Khalid (kanan) merasmikan Kelab Berkuda dan Rekreasi Rakyat Parlimen Shah Alam di Denai Alam, hari ini. FOTO Bernama
Khalid (kanan) merasmikan Kelab Berkuda dan Rekreasi Rakyat Parlimen Shah Alam di Denai Alam, hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

YURAN Kelab Rekreasi Denai Alam (DARC) yang kini dikenali Kelab Berkuda dan Rekreasi Rakyat Parlimen Shah Alam diturunkan kepada RM50 setahun untuk satu keluarga berbanding RM290 sebelum ini.

Pengasas kelab Datuk Terry Teo berkata, kadar yuran baharu itu akan dikuatkuasakan 1 Januari depan.

“Dengan kadar baharu ini, penduduk Shah Alam hanya perlu membayar yuran RM50 setahun bagi setiap keluarga.

“Bagi penduduk di sekitar Selangor, mereka perlu membayar RM100 dan RM150 bagi keluarga dari luar Selangor.

“Bayaran RM290 pula hanya akan dikenakan kepada keluarga dari negara luar,” katanya ditemui selepas majlis perasmian nama baharu kelab itu di Shah Alam hari ini.

Ia disempurnakan Ahli Parlimen Shah Alam merangkap Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

Teo berkata, tujuan kelab itu mengurangkan kadar yuran tahunannya adalah bagi menarik lebih ramai rakyat tanpa mengira latar belakang belajar menunggang kuda.

“Semua tahu, aktiviti menunggang kuda ini biasanya membabitkan kos mahal, disebabkan itu kami turunkan harga yuran sebab mahu bantu orang ramai belajar menunggang kuda.

“Sejak penubuhan kelab ini 11 tahun lalu, kira-kira 10,000 orang sudah belajar menunggang dan mengendalikan kuda.

“Kami harap dengan yuran baharu ini angka ini meningkat dua kali ganda,” katanya sambil menyatakan terdapat 80 ekor kuda di kelab itu yang sedia digunakan ahli kelab.

Sementara itu, Khalid dalam ucapan perasmiannya berharap penduduk Shah Alam dapat mengambil kesempatan untuk belajar menunggang kuda di samping meluangkan masa bersama keluarga untuk berekreasi di kelab itu.

Selain aktiviti berkuda, terdapat pelbagai aktiviti disediakan kelab antaranya memanah, zoo haiwan jinak (petting zoo) dan memberi makan kepada ikan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Disember 2019 @ 1:14 AM