Muhammad Saufi Hassan melaporkan dari Yaman


Tarim (Yaman): “Satu riyal (matawang Yaman) sumbangan pun kami tak dapat sejak 10 bulan lalu. Doktor yang bertugas (Hospital Besar Tarim) pula dah lama tak ada gaji.

“Kami bekerja Lillahi Taala (kerana Allah),” kata Pengurus Hospital Besar Tarim, Dr Mohammad Haddad Al Khaf.

Beliau berkata demikian berhubung keadaan hospital berkenaan yang begitu daif dan kurang bekalan ubat termasuk antibiotik untuk melawan penularan wabak penyakit.

Hospital itu yang sudah didirikan sejak 45 tahun lalu menghadapi masalah apabila kerajaan tidak lagi menyalurkan bantuan kewangan dipercayai berikutan konflik perang saudara yang tercetus di negara ini.

DR Mohammad Haddad (tiga dari kiri, berkaca mata & berjubah) bersama petugas Muslim Care ke Hospital Besar Tarim. FOTO Muhammad Saufi Hassan
DR Mohammad Haddad (tiga dari kiri, berkaca mata & berjubah) bersama petugas Muslim Care ke Hospital Besar Tarim. FOTO Muhammad Saufi Hassan

Dr Mohammad Haddad, berkata kakitangan hospital itu hanya mampu memberikan perkhidmatan.

Malah, katanya, gaji mereka juga kadangkala tidak dibayar namun masih melaksanakan tanggungjawab demi masyarakat khususnya sekitar Tarim.

“Pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital ini perlu membayar ubat dan setiap kos rawatan lain. Doktor pula hanya menyediakan perkhidmatan nasihat. Ini amat menyedihkan.

“Kami tidak mampu berbuat apa-apa. Kami juga amat kekurangan wang...jika tidak sudah pasti kami bantu daripada aspek rawatan sehingga kepada ubat-ubatan,” katanya.

Ziarah ke Hospital Besar Tarim adalah antara jadual misi bantuan Yaman anjuran Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care).

Bagi orang ramai ingin membantu boleh memberikan sumbangan menerusi akaun Maybank (564490413882), Bank Islam (14014010147470) dan Bank Muamalat (14010007654717).

Maklumkan sumbangan menerusi SMS atau WhatsApp kepada Johari Ismail di 016-9978323 atau Zakaria Abd Latiff (012-6935938).

Dr Mohammad Haddad berkata, kebanyakan kes dirawat di hospital itu membabitkan kanak-kanak kurang zat makanan berikutan masalah kemiskinan yang membelenggu masyarakat di Tarim.

Menurutnya, kehidupan mereka tambah parah sebaik konflik perang saudara meletus sehingga menyebabkan nilai matawang Yaman terus merudum.

Berdasarkan pemerhatian, klinik desa milik kerajaan di Malaysia jauh lebih selesa dan canggih jika dibandingkan dengan Hospital Besar Tarim yang serba kekurangan.

Dr Mohammad Haddad memaklumkan bahawa hospital itu hanya mampu memuatkan 90 katil pesakit dan lebih memburukkan keadaan apabila bekalan elektrik sering terputus.

Jika wad Unit Rawatan Rapi (ICU) di Malaysia dipisahkan dengan cermin dan peralatan canggih di dalamnya, Hospital Besar Tarim hanya menggunakan tirai nipis yang membezakan pesakit di wad terbabit.

WAD kanak-kanak di Hospital Besar Tarim. FOTO Saufi Hassan
WAD kanak-kanak di Hospital Besar Tarim. FOTO Saufi Hassan

Isu lebih membimbangkan adalah hospital berkenaan semakin kurang bekalan ubat untuk kanak-kanak yang mengalami kekurangan khasiat makanan.

Dianggarkan setiap hari, terdapat 300 kes kekurangan zat dan kebanyakan ibu bapa kanak-kanak ini tidak mampu untuk memberi ubat dan vitamin yang diperlukan.

Bekalan ubat & vitamin sangat kurang

PRESIDEN Muslim Care Society Malaysia (Muslim Care) Zulkifli Wahijan, berkata masalah utama hospital itu adalah merawat kanak-kanak kekurangan zat makanan.

Selain itu, katanya, dan kebanyakan pesakit pula adalah terdiri daripada keluarga miskin.

“Masalah kekurangan zat makanan ini adalah masalah utama masyarakat di sekitar Tarim memandangkan sumber pendapatan mereka bergantung kepada pertanian saja.

“Berdasarkan pemerhatian Muslim Care, hospital ini memerlukan kira-kira RM22,000 untuk bekalan ubat dan makanan tambahan kepada kanak-kanak,” katanya.

PESAKIT di Hospital Besar Tarim menunggu di luar bangunan biarpun sudah malam. FOTO Muhammad Saufi Hassan
PESAKIT di Hospital Besar Tarim menunggu di luar bangunan biarpun sudah malam. FOTO Muhammad Saufi Hassan

Menurutnya, Muslim Care akan melihat bentuk bantuan yang akan disalurkan menerusi sumber dana yang ada.

“Kita kekurangan maklumat berhubung penderitaan masyarakat Yaman khususnya di Tarim. Menerusi lawatan ini dapat kita beberapa maklumat berharga dan sumbangan akan disalurkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2017 @ 8:53 PM
INI adalah wad ICU Hospital Besar Tarim. FOTO Muhammad Saufi Hassan
INI adalah wad ICU Hospital Besar Tarim. FOTO Muhammad Saufi Hassan