KUALA LUMPUR 07 JANUARY 2019. Model, Sharifah Nur Farhana Syed Ahmad menggayakan 'red carpet looks'. NSTP/ AKMA BAKAR
KUALA LUMPUR 07 JANUARY 2019. Model, Sharifah Nur Farhana Syed Ahmad menggayakan 'red carpet looks'. NSTP/ AKMA BAKAR
Intan Mas Ayu Shahimi

MANIS senyuman gadis ini tatkala diminta beraksi di depan kamera. Matanya tampak galak dengan sentuhan solekan jurumekap artis hari itu. Sekali imbas, Sharifah Nur Farhana Syed Ahmad Fadzli kelihatan matang daripada usianya.

Mesra dengan panggilan Nana, anak kelahiran Terengganu ini sebenarnya baru mencecah usia 18 tahun. Berbanding kebanyakan gadis yang lebih suka memerap di rumah sementara menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia memilih untuk bekerja separuh masa di kedai telekomunikasi dan berjinak-jinak dalam dunia peragaan.

“Saya sengaja memilih kedai telekomunikasi kerana di sini banyak yang boleh dipelajari. Saya boleh belajar serba sedikit ilmu perkomputeran dan selok-belok dunia telekomunikasi. Menjadi model pula adalah sebahagian minat. Mana tahu jika berpeluang untuk menyinar dalam bidang peragaan pada masa akan datang,” katanya tersenyum.

Kebetulan bercerita mengenai dirinya di Studio Jalan Riong, anak kedua daripada empat beradik ini sempat berkongsi petua yang diamalkan untuk sentiasa tampil segar dan berseri.

“Kalau diikutkan, saya mula memberi perhatian terhadap penjagaan diri dan wajah sejak usia 12 tahun. Itu pun kerana mahu tampil kemas dan bersih.

“Sekarang, saya lebih suka menggabungkan penggunaan produk penjagaan diri sedia ada di pasaran dengan amalan tradisional menggunakan bahan organik termasuk petua daripada mama dan opah,” katanya.

Bercerita lanjut, kata Sharifah Nur Farhana, tidak banyak yang berubah dalam rutin penjagaan dirinya dulu dan sekarang. Lazimnya, dia akan melakukan senaman mudah untuk meregangkan tubuh sebaik bangun dari tidur.

“Selalunya saya buat senaman tubuh yang ringan, diikuti senaman wajah. Usai senaman, barulah saya akan mencuci wajah. Berbeza dengan rutin sebelah malam, biasanya ia mengambil masa lebih panjang.

“Saya akan bancuh pupur menggunakan bahan semula jadi seperti lemon, madu, daun lidah buaya, tomato dan limau nipis. Semua ini bergantung kepada bahan yang ada. Saya juga gunakan telur sebagai masker wajah. Untuk mata pula, saya guna potongan timun segar untuk mengurangkan kesan keletihan.

“Bagi penjagaan kesihatan dalaman pula, saya amalkan minum air rebusan herba termasuk halia, serai, bawang putih dan kunyit. Seronok apabila dapat sesekali merawat diri di spa,” katanya.

Jelasnya, kerjaya sebagai model menuntut dirinya menjadi seorang yang lebih teliti dalam memilih jenis rawatan tubuh dan wajah terbaik. Dia juga seboleh-bolehnya akan mengelak daripada menggunakan sebarang produk kosmetik meragukan.

“Apabila kulit kusam dan kering, saya akan kembali kepada amalan tradisional sebagai rawatan alternatif kerana bimbang penggunaan produk sedia ada lebih memburukkan keadaan.

“Kunyit antara pilihan kerana berupaya merawat kulit berminyak, cela wajah, jerawat dan mencegah pigmentasi. Bancuhkan sedikit dan jadikan krim wajah untuk sebelah malam.

“Selebihnya, saya amalkan minuman teh hijau dan minum banyak air kosong untuk meningkatkan imun tubuh, mencantikkan kulit dan mengekalkan berat badan,” katanya.

Kata Sharifah Nur Farhana, dia percaya ada banyak produk di pasaran yang bagus, namun tidak menyangkal sebahagian daripadanya masih boleh mendatangkan kesan negatif terhadap tubuh dan kulit wajah.

“Untuk diri saya, memang bahan semula jadi seperti kunyit dan beras lebih banyak membantu dalam penjagaan kulit wajah. Itu antara rahsia mengapa kulit saya jarang ditumbuhi jerawat dan nampak segar walaupun tidak menggunakan sebarang solekan,” katanya.

TIP

1. Cuci wajah hingga bersih menggunakan setiap pagi.

2. Lakukan senaman ringkas setiap pagi.

3. Cuci wajah dengan sabun semula jadi yang dibuat daripada betik dan beras.

4. Bersihkan wajah setiap kali selepas menggunakan mekap.

5. Cuci wajah sebelum tidur.

6. Gunakan serum untuk merehatkan kulit wajah.

7. Kawal pemakanan dan elakkan hidangan berminyak.

8. Tidur awal untuk mengelakkan wajah kusam tidak bermaya pada hari berikutnya.

9. Amalkan senaman wajah.

10. Minum air mencukupi untuk meningkatkan sistem imun tubuh.

SENAMAN WAJAH

1. Pipi

Kembungkan pipi dengan mengalihkan angin dari pipi kiri ke pipi kanan berganti-ganti sebanyak lima kali. Hembus angin ini dengan membuat mulut seperti bentuk ‘O’ yang kecil. Ulang tiga hingga empat kali.

2. Lidah

Jelirkan lidah, sejauh yang boleh dan tahan selama 60 saat. Ulang tiga kali.

3. Leher

Dongakkan kepala dan lihat siling. Donggakkan kepala sambil muncungkan mulut seperti hendak mencium sesuatu. Tahan selama lima saat dan ulang lima kali. Ini adalah senaman untuk meregang dan menguatkan otot leher.

4. Bibir

Rendahkan rahang untuk membuka mulut dan muncungkan bibir untuk membuat bentuk O kecil. Kekalkan kedudukan rahang dan besarkan mulut untuk membuat O besar dan seolah anda tersenyum. Ulang 10 kali.

5. Bibir dan pipi

Senyum sambil mengetap bibir. Kemudian cengkungkan pipi dengan memasukkan daging pipidi celah gigi atas dan bawah. Ulang lima kali untuk memberi bentuk kepada bibir dan pipi.

6. Mata

Besarkan mata seperti anda sedang takut. Tarik kulit muka ke belakang ketika anda melakukan senaman ini.

7. Dagu

Lentukkan kepala ke kiri selama lima saat dan lentukkan pula ke sebelah kanan. Anda juga boleh membuat pusingan kepala mengikut arah jam dan lawan jam. Buat lima kali untuk setiap pergerakan untuk mengurangkan pembentukan daguberlapis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 9:28 AM