PENGASAS BH Beauty Empire,  Mohammad Hadziq Suhaimi.
PENGASAS BH Beauty Empire, Mohammad Hadziq Suhaimi.
Yusliza Yakimir Abd Talib

KASIH ibu membawa ke syurga. Kata-kata itu ibarat ‘mantera’ buat usahawan muda ini sehingga perniagaan yang diasaskannya didedikasi khusus buat ibu tersayang.

Semuanya bermula apabila dia menyaksikan sendiri ibu yang menggalas tanggungjawab sebagai pengetua sekolah begitu komited dengan kerjaya hingga kesihatan diri jatuh di tempat kedua.

Komitmen kerjaya ibunya, Hamidah Hassan, 56, menuntut wanita itu untuk keluar dari rumah awal pagi dan pulangnya pula lewat petang. Menyedari wanita itu semakin dimamah usia, Mohammad Hadziq Suhaimi cuba mencari jalan keluar untuk membantu wanita itu kekal cergas.

“Memang ibu ada mengadu sering penat, tambahan pula dia menghidap tekanan darah tinggi. Lama-lama saya terfikir, kenapa saya tidak usahakan sesuatu yang boleh membantu ibu meningkatkan kesihatan dan kecergasannya.

“Saya mula buat kajian mengenai sumber makanan yang boleh memberi tenaga khususnya buat yang berusia lanjut sehingga satu hari terfikir mengenai khasiat manjakani untuk kesihatan dalaman wanita.

“Saya bangunkan syarikat BH Beauty Empire dan salah satu produk memang dikeluarkan khusus untuk bantu wanita seperti ibu kekal bertenaga walau sesibuk mana pun mereka dengan rutin harian di tempat kerja dan di rumah menguruskan keluarga,” katanya.

Menurutnya, rutin harian ibunya yang sibuk memang menuntut wanita itu kekal bertenaga dan cergas. Sebagai anak, pastinya dia begitu terharu melihat sokongan ibu apatah lagi jus minuman keluaran syarikatnya, Queen Gold memberi manfaat buat wanita itu.

Mohammad Hadziq berkata, selain ibu, bapanya antara insan yang berdiri kukuh di belakangnya. Tidak pernah sekali pun mereka membantah niatnya untuk menceburi bidang perniagaan meskipun dia tiada langsung pengalaman dalam industri itu.

IBU sumber inspirasi Mohammad Hadziq menggapai impian.
IBU sumber inspirasi Mohammad Hadziq menggapai impian.

Mengakui sikapnya yang optimistik dalam apa jua perkara dilakukan, anak muda berusia 25 tahun ini nekad mencabar diri untuk berdikari dan bertatih dalam perniagaan walaupun awalnya dia sudah menceburi kerjaya yang menjanjikan pendapatan lumayan dalam industri minyak serta gas.

Meskipun masih baru dalam perniagaan, Muhammad Hadziq membuktikan apa juga matlamat mampu dicapai dengan tekad yang utuh, tidak berputus asa dan berani mengambil risiko.

“Jalan saja. Dua perkataan keramat ini yang menjadi pegangan saya. Dalam keluarga belum ada yang menceburi bidang perniagaan, kalau ibu bapa lain pasti sukar memberi restu sebaliknya ibu bapa saya memberi sepenuh kepercayaan untuk saya mencuba bidang baru.

“Restu dan kepercayaan itu yang menyebabkan saya tidak menoleh ke belakang mahupun teragak-agak untuk buat sehabis baik. Hasilnya, pada usia sementah ini saya menjadi majikan kepada 12 kakitangan di syarikat,” katanya.

Ditanya mengenai hubungan dengan kakitangan, Mohammad Hadziq mengakui sentiasa mengamalkan komunikasi terbuka dan lebih menggemari cara berterus terang dan telus dalam setiap urusan kerja harian.

Malah, dia turut terbuka memberi ruang kepada semua pekerja untuk memberi idea, cadangan dan ruang membangun untuk kebaikan mereka malah dia tidak menyekat potensi mana-mana pekerja.

Jika ada yang boleh digilap, Mohammad Hadziq akan beri panduan dan latihan untuk memastikan dia menjadi mentor yang baik kepada mereka.

“Saya berikan sepenuh kepercayaan kepada pekerja membuat keputusan dalam menjayakan sesuatu tugasan diberi kerana mahu mereka belajar erti susah dan berusaha mencapai sesuatu dan belajar daripada kesilapan yang dilakukan.

“Setiap tugasan yang diberikan, saya akan beri peluang untuk pekerja tunjukkan potensi.

Melalui cara itu saya boleh pantau dari semasa ke semasa. Saya juga pastikan setiap pekerja diberi peluang untuk peningkatan kerjaya,” katanya.

Katanya, dia tidak mahu kakitangan di syarikat terutama pasukan jualan untuk berada di kedudukan sama sebaliknya jika mereka mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan, dia akan membantu mencungkil potensi mereka.

KAKITANGAN dijanjikan peningkatan kerjaya di syarikatnya.
KAKITANGAN dijanjikan peningkatan kerjaya di syarikatnya.

Katanya, dia turut menyediakan dana untuk dilaburkan bagi pekerja yang menepati sasaran bagi memegang jawatan utama dalam anak syarikat yang akan dikembangkan.

Baginya, kejayaan sebenar usahawan bukan diukur dengan sebanyak mana jualan yang dihasilkan sebaliknya bagaimana dia mampu melahirkan lebih ramai usahawan yang berdaya saing di bawah syarikatnya.

“Kewujudan syarikat ini seiring matlamat saya membantu ramai anak muda khususnya yang seagama dan sebangsa melakukan sesuatu yang bermanfaat untuk diri mereka sendiri.

“Peluang kerjaya yang saya sediakan ini sebenarnya adalah platform untuk mereka mempelajari selok belok perniagaan. Saya bukan hanya majikan, tapi mentor mereka untuk memastikan mencapai potensi diri.

“Visi saya, mereka bukan saja dapat gaji, tapi juga ilmu yang lengkap untuk menguruskan perniagaan. Jika suatu masa nanti mereka capai sasaran, mereka juga berpeluang diserapkan untuk memegang jawatan tinggi menerusi anak syarikat saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2019 @ 7:00 AM