PERUBAHAN hormon menyebabkan Norbaiti mengalami perubahan emosi mendadak.
PERUBAHAN hormon menyebabkan Norbaiti mengalami perubahan emosi mendadak.
Siti Nadirah Hafidzin

Menangis tanpa sebab dan tiba-tiba berubah menjadi gembira tidak terkata. Bukan dibuat-buat namun ia adalah realiti yang dilalui ibu hamil - semuanya disebabkan perubahan hormon.

Mungkin perkara itu tidak dilalui semua wanita, namun pengalaman melalui hari-hari yang dianggap ‘pelik’ bersama si kecil dalam kandungan akan meninggalkan kenangan manis yang tidak dapat dilupakan.

Berkongsi pengalaman itu, Norbaiti Phaharoradzi yang kini hamil 33 minggu berkata, dia menyedari mula mengalami perubahan emosinya ketika kandungan memasuki trimester kedua.

“Sepanjang trimester pertama, saya mengalami mabuk hamil yang teruk. Saya langsung tidak boleh menghidu bau suami terutama bau minyak wangi, pomade dan deodorannya menyebabkan suami terpaksa menukar semuanya kepada bau yang saya boleh terima.

“Selain itu, saya kerap muntah dan tidak bermaya menyebabkan saya banyak menghabiskan masa di rumah,” katanya yang hamil anak sulung.

Menurut Norbaiti, semua perkara itu berakhir sebaik saja dia memasuki trimester kedua kehamilan.

“Saya sangkakan segalanya akan kembali seperti biasa namun saya mula menyedari berlaku perubahan emosi yang sangat ketara.

“Bayangkan, tanpa ada sebab saya akan menangis sekuat hati, malah saya juga amat mudah terhibur dan ketawa walaupun sesuatu perkara itu tidak lucu.

“Semua ini bukan dibuat-buat namun saya bersyukur suami sangat bersabar dan melayan semua perubahan hormon saya ini sebaik mungkin,” ujarnya.

Terlalu sensitif

Menurut Norbaiti, dia cuba mengawal emosinya namun perkara itu agak sukar kerana ia berlaku secara semula jadi.

“Saya sedar perkara ini, namun ia sukar dibendung. Sebagai contoh, saya akan terus menangis apabila suami tidak dapat menunaikan sesuatu yang saya minta contohnya apabila teringin satu-satu jenis makanan atau minuman.

“Saya bukan sengaja bersikap sedemikian apatah lagi untuk menyusahkan suami namun semua ini berlaku tanpa sebab dan emosi saya amat mudah tersentuh,” katanya.

“Sebaliknya, saya juga mudah ketawa dan akan ketawa terbahak-bahak hanya dengan usikan kecil suami. Mungkin ada yang menganggap saya mengada-ngada, tetapi itu yang berlaku.

“Saya sedar semua ini adalah disebabkan perubahan hormon yang berlaku pada diri dan saya bersyukur kerana berpeluang merasai detik ini,” katanya.

SUAMI banyak memberi sokongan kepada Norbaiti sepanjang tempoh kehamilan.
SUAMI banyak memberi sokongan kepada Norbaiti sepanjang tempoh kehamilan.

Norbaiti yang dijangka melahirkan cahaya matanya Mac ini berkata, pemeriksaan rutin dijalankan mendapati segalanya berada dalam keadaan baik.

“Mungkin ini dugaan untuk saya, syukur walaupun terpaksa berdepan keadaan emosi yang berubah-ubah dan tidak boleh dijangka namun sehingga kini semuanya dalam keadaan terkawal.

“Apa yang penting adalah semangat, kesabaran dan bantuan suami serta ahli keluarga terdekat dalam keadaan sebegini. Saya juga berharap proses melahirkan bayi ini dipermudahkan dan berjalan lancar,” katanya.

Perubahan hormon beri kesan emosi

Hampir semua wanita hamil akan mengalami perubahan emosi yang bercampur iaitu perasaan gembira, sedih, tertekan dan mudah penat kesan perubahan hormon yang berlaku sepanjang tempoh kehamilan.

Menurut Pegawai Perubatan Obstetrik & Ginekologi Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Muhammad Izzat Abdul Razak, perubahan emosi yang menjadi terlalu sensitif pada sesuatu perkara adalah perkara normal yang dilalui setiap ibu hamil.

“Tahap perubahan emosi ini berbeza antara seseorang. Ada yang tidak terkesan dengan perubahan ini, tetapi ada juga wanita yang boleh menangis teresak-esak secara tiba-tiba tanpa sebab kukuh.

“Selain banyak berfikir terutama berkaitan anak yang berada di dalam kandungan, ibu hamil juga mengalami rasa pedih ulu hati, keletihan dan kerap membuang air kecil yang juga boleh menjadi beban emosi,” katanya.

DR Muhammad Izzat.
DR Muhammad Izzat.

Dr Muhammad Izzat berkata, perubahan hormon mendadak ketika hamil mempengaruhi cara otak dan saraf bekerja.

“Perkara ini tidak berlarutan selepas bersalin, apa yang penting adalah sokongan daripada suami. Wanita yang mendapat sokongan kuat daripada individu tersayang kebiasaannya dapat mengawal emosinya.

“Selain sokongan daripada individu tersayang, wanita itu sendiri perlu bijak dan berusaha dalam mengawal perubahan hormon dilaluinya dengan baik,” katanya.

Tambah Dr Muhammad Izzat, jalani proses kehamilan dengan sebaik mungkin dan nikmati setiap detik perkembangan anak kesayangan anda.

“Apa yang penting ambil vitamin yang diberikan klinik atau pusat perubatan sepanjang kehamilan ini dan makan secara teratur,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2018 @ 1:39 PM