ZAMZANA percaya khidmat urutan dapat sambutan pelanggan.
ZAMZANA percaya khidmat urutan dapat sambutan pelanggan.
Siti Zarinah Sahib


“Dua puluh tiga tahun lalu ketika melahirkan cahaya mata pertama, saya pulang ke kampung bagi mendapatkan penjagaan ibu sepenuhnya. Ibu mencari tukang urut di sekitar rumah, malangnya setiap hari saya perlu menunggu ibu atau ayah pulang dari kerja semata-mata untuk meminta bantuan mereka menghantar saya ke sana.

Keadaan ini amat menyukarkan saya kerana saya perlu meninggalkan anak di rumah untuk dijaga ibu sementara menunggu urutan selesai,” kata Ketua Pegawai Eksekutif PantangPlus, Zamzana Mohd Arifin tatkala menceritakan pengalamannya ketika berpantang.

Jelas ibu kepada empat cahaya mata ini, sepanjang tempoh berpantang dia mendapatkan khidmat ibu di kampung manakala ibu pula belajar daripada ibunya yang melahirkan 10 orang anak. Sudah tentu kemahiran yang diturunkan daripada satu generasi ke generasi lain mengubah pemikiran Zamzana untuk menjalankan perniagaan yang dianggap tradisi ini menjadi lebih moden dan di sinilah wujudnya PantangPlus.com.

“PantangPlus adalah platform dalam talian yang menyediakan perkhidmatan kepada ibu yang baru melahirkan anak sama ada di Malaysia atau luar negara.

ZAMZANA menunjukkan teknik urutan yang betul.
ZAMZANA menunjukkan teknik urutan yang betul.

“Kebanyakan pelanggan yang menggunakan PantangPlus tidak mempunyai ahli keluarga untuk menjaga mereka. Ada ibu terlalu jauh, sudah tua atau meninggal dunia. Jadi kami mengisi kekosongan ini,” katanya.

Menceritakan lebih lanjut, ujar Zamzana, sebelum menceburi perniagaan ini dia bertugas dalam bidang perbankan selama 15 tahun. Melalui situasi menekan emosi apabila perlu berurusan dengan pelbagai pihak menyebabkan dia mengambil keputusan berhenti kerja semata-mata ingin memberikan tumpuan kepada keluarga. Malangnya disebabkan sudah biasa bekerja, timbul rasa bosan di rumah.

“Saya sering berkunjung ke spa setiap kali letih dan tertekan. Saya dapat rasakan urutan mampu mengurangkan tekanan dan memberikan rasa tenang dalam tempoh yang panjang. Oleh kerana meminati dunia kecantikan sejak kecil, saya terus menyuarakan hasrat kepada suami untuk membuka spa,” katanya.

Malangnya spa hanya bertahan lima tahun. Namun dia masih menerima tempahan urutan di rumah daripada pelanggan setianya. Ini menyebabkan dia terfikir untuk mewujudkan kumpulan terapi yang dapat menjalankan perkhidmatan dari rumah ke rumah. Ia dapat membantu ibu berpantang yang memerlukannya.

“Di atas kesedaran ini saya menyertai program anjuran Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) sehingga menubuhkan PantangPlus.com.

Saya sedar perniagaan ini memerlukan suntikan teknologi dan tidak boleh bergantung kepada cara tradisi semata-mata.

“Bermula dengan tiga juruterapi, saya diberi sasaran untuk mengembangkan pasukan kepada 100 juruterapi. Kini selepas tiga tahun saya memiliki 200 juruterapi yang semuanya Muslimah dan rakyat tempatan,” katanya tersenyum puas.

Biarpun menghadapi masalah dalam pengambilan juruterapi, disebabkan kualiti perkhidmatan diberikan menyebabkan Zamzana tidak menghadapi masalah ini.

“Kemahiran sangat diperlukan dalam bidang urutan. Justeru, untuk lebih serius dalam kerjaya, saya membuka pusat latihan bagi memberikan latihan kepada juruterapi, sekali gus mengembangkan kerjaya mereka,” ujarnya.

Mengakui bidang penjagaan pantang bergerak mempunyai potensi yang sangat besar, dia memerlukan pasukan yang dinamik dan aplikasi terkini supaya boleh diakses secara dalam talian. Dalam setahun, 500,000 kelahiran di Malaysia. Semua mereka memerlukan pakej urutan dan penjagaan ibu dalam pantang.

ZAMZANA bersama sebahagian juruterapinya.
ZAMZANA bersama sebahagian juruterapinya.

“Saya melihat betapa besarnya perniagaan dalam bidang ini dan tidak pernah habis walaupun ramai pengusaha menjalankannya secara bergerak,” katanya yang ditemui di Balai Berita NSTP, baru-baru ini.

Bagi perniagaan dalam talian, penggunaan laman sesawang sangat penting. Memang benar media sosial sangat membantu namun ia sekadar untuk promosi dan kaedah pemasaran sahaja. Menerusi laman sesawang ini, pelanggan hanya perlu mendapatkannya dengan cara berhubung menerusi medium dalam talian.

Tambahnya lagi, dia juga ingin memodenkan kerjaya tukang urut menjadi lebih profesional. Jika dulu pesanan dilakukan daripada mulut ke mulut dengan juruterapi datang berkain batik tetapi kini menerusi saluran dalam talian itu, Zamzana menyediakan prosedur operasi standard yang lebih sistematik.

PERSAINGAN SIHAT

Zamzana mengakui, ada ramai usahawan wanita ingin mengendalikan perniagaan ini kerana ia nampak mudah. Namun hakikatnya untuk memastikan ia berkembang tidaklah semudah disangka. Banyak perkara perlu dikorbankan terutama masa dan tenaga.

“Bayangkan saya perlu ke seluruh negara mengendalikan pelanggan dengan urusan kerja di Kuala Lumpur. Timbul persoalan dalam diri mengapa saya perlu melalui semua kesusahan ini. Tetapi selepas hampir tiga tahun, inilah pengalaman paling berharga iaitu mendapat kepercayaan pelanggan,” katanya.

Menyediakan pakej berpantang mewah atau premium, jelas Zamzana, penjagaan berpantang diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan. Malah dia turut berurusan dengan wanita dalam pantang di luar negara. Inilah yang membezakan jenama ini dengan yang lain.

ZAMZANA kini miliki 200 juruterapi yang semuanya Muslimah dan rakyat tempatan.  FOTO: Halimaton saadiah Sulaiman
ZAMZANA kini miliki 200 juruterapi yang semuanya Muslimah dan rakyat tempatan. FOTO: Halimaton saadiah Sulaiman

“Setakat ini juruterapi kami pernah berkhidmat sehingga ke Singapura, Australia, Dubai dan United Kingdom dalam tempoh yang panjang selama 30 hingga 40 hari. Saya teruja dengan kepercayaan pelanggan kerana mereka mendapat maklumat menerusi dalam talian dan terus memilih pakej yang kami sediakan,” katanya.

Mengakui kerjaya sebagai juruterapi banyak bergantung kepada kepercayaan, jelas Zamzana, juruterapi sebenarnya tidak terikat dengan masa. Mereka boleh merancang kerjaya mengikut waktu yang ditetapkan.

“Saya melihat tidak selama-lamanya mereka harus bergelar juruterapi kerana sampai satu masa mereka boleh mengubah diri daripada tukang urut biasa kepada membina empayar perniagaan sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 6:00 AM