sama dan adil kepada semua anak. Mereka sensitif terhadap kualiti layanan yang diterima.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 5:00 AM