AKTIVITI menuruni cerun air terjun menguji ketahanan mental dan fizikal.
AKTIVITI menuruni cerun air terjun menguji ketahanan mental dan fizikal.
Hafiz Ithnin

Bagi peminat aktiviti tali tinggi, Hutan Lipur Jerangkang, Maran, Pahang antara yang pilihan utama kerana persekitarannya masih bersih dan banyak kegiatan ekstrem boleh dilakukan sebaik tiba di situ.

Tapak perkhemahan yang luas pada anggaran penulis mampu memuatkan 100 orang memberi kemudahan kepada pengunjung untuk merasai pengalaman bermalam dalam hutan atau bersantai bersama ahli keluarga dan rakan taulan.

Tidak hanya bermalam dan menikmati kesejukan air terjun Sungai Jerangkang yang difahamkan mempunyai 30 kolam bertingkat, ia juga sentiasa menjadi destinasi penganjur mengadakan aktiviti ‘abseiling’ atau aktiviti turun dari tempat tinggi ke tempat yang rendah. Aktiviti ini memerlukan daya ketahanan otot tangan dan kaki. Selain itu pelbagai cabaran tali tinggi di kolam yang berhampiran dengan tapak perkhemahan itu.

Bagi orang ramai yang ingin mencuba aktiviti tali tinggi di kawasan itu, ada banyak operator yang menawarkan perkhidmatan berkenaan termasuk menyediakan pengangkutan hingga ke tapak perkhemahan. Cuma, sebagai peserta perlu bijak memilih operator yang mempunyai pengalaman luas dan profesional dalam mengendalikan aktiviti ekstrem itu.

Abah-abah, tali keselamatan, ‘caribiner,’ jaket keselamatan dan topi keledar rekreasi perlu dipakai dengan betul dan diperiksa kru berpengalaman bagi mengelak kemalangan. ‘Carabiner’ biasanya digunakan untuk mengaitkan tali ke badan.

Merasai pengalaman mencuba aktiviti turun dari tempat lebih tinggi ke kawasan air terjun sudah semestinya memberi pengalaman baru kepada penulis. Malah, pengalaman itu mencabar kerana perlu mempunyai kemahiran untuk turun ke kolam lebih bawah pada paras sekitar lima meter.

Air mengalir deras dari kolam atas menjadi cabaran utama mengendalikan tali yang dipasangkan pada abah-abah di badan penulis.

Ini kerana air yang mengalir deras itu menyebabkan badan sukar diimbangi.

KOLAM air terjun di Jerangkang yang menarik.
KOLAM air terjun di Jerangkang yang menarik.

Meskipun hanya setinggi kira-kira lima meter, mereka yang mempunyai rasa gayat sudah pasti sukar menuruni kawasan itu kerana perlu keyakinan tinggi untuk mengawal emosi dan sentiasa tenang ketika melakukannya.

Bagi memastikan pergerakan turun lancar, anda perlu memakai kasut sesuai memandangkan dinding batu sungai yang dipijak secara menegak itu licin bersalut lumut.

Sebelum melakukan aktiviti itu, kelihatan pelbagai ragam peserta. Ada yang sangat berhati-hati menjaga langkah dan ada juga hanya melepaskan diri ke bawah.

Bagaimanapun, tidak perlu risau kerana ada kru penjaga tali keselamatan yang siap sedia di bawah mengawal tali digunakan peserta untuk selamat turun ke dalam kolam yang agak dalam. Di situ pentingnya memakai jaket keselamatan untuk mengapungkan diri di dalam air.

Sebaik saja menuruni tembok batu, seorang lagi kru yang bertugas menarik peserta supaya tidak hanyut dibawa arus dan dapat naik ke darat dengan selamat.

Ternyata aktiviti berkenaan memberikan kepuasan dan keseronokan meskipun perlu mencabar diri berdepan dengan arus air sungai. Tidak hairanlah Air Terjun Jerangkang sentiasa menjadi perhatian peminat aktiviti rekreasi terutama golongan muda.

Bukan sekadar merasai pengalaman melakukan aktiviti turun dari tempat tinggi di laluan air terjun, malah penulis juga sempat mencuba aktiviti tali tinggi lain, ‘fly and drop’ iaitu peserta perlu memegang anduh pada tali yang dipasang di suatu tempat tinggi dan dilepaskan hingga ke bahagian hentian tali di tengah-tengah kolam untuk menjatuhkan diri.

Menariknya, ketika anduh berkenaan berhenti di tengah-tengah kolam, keadaan tali akan sedikit melantun ke atas dan waktu itu adalah masa terbaik untuk mereka yang mempunyai kemahiran terjunan.

Kedua-kedua aktiviti tali tinggi itu sememangnya menyeronokkan apatah lagi kepuasan bermain air sungai yang masih jernih dan tidak tercemar.

Jadi, jangan bataskan diri anda untuk melakukan aktiviti ekstrem yang menjanjikan pengalaman luar biasa!

OPERATOR menyediakan peralatan untuk aktiviti tali tinggi.
OPERATOR menyediakan peralatan untuk aktiviti tali tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 September 2018 @ 12:50 PM