HORMATI warisan.
HORMATI warisan.
Intan Mas Ayu Shahimi

SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, revolusi gaya baju Melayu bagaikan tiada noktah. Setiap kali musim perayaan, banyak koleksi baju Melayu diperkenalkan.

Ada yang masih mengekalkan potongan klasik dengan pesak dan kekek, ada juga yang menampilkan gaya moden. Bagi yang berani dan mahukan kelainan, baju Melayu dengan potongan muat padan, lengkap perincian serta warna terang jadi pilihan.

Sekali imbas, agak janggal melihat rupa baju Melayu yang bukan saja hilang nilai kemelayuan, bahkan identitinya dirobek rakus hanya kerana desakan untuk tampil bergaya, unik dan ‘seiring perkembangan fesyen semasa.’

Menurut Presiden Persatuan Pereka Bumiputera (BDA), Bon Zainal Harun, baju Melayu adalah pakaian tradisional lelaki Melayu yang dulunya direka untuk keselesaan pemakai.

“Kalau diimbas rekaan asli baju Melayu, ia sepatutnya longgar, selesa dan sesuai untuk tujuan beribadah mahupun sebarang aktiviti riadah. Potongannya mesti ada pesak dan kekek. Satu poket di bahagian kiri atas dan dua lagi di bahagian bawah, kiri dan kanan. Pemilihan fabrik pula lebih kepada kapas dan linen.

“Berbeza dengan koleksi baju Melayu sekarang yang banyak mengetepikan perincian wajib seperti pesak dan kekek. Poket pula tidak cukup sifat, manakala fabrik dipilih mengikut kehendak dan kemampuan pemakai,” katanya.

Memandangkan sambutan Aidilfitri semakin hampir, ketika ini pengusaha pakaian berlumba-lumba mengeluarkan pelbagai koleksi baju Melayu unik buat pilihan mereka yang mahukan kelainan dalam gaya.

BAJU Melayu moden dengan rekaan asli.
BAJU Melayu moden dengan rekaan asli.

Pemilihan fabrik tidak terhad kepada jenis kapas, krep atau linen saja, bahkan melangkaui pelbagai jenis satin, Jacquard, dan sutera tiruan. Manakala potongan baju pula tampak berlebihan kerana terlalu mengikut susuk tubuh, ditambah perincian, corak serta dipadankan dengan gaya yang salah.

“Kita tahu kerja pereka fesyen menghasilkan rekaan pakaian menarik tapi jangan sampai memperlekehkan busana tradisi. Kita boleh lihat bagaimana pakaian bangsa lain kekal dengan ciri dan potongan asli. Jadi, mengapa baju Melayu perlu di ubah sana sini?

“Umpamanya, rekaan muat padan (slim-fit). Ia bukan lagi muat padan, tetapi ketat dan keterlaluan. Baju Melayu seharusnya mengekalkan ciri selesa. Namun sekarang, berapa ramai di antara pemakai yang berdepan masalah untuk mengambil wuduk dan bersolat. Mereka tidak selesa kerana potongan baju dan seluar yang ketat.

“Selain itu, ada juga yang buat baju dengan rona terang dan berani. Kemudian ditambah perincian renda, batu dan corak. Ini pun tidak sesuai. Jika diteruskan, hilanglah identiti baju Melayu yang sepatutnya nampak sopan, klasik dan kemas,” katanya.

Jelas Bon Zainal, baju Melayu sepatutnya menyerlahkan penampilan, menampakkan rupa kacak dan kekemasan pemakai. Busana ini harus dipadankan dengan samping dan songkok pada saiz bersesuaian.

“Jangan terpengaruh dengan arus fesyen dan rekaan unik. Sebaik-baiknya, padankan pemilihan baju dengan penampilan diri. Kalau pilih songkok, biarlah tingginya sekitar 3.5 inci, jangan pakai songkok tinggi dengan baju Melayu cekak musang.

“Samping pula haruslah sedondon. Jika leher teluk belanga, pakailah samping ikut cara orang Johor yang bajunya di luar. Kalau berbaju Melayu teluk belanga, biarlah sampingnya dipakai kemas dengan baju di dalam.

“Pastikan leher cekak musang ada lima butang. Ini semua asas. Jangan perlekehkan budaya dan tradisi hanya kerana mahu mengikut selera sendiri. Paling penting, kekalkanlah warisan kita. Biar segak dipandang orang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 6:00 AM