KEMAHIRAN manipulatif jari jemari mudah terbentuk.
KEMAHIRAN manipulatif jari jemari mudah terbentuk.
Muhamaad Razis Ismail

Pada usia yang masih kecil, terdapat fasa di mana bayi cenderung menyuap makanan sendiri.

Selain bimbang tercekik, ibu bapa juga tidak mahu makanan disepahkan dan terbazir begitu sahaja.

Sebenarnya, ibu bapa tidak perlu bimbang atau menghalangnya kerana kecenderungan untuk makan sendiri amat baik untuk perkembangan awal kanak-kanak daripada segi pergerakan dan psikologi.

Jurupulih carakerja, Norliyana Raya berkata, kanak-kanak atau bayi cenderung untuk makan sendiri kerana mereka berada di dalam fasa eksplorasi.

Katanya, fasa eksplorasi bermula seawal usia tiga bulan apabila seorang bayi mula menggunakan bahagian mulut (oral) untuk berinteraksi dengan persekitaran.

"Peringkat pertama interaksi dan eksplorasi oral ini bermula dengan memasukkan jari-jemari ke dalam mulut merekadan seterusnya diikuti dengan fasa memasukkan objek ke dalam mulut bermula di usia lima bulan.

"Pada usia enam bulan, bayi mula diperkenalkan dengan makanan awalnya dan di sini, bayi belajar untuk membezakan perkara yang boleh dimakan dan tidak boleh dimakan.

"Apabila bahagian deria rasa di otak sudah boleh membezakan perkara ini, maka bayi akan melalui satu lagi fasa eksplorasi iaitu makan sendiri dan mengeksplorasi persekitarannya dengan memasukkan kebanyakan objek di dalam mulut dengan lebih kerap lagi," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Kebiasaannya bayi akan mula menunjukkan rasa ingin makan sendiri pada usia lapan bulan kerana pada waktu ini, posisi duduk pada bayi sudah mula stabil.

"Otot-otot dan sendi pada bahagian badan sudah mula kuat dan bermulalah fasa eksplorasi untuk merasai kebanyakan objek atau makanan di sekeliling mereka diikuti dengan pergerakan badan.

"Ia normal untuk bayi mula lebih bereksplorasi dengan persekitarannya melalui pergerakan," katanya.

MENGUTIP makanan antara tanda awal bayi atau kanak-kanak ingin makan sendiri.
MENGUTIP makanan antara tanda awal bayi atau kanak-kanak ingin makan sendiri.

Mengulas lanjut, pada usia ini juga, otot dan sendi di bahagian mulut (oral) sudah mula mencari sesuatu makanan yang pejal dan kenyal untuk dikunyah.

"Ini kerana pada waktu ini, gigi bayi kebiasaannya sudah mulai tumbuh dan gusi menjadi semakin kukuh.

"Fasa menggigit juga terdapat pada ketika ini kerana bayi juga perlu mengeksplorasi kekuatan gigi dan gusinya dengan kunyahan makanan,"katanya.

Norliyana berkata, antara tanda awal yang ditunjukkan bayi atau kanak-kanak ingin makan sendiri adalah apabila anak sudah mula menggunakan jari-jemarinya untuk mengutip makan di lantai.

"Apabila anda meletakkan objek-objek kecil di lantai, anak sudah mulai menguis objek ini untuk dimasukkan ke dalam mulut.

"Apabila perkara ini berlaku, ibu bapa perlu menghalang anak daripada memasukkan objek itu ke dalam mulut, dan mengalihkan perhatiannya kepada mengutip dan menguis cebisan roti dan biskut di dalam bekas. Kebiasaannya, perkara ini berlaku ketika anak di usia lapan bulan dan ke atas," katanya.

Tambahnya, antara tanda lain yang boleh dikesan adalah apabila anak sudah mula membuat aktiviti 'acah-acah makan'ketika bermain.

"Perkara ini boleh dilihat apabila anak memegang sudu sendiri dan mula membuat 'acah-acah' memasukkan makanan ke dalam mulut, pada ketika ini, anak itu sudah menunjukkan kesediaan untuk makan sendiri," katanya.

SEGELINTIR ibu bapa bimbang meja bersepah apabila anak dibiarkan makan sendiri.
SEGELINTIR ibu bapa bimbang meja bersepah apabila anak dibiarkan makan sendiri.

Katanya, dengan makan sendiri, ia baik kepada psikologi kanak-kanak apabila dapat membentuk keyakinan diri, sifat tanggungjawab, berdikari dan disiplin sejak daripada kecil.

"Dari segi pergerakan, mereka memahami bagaimana untuk merancang pergerakan badan ketika bergerak. Contohnya ketika perlu mencedok lauk,nasi dan sebagainya.

"Kemahiran manipulatif jari jemari mudah terbentuk menyebabkan anak mudah memegang pensil dan gunting dengan betul," katanya.

Melihat kepada kecenderungan anak ini, ibu bapa boleh mengambil langkah awal dengan melakukan pemantauan terhadap proses kunyahan ketika makan.

"Jika anak tidak tercekik ketika kita menyuapkan makan, maka latihan boleh diberikan terlebih dahulu di peringkat awal dan mula membiarkan anak berdikari sekiranya sudah yakin.

"Ibu bapa juga perlu menyediakan persekitaran dan peralatan yang selamat jika ingin memastikan anak boleh makan sendiri dalam keadaan selamat," katanya.

Ibu bapa juga boleh perkenalkan anak yang berusia lapan bulan dengan kepelbagaian tekstur makanan seperti roti, pisang atau bubur nasi.

"Jika anak sudah tidak tercekik, bermaksud ia bagus dan menunjukkan satu perubahan progresif untuk anak terus makan makanan yang rutin sama seperti kita makan ketika pada usia 12 bulan kelak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2022 @ 10:21 AM