PESERTA program kemasyarakatan.
PESERTA program kemasyarakatan.
Siti Nadirah Hafidzin

Kegembiraan sebenar lebih dirasai apabila dapat dikongsi bersama insan memerlukan dan lebih bermakna apabila usaha itu meninggalkan kenangan indah kepada individu terbabit.

Berusaha berkongsi kegembiraan dengan golongan memerlukan, PB Hope menganjurkan program kemasyarakatan bersama 60 anak yatim dan asnaf berusia dalam lingkungan empat hingga 14 tahun, baru-baru ini.

Merancang untuk mencari kelainan dalam program dijalankan, Pengurus Projek Mohd Shahfudin Sukiman berkata, kanak-kanak dari Pusat Penjagaan At Taqwa, Puchong, Selangor dibawa ke Air Terjun Jerangkang, Maran, Pahang bagi mengikuti program terbabit.

Menurutnya, 60 sukarelawan bersama-sama 30 kru program mengambil bahagian dalam program itu apabila setiap sukarelawan dipertanggungjawabkan menjaga seorang kanak-kanak.

GEMBIRA dengan program dijalankan.
GEMBIRA dengan program dijalankan.

“Antara aktiviti dijalankan adalah mengembara dengan cabaran berbentuk sukaneka bagi memupuk sifat kerjasama dan daya pemikiran kreatif menyelesaikan masalah dalam kalangan peserta.

“Turut diadakan aktiviti meredah trek hutan dan meninjau pada waktu malam bagi memberi pendedahan kepada peserta cara pendakian serta memupuk rasa cinta kepada alam sekitar,”katanya.

Mohd Shahfudin berkata, bagi menambah keseronokan peserta, mereka turut dibawa bermandi-mandi untuk merasai kesejukan air terjun Jerangkang.

“Selain berkongsi kegembiraan dengan kanak-kanak ini, kami berharap mereka dapat mencapai objektif melalui setiap aktiviti dijalankan terutama dalam membina keyakinan dan sifat berani.

“Kami berharap mereka dapat merasai nikmat menerokai keindahan alam dan pada masa sama bersyukur di atas segala anugerah Allah , tidak kira apa bentuknya,” ujarnya.

Katanya, pihaknya juga gembira kerana berpeluang membawakan kegembiraan kepada golongan kurang bernasib baik.

“Pendekatan yang kami bawakan agak berbeza dengan program kemasyarakatan lain kerana kami memilih untuk menjalankan program di kawasan air terjun dan lebih kepada usaha mendekatkan diri kepada alam.

“Namun, saya yakin pendekatan seperti ini juga dapat memberi kegembiraan kepada kanak-kanak terbabit,” katanya.

MEREDAH trek hutan.
MEREDAH trek hutan.

Sementara itu, seorang lagi pengurus projek Nurul Atiqah Mohd Hiffni berkata, pihaknya berharap lebih ramai komuniti terutamanya belia yang terbuka hati untuk mengambil bahagian dan menyumbang tenaga dalam program kemasyarakatan.

“Bukan saja kepada golongan diraikan, kami turut berusaha menambah lebih ramai lagi belia untuk terbabit aktif dalam penganjuran acara yang memberi manfaat kepada masyarakat. Ia bukan saja untuk kebaikan penerima, tetapi secara tidak langsung akan memberi nilai tambah kepada jati diri sukarelawan khususnya golongan belia supaya tidak menjadi kelompok yang memikirkan kepentingan diri sendiri saja.

“Tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima. Melalui program kemasyarakatan seperti ini diharap dapat membuka kesedaran banyak pihak untuk bersama-sama menggembirakan insan memerlukan bukan saja melalui bantuan wang ringgit,” ujarnya.

Katanya, kegembiraan yang dikongsi bukan hanya tertumpu kepada pemberian wang ringgit atau hadiah semata-mata namun ia lebih kepada menghargai serta menggembirakan orang lain. Malah ini adalah antara cara mendidik anak yang dibantu untuk kembali menyumbang kepada masyarakat apabila mereka dewasa kelak.

ANTARA aktiviti dijalankan.
ANTARA aktiviti dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Ogos 2018 @ 2:06 PM