PROGRAM mendapat sambutan mengalakkan.
PROGRAM mendapat sambutan mengalakkan.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Menyokong usaha mengatasi isu kekurangan bekalan darah negara, MBO Cinemas dan St John Ambulance Malaysia mencapai sasarannya dengan mengumpul 6,941 pain darah tahun ini sekali gus mencatat kejayaan besar bagi kempen dianjurkan.

Kempen bertemakan Darah Menghubungkan Kita menarik lebih ribuan penderma yang menyahut panggilan untuk menambah bekalan darah negara yang semakin berkurang di Pusat Darah Negara selain usaha berterusan bagi meningkatkan kesedaran terhadap keperluan lebih banyak program menderma darah di seluruh negara.

Sejak diperkenalkan pada 2014, kempen tahunan derma darah anjuran MBO itu mengumpul lebih 23,000 pain darah yang dianggarkan mampu menyelamatkan kira-kira 69,000 nyawa.

Pengurus Besar Jualan dan Pemasaran MBO Jamie Tiong berkata, untuk kempen tahun ini, pihaknya berjaya mengutip lebih 1,000 pain berbanding jumlah yang diterima tahun lalu.

Katanya, ini mungkin kerana sokongan tidak berbelah bagi yang diterima daripada pelanggan dan penyokong hingga melebihi jangkaan.

Penderma turut diberi kejutan dengan pemberian beg eksklusif syarikat itu sebagai penghargaan terhadap usaha murni mereka.

Menerusi program yang diadakan di MBO The Starling Mall, Uptown Damansara itu, latihan dan demonstrasi CPR turut diadakan sempena Ulang Tahun ke-110 St John Ambulance di Malaysia untuk meraikan penubuhan badan itu di negara ini lebih satu abad.

Latihan itu juga bagi mendidik ahli komuniti cara betul melakukan CPR supaya mereka mampu memberikan bantuan dan berpotensi menyelamatkan nyawa seseorang apabila diperlukan khususnya insan tersayang.

Satu mesej penting yang turut cuba difokuskan terhadap kepentingan menderma darah secara teratur supaya stok darah dapat disimpan pada tahap yang mencukupi sebelum berlaku kecemasan.

Ini kerana hanya 2.2 peratus daripada 30 juta rakyat Malaysia menderma darah berbanding 3.5 peratus hingga lima peratus yang dicatatkan di negara maju.

Rata-rata, hospital kerajaan dan swasta di Malaysia perlu menyediakan kira-kira 2,000 beg darah untuk menyokong keperluan 1,000 pesakit setiap hari.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 September 2018 @ 12:11 PM