RAWATAN mandi bunga menaikkan aura dan seri wajah.
RAWATAN mandi bunga menaikkan aura dan seri wajah.
Siti Nadirah Hafidzin


DALAM kepercayaan masyarakat Melayu dulu, amalan mandi bunga biasanya dikaitkan untuk membuang ‘malang’ atau sebagai usaha mendapatkan jodoh.

Namun, seiring dengan peredaran masa, mandi bunga kini semakin mendapat perhatian dan menjadi pilihan wanita sama ada yang belum berkahwin, sudah berumah tangga atau bakal melangsungkan perkahwinan untuk kelihatan cantik, berseri dan menarik.

Bukan itu saja, ia dikatakan mampu meredakan tekanan selepas seharian penat bekerja, menghilangkan bau badan serta menaikkan aura seri diri.

Menyediakan pelbagai pilihan mandi bunga, pemilik spa Muslimah Beauty Centre di Kamunting, Taiping Perak, Siti Nur Aqidah Jasmi berkata, untuk mandi bunga, pihaknya menyediakan jenis bunga berlainan warna dan berbau harum kerana dari segi saintifik, warna dan bauan mempunyai tenaga yang akan bertindak balas dengan tenaga dalaman manusia.

“Mandi bunga membawa banyak faedah. Ini kerana bunga dikatakan mampu menyerap tenaga matahari yang paling baik manakala mandi dengan air bercampur bunga membolehkan kita mendapat kebaikan sama ada dari segi aura dan tenaga yang diserap dan diproses oleh bunga.

“Sebab itu, mandi bunga dikatakan mampu menaikkan seri wajah, mengembalikan kesegaran tubuh dan membuatkan diri lebih tenang, gembira serta ceria kerana khasiat pada bunga ini menyerap ke dalam tubuh manusia,” katanya.

Menurut Siti Nur Aqidah, antara bunga yang biasa digunakan ialah mawar merah dan putih, cempaka putih dan kuning serta melur putih dan kuning.

“Biasanya semua jenis bunga ini saya rendam semalaman dan diembunkan terlebih dulu bagi menjadikannya lebih harum. Kemudian rendaman ini saya campurkan bersama air di dalam bekas mandian bersama campuran bunga segar yang lain.

“Bagi membuang kotoran dan membuka pori kulit, saya campurkan dengan limau purut untuk mendapatkan kesan lebih menyerlah,” katanya.

Siti Nur Aqidah berkata, kebanyakan wanita kini memilih mandi bunga untuk melegakan kepenatan dan mendapatkan kembali emosi gembira.

“Kami menyediakan perkhidmatan mandi bunga bukan saja untuk bakal pengantin, juga kepada suri rumah, wanita bekerja yang ingin mengembalikan kesegaran serta meningkatkan keceriaan.

“Walaupun boleh melakukan sendiri di rumah, layanan diberikan di spa nyata berlainan dan pelanggan berpeluang merasai perbezaan bergantung kepada jenis mandian dipilih,” katanya.

Selepas mandi bunga, Siti Nur Aqidah menggalakkan wanita melakukan mandi susu, sauna dan urutan badan bagi melancarkan peredaran darah.

“Selain itu, kulit menjadi lebih lembut dan segar kerana pori lebih terbuka. Sebaiknya rawatan dilakukan sekali dalam sebulan atau sekurang-kurangnya sekali dalam tiga bulan untuk mendapatkan hasil yang diinginkan.

“Jangan anggap mandi bunga ini tidak penting kerana hanya individu yang pernah merasainya dapat memahami mengapa saya katakan ia antara yang perlu dilakukan setiap wanita,” ujarnya.

Tambahnya, soal harga tidak menjadi masalah kerana juruterapi akan berbincang bersama pelanggan bagi menentukan harga yang ditawarkan bersesuaian atau sebaliknya.

“Selain mandi bunga, kami turut menawarkan pelbagai rawatan spa termasuk salun rambut yang dilakukan enam juruterapi bertauliah yang mempunyai kepakaran tersendiri.

“Lebih menarik, spa yang berkonsepkan Bali moden dan kontemporari ini disediakan sepenuhnya untuk wanita bagi memastikan tidak ada timbul isu aurat dan masalah lain,” katanya.

Katanya, dia bersama juruterapi sentiasa berusaha memberikan rawatan terbaik kepada setiap pelanggan.

“Walaupun rawatan mandi bunga ini sudah lama wujud, masih ramai wanita yang tidak pernah melakukannya kerana berasakan ia tidak perlu dan membazir. Namun dalam rentak hidup yang sibuk sekarang ini, luangkan masa untuk memanjakan diri demi kesihatan dan kesejahteraan anda sekeluarga,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2019 @ 5:30 AM