MASALAH kejang kaki di kalangan wanita hamil. FOTO fail NSTP
MASALAH kejang kaki di kalangan wanita hamil. FOTO fail NSTP
Yusliza Yakimir Abd Talib


SESETENGAH ibu hamil mungkin menganggap gejala muka, tangan atau kaki bengkak dengan tiba-tiba, sakit kepala atau mengalami muntah pada trimester kedua kehamilan perkara normal hingga ia tidak diberikan perhatian serius.

Mereka mengabaikan gejala yang dialami kerana menganggap semua itu kesan perubahan hormon dalam badan, namun sebenarnya masalah terbabit boleh menandakan gangguan yang lebih serius iaitu praeklampsia.

Praeklampsia ialah masalah yang dialami ketika hamil dan biasa berlaku pada trimester kedua kehamilan. Ia bercirikan tekanan darah yang tinggi, bengkak (edema) yang berlaku secara tiba-tiba, kenaikan berat badan mendadak disebabkan pengumpulan air di dalam tubuh serta kehadiran protein dalam urin (air kencing).

Praeklampsia merangkumi spektrum yang ringan dan teruk. Jika teruk, ia boleh menjejaskan beberapa sistem di dalam badan. Walaupun tiada rawatan yang boleh menyembuhkannya sama sekali ketika kehamilan, praeklampsia boleh dikawal.

Pakar Perbidanan dan Sakit Puan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Nik Hazlina Nik Hussain berkata, walaupun penyebab sebenar praeklampsia tidak diketahui, beberapa faktor risiko sudah dikenal pasti.

Seseorang wanita hamil, katanya, lebih cenderung mendapat praeklampsia jika kehamilan itu yang pertama atau terdapat jarak besar biasanya 10 tahun dengan kehamilan sebelumnya.

Katanya, wanita hamil mempunyai risiko lebih tinggi jika berumur 40 tahun atau lebih, sangat gemuk ketika hamil iaitu dengan BMI 35 kg/m2 atau lebih, mempunyai masalah perubatan yang kronik hingga menjejaskan sistem darah termasuk tekanan darah tinggi, masalah ginjal, diabetes dan mengandung kembar atau berganda (lebih dua janin).

Selain itu, wanita hamil yang mempunyai sejarah praeklampsia dalam keluarga, misalnya emak atau kakak yang pernah mengalaminya atau pernah mengalaminya sebelum ini kerana satu dalam lima wanita akan mengalaminya semula.

PAKAR Perbidanan & Sakit Puan, USM, Prof Dr Nik Hazlina Nik Hussain. FOTO Khairul Azhar Ahmad
PAKAR Perbidanan & Sakit Puan, USM, Prof Dr Nik Hazlina Nik Hussain. FOTO Khairul Azhar Ahmad

“Ada kalanya praeklampsia akan menjadi teruk dengan pantas. Sekiranya ia berlaku ketika trimester kedua atau pada minggu pertama selepas kelahiran (selepas bersalin), jangan teragak-agak untuk berjumpa doktor jika mempunyai salah satu daripada gejala berikut iaitu muka, tangan atau kaki bengkak dengan tiba-tiba, sakit kepala akut diikuti penglihatan kabur, sakit yang tersangat teruk di bahagian atas abdomen atau muntah.

“Komplikasi teruk jarang-jarang berlaku, tetapi ia boleh menyebabkan komplikasi seperti sindrom HELLP iaitu gangguan fungsi hati dan pembekuan darah. HELPP merujuk kepada hemolisis iaitu pemecahan sel darah merah (H), enzim hati meningkat (EL) dan bilangan platlet yang rendah (LP).

“HELLP boleh berlaku sebelum praeklampsia dapat dikesan dan didiagnosis. Simptom HELLP termasuk sakit kepala, terasa loya dan sakit pada bahagian atas abdomen,” katanya.

Dr Nik Hazlina berkata, jika tekanan darah naik secara sederhana, ibu akan dinasihatkan untuk banyak berehat. Caranya ialah dengan berbaring di sisi kiri kerana ia membantu pengaliran darah ke plasenta atau duduk dalam posisi tegak. Mereka juga dinasihatkan mengambil tekanan darah sama ada di rumah atau di hospital secara berkala.

Katanya, jika tekanan darah melambung naik, ibu akan dimasukkan ke hospital supaya keadaannya boleh dipantau oleh doktor. Imbasan ultra bunyi akan dijalankan untuk mengesan tumbesaran bayi dan alat kardiotograf (CTG) digunakan untuk memeriksa kadar denyutan jantung bayi dan kesihatannya secara umum.

Ia bertujuan meneruskan kehamilan seberapa lama yang boleh bagi memberi peluang sebaik-baiknya kepada bayi sehinggalah bayi agak matang.

Ibu berkenaan juga, katanya, mungkin diberikan suntikan ubat magnesium sulfat. Kajian penyelidikan yang diterbitkan pada 2002 mendapati jika ibu yang mempunyai praeklampsia diberikan magnesium sulfat, risikonya mendapat eklampsia dikurangkan sehingga separuh.

Sekiranya tekanan darah tidak dapat dikawal, pakar obstetrik akan mencadangkan supaya si ibu menjalani induksi kelahiran atau melahirkan bayi melalui pembedahan Caesarean.

Menurutnya, praeklampsia akan pulih dengan sendirinya selepas melahirkan bayi namun si ibu masih berisiko mengalami praeklampsia sehingga empat minggu selepas bayi dilahirkan, terutama jika praeklampsia menjadi teruk atau didiagnosis apabila kehamilan sudah mencapai minggu ke-37 atau lebih.

BACAAN tekanan darah penting untuk mengesan tanda awal praeklampsia.. FOTO fail NSTP
BACAAN tekanan darah penting untuk mengesan tanda awal praeklampsia.. FOTO fail NSTP

Langkah pencegahan

Beliau berkata, tiada cara yang pasti untuk mencegah praeklampsia. Bagaimanapun, langkah terbaik bagi memastikan diri atau bayi tidak terancam ialah dengan berjumpa doktor secara kerap melalui temu janji antenatal.

Langkah ini, katanya, amat perlu kerana ujian air kencing dan bacaan tekanan darah yang dijalankan oleh doktor atau jururawat ketika menghadiri temu janji antenatal bertujuan mengesan tanda awal praeklampsia.

“Terdapat bukti bahawa aspirin biasa dengan dos rendah dan suplemen kalsium sebelum dan ketika awal kehamilan boleh mencegah praeklampsia bagi sesetengah wanita. Oleh itu, berbincanglah dengan doktor berkenaan rawatan yang perlu diambil,” katanya.

Faktor risiko

• Ibu yang berusia 40 tahun ke atas mempunyai risiko yang berganda untuk mengalami masalah ini.

• Praeklampsia sering disebut sebagai penyakit kehamilan pertama kerana ramai ibu hamil mengalami praeklampsia ketika hamil anak sulung.

• Ibu yang mengalami masalah ini pada kehamilan pertamanya akan mempunyai risiko yang tinggi untuk mengalami praeklampsia pada kehamilan berikutnya.

• Ibu yang hamil kembar atau kehamilan berganda (hamil lebih daripada dua janin) mempunyai risiko yang berlipat ganda mengalami masalah praeklampsia.

• Penyakit terdahulu yang dialami ibu juga mempengaruhi risiko. Jika sebelum hamil ibu sudah menghidap diabetes, kemungkinan untuk mereka mengalami praeklampsia juga akan meningkat.

• Jarak antara kehamilan juga mempunyai hubungan antara risiko terjadinya praeklampsia. Bagi ibu yang mengalami jarak kehamilan yang lama iaitu melebihi 10 tahun adalah sama dengan ibu yang belum pernah melahirkan anak.

• Indeks jisim badan (BMI) ibu juga memainkan peranan yang penting. Ibu yang mempunyai indeks jisim badan lebih 35 kg/m2 berisiko untuk mengalami praeklampsia sebanyak dua kali ganda.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Februari 2019 @ 11:40 AM