NADIA dan Mohd Aiman.
NADIA dan Mohd Aiman.
Yusliza Yakimir Abd Talib

KETIKA kita lena diulit mimpi beralaskan tilam empuk, masih ramai insan yang terpaksa berhempas-pulas meneruskan kelangsungan hidup kerana kemiskinan dan krisis kebuluran selepas menjadi mangsa pergolakan dan peperangan dalam negara mereka.

Melihat sendiri kedaifan dan merasai kehidupan serba kekurangan orang pernah dibantu, menjadikan wanita ini tekad untuk terus menabur bakti buat mereka yang memerlukan.

Pembabitan Nadia Rahmat, 31, dalam misi kemanusiaan bertitik tolak daripada program bercuti sambil beramal ke Kemboja enam tahun lalu dan ia tidak terhenti di situ kerana dia mula ‘jatuh cinta’ dengannya.

Ajakan bekas guru sekolah untuk program berkenaan, katanya diterima sekadar ingin mencuba malah peranannya ketika itu hanyalah untuk mengambil gambar dan video.

“Saya tidak pernah didedahkan kepada dunia kebajikan dan kemanusiaan secara mendalam. Ketika itu pemahaman saya hanya sekadar kita disaran dan dianjurkan untuk bersedekah.

“Pengalaman pertama menelusuri kawasan pedalaman fakir miskin di Kemboja benar-benar menyentak fikiran dan emosi saya. Ia membuatkan saya rasa lebih bersyukur dan ingin memberi lebih kepada yang memerlukan.

NADIA membantu mengagihkan makanan dalam misi di Syria.
NADIA membantu mengagihkan makanan dalam misi di Syria.

“Kedaifan Muslim yang menjadi golongan minoriti di Kemboja dilihat dengan mata kepala sendiri kecekalan mereka mengharungi liku hidup antara yang mendorong saya untuk terus membantu dan menghantar bantuan setiap tahun sejak 2013,” katanya.

Kerana kecintaannya terhadap kerja amal, Nadia meluaskan skop misi kemanusiaannya merentas benua dan menjadi Presiden Pertubuhan Wira Kemanusiaan Untuk Insan Malaysia (MY Hope Hero).

Pelbagai misi kemanusiaan dijayakan bersama pasukannya dalam pertubuhan itu antaranya ke Syria, Jordan, Turki dan Lubnan selain misi bantuan kecemasan mangsa gempa bumi di Palu serta Selat

Sunda, Indonesia.

Malah usahanya itu turut mendapat penghargaan apabila terpilih sebagai penerima anugerah antarabangsa, Top 10 Volunteer 2017 (Incitement’s 10 Best Volunteer Around The World) apabila Nadia adalah seorang daripada tiga pemenang mewakili Malaysia.

Di sebalik misi dan tugas yang dilaksanakan dengan komited, Nadia tidak menyangka bertemu jodoh dengan suaminya, Mohd Aiman Mohd Amir di lapangan ketika menyantuni pelarian Syria di Jordan tiga tahun lalu.

Bagi Nadia, ia rezeki yang sempurna buatnya kerana bertemu pasangan hidup yang meminati bidang sama dan memahami tugasnya sebagai pekerja kemanusiaan.

NADIA dan Mohd Aiman mengagihkan hidangan kepada tetamu cilik semasa majlis perkahwinan mereka.
NADIA dan Mohd Aiman mengagihkan hidangan kepada tetamu cilik semasa majlis perkahwinan mereka.

Malah, lebih manis apabila Nadia dan Mohd Aiman meraikan majlis perkahwinan mereka bersama pelarian Syria yang terdiri daripada ibu tunggal serta anak yatim di Gaziantep, Turki.

Majlis itu, katanya turut disertai wakil keluarga masing-masing serta kru produksi Mazlin Pictures yang sama-sama bergotong-royong menyediakan masakan Syria untuk tetamu yang hadir.

“Bagi saya misi yang disertai semuanya atas dasar refleksi diri yang diperlukan untuk hidup di dalam kesyukuran.

“Saya perlu berterima kasih kepada bekas guru, Rokiah Mohd Ali yang membawa saya ke dunia kerja amal ini. Malah kerana dialah juga hati saya terpaut untuk mendekatkan diri dengan golongan yang memerlukan,” katanya.

Bicara bahasa tubuh

Ditanya ujian awal yang perlu diharunginya, Nadia mengakui pada peringkat awal ibunya membantah pembabitannya dalam kerja amal kerana melihat ia tidak lebih daripada ‘berjalan’ kosong atau tanpa tujuan.

Bagaimanapun, lama-kelamaan ibunya mula percaya dan menyokong niat murninya itu malah sesekali wanita itu turut mengikuti dan melihat sendiri apa yang dilakukan Nadia dalam misi dan kerja kebajikan.

KETIKA mengikuti misi bantuan kecemasan di Selat Sunda, Indonesia.
KETIKA mengikuti misi bantuan kecemasan di Selat Sunda, Indonesia.

Katanya, meskipun dalam keluarga hanya dirinya yang aktif dalam kerja kebajikan, keluarganya menjadi penyokong kuat untuk dia terus berjuang. Mereka turut terbabit di belakang tabir yang akan menghulurkan wang untuk sumbangan ataupun sokongan dari segi motivasi dan moral.

Mengimbas kenangan sepanjang perjuangannya itu, Nadia berkata, peristiwa ketika di Kemboja sekitar 2014 kekal menjadi memori yang sukar dipadam kerana benar-benar menyentuh sanubarinya.

“Ketika menyampaikan zakat, saya duduk sebentar di tangga rumah seorang ibu tua. Sambil ingin bergambar bersamanya, tiba-tiba dia melentukkan kepala di atas bahu saya. Terkejut dengan tindakan itu, saya terus memeluknya.

“Sayu di hati ini kerana saya tahu wanita itu ingin meluahkan sesuatu, tapi keterbatasan bahasa menyukarkan kami berbicara. Sungguhpun begitu, seindah-indah bahasa adalah menggunakan bahasa tubuh dan di situlah jawapan kepada mengapa saya memeluknya.

“Kejadian yang hampir sama ketika menyantuni pelarian Syria di Jordan pada 2016. Saya sedang melawat khemah yang dinaiki air pada malam sebelumnya.

MENYANTUNI kanak-kanak dan warga emas pelarian ketika misi kemanusiaan di Syria.
MENYANTUNI kanak-kanak dan warga emas pelarian ketika misi kemanusiaan di Syria.

“Tiba di satu khemah seorang ibu tua sedang membetulkan kanvasnya sambil berkata sesuatu dalam bahasanya. Saya menggunakan medium yang sama iaitu bahasa tubuh. Wanita itu meneruskan kata-katanya dengan linangan air mata,” katanya.

Menurutnya, tidak banyak halangan yang dilalui sepanjang melakukan misi kemanusiaan sebaliknya lebih kepada cabaran berdepan dengan mentaliti, tanggapan dan cakap-cakap segelintir rakyat Malaysia apabila pihaknya mencari dana.

Meskipun tidak semua rakyat bersikap sebegitu, namun katanya masih ada segelintir daripadanya yang lebih gemar menjadi wira papan kekunci atau ‘keyboard warrior’ berbanding menghulurkan bantuan.

“Saya ada beberapa impian yang sedang diusahakan untuk MY Hope Hero antaranya menjadikan pertubuhan ini satu pusat, ruang dan peluang untuk anak muda menimba ilmu kesukarelawanan.

“Saya mahu terus memberi perkongsian dan pendedahan mengenai bidang ini seawal peringkat sekolah sehingga ke peringkat korporat. Jika saya mampu jadi apa yang saya inginkan hari ini, pastinya mereka boleh buat lebih baik daripada saya.

“Selain itu, besar harapan saya untuk melihat kem angkat MY Hope Hero, Kem Al-Mil di Yaman, dan Kem Al-Resalah di Azzaz, Syria membangun seperti apa yang dirancang dan diusahakan,” katanya.

PELARIAN kanak-kanak Syria di Turki bergambar kenangan bersama Nadia dan Mohd Aiman.
PELARIAN kanak-kanak Syria di Turki bergambar kenangan bersama Nadia dan Mohd Aiman.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2019 @ 6:00 AM