AWASI tanda anak tercekik.
AWASI tanda anak tercekik.
Yusliza Yakimir Abd Talib

SETIAP ibu bapa pasti pernah berdepan pengalaman bayi mereka memasukkan objek ke dalam mulut. Tindakan semula jadi itu sebenarnya cara bayi mempelajari dunia di sekeliling mereka.

Ibu bapa mahupun pengasuh bertanggungjawab mengawasi si manja sebanyak masa yang boleh dan memberi mereka persekitaran selamat serta kondusif termasuk memastikan objek yang berpotensi menyebabkan insiden tercekik dijauhkan daripada bayi.

Malah mereka perlu sentiasa awasi apa yang anak masukkan ke dalam mulut kerana dibimbangi tercekik dan bahayanya boleh terjadi di mana-mana dan sentiasa menjadi ancaman.

Tercekik ditakrifkan American Academy of Pediatrics (AAP) sebagai sekatan atau halangan pernafasan oleh bahan asing yang menyekat saluran pernafasan dalaman dan ia antara penyebab utama morbiditi serta mortaliti (kematian) dalam kalangan kanak-kanak, terutama yang berumur di bawah tiga tahun.

Pada peringkat ini dan terutama apabila gigi mula tumbuh, bayi berkemungkinan besar akan menggunakan mulutnya sebagai alat untuk menjelajah dan membuat penemuan baru.

Bagaimana jika anda berdepan situasi anak tercekik objek yang dimasukkan ke dalam mulut? Tentu ramai ibu bapa panik, apatah lagi jika tidak mempunyai ilmu untuk mengeluarkan objek berkenaan. Secara umumnya boleh dikatakan masih ramai ibu bapa mahupun penjaga kanak-kanak dan bayi tidak tahu tindakan selanjutnya bagi menyelamatkan nyawa anak mereka.

Jika terlambat memberi bantuan, nyawa anak mereka mungkin menjadi taruhan. Oleh itu, pentingnya ibu bapa mahupun sesiapa saja mempelajari teknik yang betul menangani saat cemas seperti tercekik.

Pakar Kardiologi Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri Dr Ika Faizura berkata, ketika berdepan saat kecemasan ini, ada beberapa perkara yang boleh dilakukan ibu bapa sebagai bantuan awal sementara menunggu bantuan selanjutnya.

Menurutnya, apabila si kecil tidak bertindak balas, tepuk kedua-dua bahunya dengan agak kuat, panggil anak, periksa pernafasan secara melihat dadanya sama ada pernafasan lancar atau sebaliknya.

“Jika anak menghela pernafasan sekejap panjang dan pendek, ia tindak balas yang tidak baik. Anda juga boleh memeriksa nadi di bahagian leher manakala untuk bayi bawah usia setahun, periksa denyutan nadinya di bahagian atas pergelangan tangan.

“Bagi kanak-kanak di bawah usia setahun, selain bantuan pernafasan mulut ke mulut, hembus di bahagian hidung bayi sebagai bantuan asas memandangkan mulut bayi masih kecil berbanding rongga mulut dewasa.

“Jika ibu bapa atau penjaga sudah pasti masih tiada pernafasan dan nadi, dapatkan bantuan segera di hospital terdekat,” katanya ketika ditemui pada Program Bantuan Kecemasan Keluarga di hospital berkenaan, baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Dr Munirah Khudri, jururawat, ibu bapa dan kumpulan guru prasekolah sekitar Lembah Klang.

DR Ika menerangkan mengenai bantuan awal.
DR Ika menerangkan mengenai bantuan awal.

BERTINDAK PANTAS DENGAN ILMU

Penyelaras Latihan Sokongan Hidup Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri Asmah Md Kasah berkata, situasi cemas boleh ditangani asalkan ibu bapa atau sesiapa yang berdepan situasi itu tahu langkah yang sepatutnya diambil.

Katanya, apabila pemeriksaan dilakukan dengan merasai nadi dan pernafasan, ini bermakna kanak-kanak masih boleh bernafas dan laluan pernafasan masih ada.

Ini juga bermakna, katanya, masih ada harapan untuk mangsa diselamatkan sekiranya ibu bapa atau penjaga bertindak pantas dan tepat bergantung pada situasi ketika itu.

“Dalam kes tercekik, ibu bapa tidak digalakkan mengeluarkan objek atau makanan tersekat kerana ia mungkin akan menolaknya lebih ke dalam. Perlu diingatkan jika anda tidak yakin, jangan lakukan.

“Langkah terbaik dalam situasi ini adalah beri perhatian penuh ketika kanak-kanak itu batuk sehingga dia kembali bernafas seperti biasa.

“Jika kanak-kanak itu sedar tetapi tidak boleh bernafas atau bercakap atau mula menjadi biru, gunakan teknik menekan perut. Ini boleh dilakukan oleh sesiapa yang sudah dilatih melakukan teknik ini,” katanya.

Katanya, bagi kanak-kanak yang tidak sedar dan tidak bernafas pula, teruskan dengan teknik CPR jika ibu bapa atau sesiapa sudah dilatih sebelum bantuan selanjutnya tiba.

Antara gejala yang dapat dilihat apabila kanak-kanak mengalami keadaan ini adalah memegang bahagian tekak mereka, sukar bernafas dan bercakap selain kulit, bibir dan kuku menjadi kebiruan.

Selain itu, beliau berkata kebanyakan kanak-kanak terdedah kepada objek seperti duit syiling dan lebih merumitkan apabila kedudukan duit syiling yang ditelan itu dalam keadaan yang menutup salur pernafasan.

Lebih mengejutkan, ada kes kanak-kanak tercekik makanan yang dianggap tidak berbahaya tetapi memiliki permukaan licin seperti bebola ikan.

Oleh itu katanya, ibu bapa disarankan menyimpan nombor kecemasan termasuk nombor telefon hospital terdekat, nombor telefon keluarga terdekat serta jiran.

Sementara itu, guru swasta, Nurliyana Razali berkata, ilmu yang diperoleh sepanjang program berlangsung dapat dimanfaatkan kepada kanak-kanak di bawah bimbingannya.

Ini memandangkan situasi tercekik objek bukan saja berlaku di rumah tetapi berisiko terjadi di sekolah terutama tadika.

“Ilmu ini perlu dimanfaatkan oleh sesiapa saja memandangkan ia perkara biasa berlaku dalam kalangan kanak-kanak.

“Saya pernah mengalami situasi cemas apabila kanak-kanak kecil menelan mainan lego. Mujur ia boleh dikeluarkan sendiri.

“Kadang kala kanak-kanak tidak sedar mereka sudah memasukkan objek ke dalam mulut. Sebagai ibu bapa dan guru, kita perlu memberi lebih perhatian kepada mereka untuk mencegah kejadian yang tidak diingini,” katanya.

Melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran mengenai pertolongan cemas adalah sesuatu yang sangat berfaedah bukan saja untuk diri malah untuk orang ramai terutama ketika berlaku kecemasan.

Ibu bapa, penjaga dan pengasuh juga digalakkan mempelajari teknik ini dan menyertai kelas CPR sebagai persediaan sekiranya perkara tidak diingini berlaku kepada bayi di bawah jagaan mereka. Ini sekali gus mampu menyelamatkan nyawa bayi berkenaan dan mengelak tragedi.

PESERTA melakukan demonstrasi bantuan kecemasan kepada bayi.
PESERTA melakukan demonstrasi bantuan kecemasan kepada bayi.

PANDUAN BERDEPAN SITUASI CEMAS

Berikut antara langkah yang boleh dilakukan sekiranya berdepan situasi cemas seperti tercekik.

1. Beri bantuan awal

Pertolongan kecemasan adalah bantuan permulaan atau rawatan pertama yang diberikan kepada mangsa sebelum bantuan CPR. Ia dapat menggalakkan pemulihan, mengelakkan berlakunya komplikasi dan juga untuk menyelamatkan nyawa sementara menunggu bantuan perubatan daripada pakar perubatan dan profesional.

2. Jangan panik

Siapa tidak sayang anak apatah lagi dalam saat kecemasan. Ketika memberi bantuan kecemasan kepada mangsa, anda harus mengawal perasaan agar tidak panik dan bertenang.

3. Periksa sama ada bayi bernafas atau tidak

Periksa sama ada bayi bernafas atau tidak dengan mendekatkan telinga ke mulut bayi bagi mendengar dan merasai nafas bayi serta melihat pergerakan dada bayi dalam masa lima saat dan tidak melebihi 10 saat.

4. Hembus mulut bayi sehingga ada tindak balas

Lakukan hembusan sehingga bayi menggerakkan tubuh atau memberi tindak balas. Jika keadaan masih sama, bawa anak terus ke hospital tetapi pastikan bantuan CPR dilakukan secara berterusan.

5. Nadi bayi boleh diperiksa pada lengan

Periksa nadi bayi pada bahagian bawah lengan bayi selama lima ke 10 saat.

6. Guna dua jari dan tekan dada

Bagi bantuan CPR, gunakan dua jari untuk menekan pada bahagian tengah tulang dada. Tekan beberapa kali dan hembus nafas ke mulut bayi sebanyak dua kali.

Tanda kanak-kanak dan bayi tercekik

Mangsa mungkin akan mengalami:

-Sesak nafas secara tiba-tiba

-Bunyi nafas tidak normal (bunyi seperti siulan)

-Menggenggam kerongkong

-Kawasan mulut dan bibir kebiru-biruan

-Bernafas dengan cepat

-Lubang hidung kembang-kempis setiap kali bernafas

-Pengsan

-Berhenti bernafas

Kadang kala kanak-kanak akan tersedak (seperti kacang tanah) jika objek tersebut sangat kecil. Mereka akan mengalami :

-Batuk yang berterusan

-Termengah-mengah

-Tiada apa-apa tanda

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Disember 2018 @ 5:30 AM