Intan Mas Ayu Shahimi

Berapa ramai di antara kita hari ini tahu mengenai risiko glaukoma? Ia bukan sebarang penyakit, malah diwarisi daripada keturunan dan tidak boleh diubati. Tanpa pengesanan dan rawatan awal, glaukoma boleh menyebabkan buta kekal.

Namun, tidak ramai benar-benar peduli mengenai glaukoma. Mungkin kerana jarang disebut atau kurang popular dalam kalangan orang muda, risiko sebenar penyakit ini tidak sampai ke pengetahuan mereka.

Lebih mengecewakan, ada pula pendapat songsang mengatakan glaukoma adalah penyakit mata biasa bagi warga emas. Cuba semak kembali susur galur keluarga anda. Jika salah seorang daripada ahli keluarga pernah menghidap glaukoma, anda mungkin mangsa seterusnya.

Ngeri bukan? Itulah risiko dihadapi penghidap glaukoma. Mereka berdepan masa depan kelam jika tidak tampil melalui ujian pengesanan awal dan mendapatkan rawatan lanjut.

Menurut Pakar Mata Glaukoma, Jabatan Oftalmologi Hospital Kuala Lumpur Dr Gan Eng Hui, glaukoma adalah penyakit saraf mata progresif. Ia boleh berkembang serius seiring usia dan menyebabkan buta kekal jika tidak dikawal.

“Lazimnya penyakit ini mempunyai kaitan dengan tekanan bola mata yang tinggi. Bayangkan, jika memegang sebiji bola biasa, kita tahu ada tekanan di dalamnya. Namun jika tekanan dalam bola terlalu tinggi, kita akan rasa ia sangat tegang. Begitu juga halnya dengan mata.

“Namun demikian, tidak semua orang berdepan situasi sama. Masih ada individu yang memiliki tekanan bola mata normal, tetapi menghidap glaukoma. Sebab itulah pengesanan awal itu penting, terutama bagi mereka yang mempunyai sejarah penyakit sama dalam keluarga,” katanya.

Jelas Dr Gan, glaukoma perlu dirawat dengan ubat titis mata, rawatan laser atau pembedahan untuk membantu memanjangkan tempoh penglihatan pesakit.

Dalam kebanyakan kes, glaukoma yang tidak dirawat menyebabkan pesakit hilang daya penglihatan. Kemerosotan biasanya bermula dari medan penglihatan luar dan berkembang hingga ke tengah.

“Seseorang itu mungkin tidak sedar dia menghidap glaukoma kerana tiada gejala khusus seperti kebanyakan penyakit lain. Pada peringkat awal, pesakit mungkin hilang penglihatan dari tepi.

“Lama-kelamaan, jika tidak dirawat, glaukoma boleh merebak hingga ke tengah. Apabila keadaan ini berlarutan, pesakit mungkin terpaksa menerima hakikat mengalami buta kekal,” katanya ketika ditemui selepas perasmian Sambutan Minggu Glaukoma Sedunia 2018 di perkarangan Klinik Kesihatan Kuala Lumpur (KKKL), Sabtu lalu.

ORANG ramai mengambil kesempatan melakukan ujian saringan glaukoma secara percuma di Klinik Kesihatan Kuala Lumpur, Sabtu lalu.
ORANG ramai mengambil kesempatan melakukan ujian saringan glaukoma secara percuma di Klinik Kesihatan Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Apa yang berlaku

Bagi yang baru tahu mengenai glaukoma, sudah tentu banyak persoalan bermain di fikiran bukan? Salah satunya mengenai apa yang akan terjadi kepada pesakit. Kata Dr Gan, tiada jawapan jelas yang boleh diberi kepada umum melainkan mereka melalui ujian pengesanan awal dan mengetahui jenis glaukoma dihidapi.

“Jenis paling umum adalah glaukoma sudut terbuka (OAG). Ia disebabkan tekanan terlalu tinggi di dalam bola mata (tekanan intraokular atau IOP). Glaukoma ini tidak menunjukkan gejala tertentu, berbeza dengan glaukoma sudut tertutup (ACG).

“Mata mereka akan sakit apabila tekanan bola mata meningkat, merah dan kabur. Jika tekanan terlalu tinggi, pesakit mungkin boleh mengalami sakit kepala dan muntah. Begitupun, ini bukan kesan atau gejala yang dialami majoriti pesakit kerana kebanyakan individu memang tidak mengalami sebarang simptom,” katanya.

Tambahnya, ramai yang keliru antara gejala glaukoma dengan migrain dan masalah rabun. Memang ada yang sakit kepala, mengalami mata merah dan mual, tetapi ia mungkin kerana bekerja di dalam gelap.

“Bagi pesakit AACG, jika mereka pergi ke tempat gelap, penglihatan akan menjadi lebih sempit. Situasi sebegini boleh meningkatkan risiko tekanan pada bola mata lebih tinggi,” katanya.

Ramai tidak tahu

Ketika ditanya mengenai kesedaran umum berkait risiko dan penyakit glaukoma, Dr Gan berkata, masih ramai yang tidak tahu mengenai penyakit itu dan kesannya terhadap masa depan.

“Walaupun kita dapat lihat ada sedikit perubahan kesan daripada kempen, namun tidak ramai yang sedia tampil melakukan ujian saringan serta mendapatkan rawatan sewajarnya.

“Mereka mungkin mengambil mudah kerana tiada gejala khusus yang mungkin menjejaskan kehidupan buat masa ini. Namun demikian, perlu diingatkan bahawa golongan berisiko mengalami glaukoma adalah mereka yang berusia 40-an.

“Risiko ini boleh meningkat seiring umur. Faktor lain adalah sejarah keluarga, pesakit diabetes, penghidap tekanan darah tinggi atau rabun jauh yang teruk. Selain itu, pesakit kulit, asma, resdung atau mereka yang mempunyai alahan pada mata dan mengambil steroid juga terdedah kepada ancaman glaukoma.

“Bagi kebanyakan pesakit yang kita temui, mereka memang dilahirkan dengan risiko glaukoma yang mungkin sudah ada dalam genetik,” katanya.

Menjelas lanjut, Dr Gan berkata, setakat ini perkembangan glaukoma hanya boleh dikawal saja dan tidak boleh dihentikan. Mengambil penyakit diabetes sebagai contoh terdekat, beliau memberitahu bahawa satu-satunya kaedah untuk mengawal adalah dengan menurunkan tekanan bola mata.

“Selalunya, doktor akan membekalkan ubat titis mata kepada pesakit. Jika rawatan ini gagal, pakar akan menjalankan rawatan laser atau pembedahan. Setiap rawatan juga terbahagi kepada jenis dan keperluan pesakit.

“Salah satu pembedahan yang paling kerap dicadangkan adalah trabekulektomi. Ia adalah prosedur pembedahan untuk merawat glaukoma dengan merendahkan tekanan dalaman mata (IOP).

“Pembedahan ini selalunya dijalankan terhadap pesakit mengikut beberapa sebab antaranya, kegagalan ubat titis mata menurunkan tahap tekanan bola mata, pesakit alah kepada ubat-ubatan atau pesakit sendiri enggan bergantung dengan ubat dalam tempoh lama,” katanya.

Apapun, pembedahan trabekulektomi hanya merendahkan tekanan dalaman mata bagi tujuan menghentikan atau melambatkan proses kehilangan penglihatan. Penglihatan yang hilang sebelum pembedahan, secara umum, tidak dapat dipulihkan.

PEMERIKSAAN darjah penglihatan mata.
PEMERIKSAAN darjah penglihatan mata.

Jenis saringan glaukoma

1. Pemeriksaan darjah penglihatan

2. Pemeriksaan tekanan bola mata (IOP)

3. Ujian saraf mata (bagi pesakit glaukoma, mereka ada karektor tertentu yang kita boleh kenal pasti).

Sekiranya tekanan bola mata tinggi dan saraf nampak meragukan, kes akan dirujuk kepada pakar untuk ujian seterusnya.

4. Ujian medan penglihatan

5. Ujian OCT (tomografi koheren optikal) untuk lihat ketebalan saraf mata.

Panduan penjagaan diri

Apabila mengalami glaukoma, ada banyak perkara yang perlu diberi perhatian khususnya dalam aspek penjagaan diri. Antaranya:

1. Ketahui ubat anda

Jika mengalami masalah kesihatan, beritahu doktor mengenai ubat yang anda ambil. Ini akan membantu mereka memberikan rawatan yang tidak akan bertindak balas dengan ubat glaukoma anda kerana sesetengah ubat mempunyai kesan sampingan yang agak kuat. Jika anda mengalami kesan sampingan selepas mengambil ubat glaukoma, beritahu doktor mengenai perkara itu. Laporkan sebarang perubahan yang dialami seperti mata gatal, berair, pemandangan menjadi kabur dan terganggu atau ada lelehan tidak normal.

2. Urus kehidupan

a. Rekodkan semua ubat yang anda ambil. Tulis nama, dos dan berapa kali ia diambil setiap hari. Simpan dalam beg duit sebagai peringatan. Ini akan membantu anda jika terlupa.

b. Catat tarikh untuk rawatan susulan dan tanda di kalender atau peringatan di telefon bimbit.

c. Tulis semua soalan yang hendak ditanya kepada doktor. Bawa senarai soalan ini apabila berjumpa doktor kelak dan tulis jawapan yang diberikan.

3. Kekal sihat

a. Pastikan mata sentiasa bersih dan bebas daripada bahan yang boleh menyebabkan ia rasa tidak selesa. Bagi wanita terutamanya, gunakan alat solekan yang tidak alergenik.

b. Jangan gosok mata, walaupun sesetengah ubat glaukoma menyebabkan mata rasa gatal dan kabur

c. Pakai pelindung mata ketika berenang, berkebun atau melakukan aktiviti senaman yang membabitkan sentuhan badan

d. Rehat secukupnya. Menjaga kesihatan badan sama penting dengan kesihatan mata.

e. Amalkan pemakanan seimbang, bersenam secukupnya dan elakkan daripada mengambil terlalu banyak kafein.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 April 2018 @ 3:06 PM