BERKONGSI hasil penulisannya dengan kakitangan syarikat.
BERKONGSI hasil penulisannya dengan kakitangan syarikat.
Intan Mas Ayu Shahimi


Kali pertama bertemu wanita ini ketika pelancaran produk terbarunya di Jalan Sentul Perdana. Penampilannya ringkas, langsung tidak menampakkan ciri wanita gah. Dari jauh, Nor Dayana Mohd Zaini Wong sudah melempar senyum, menyambut ketibaan keluarga, teman dan tetamu ke majlisnya.

Serentak itu, berterbangan segala macam persepsi terhadap pemilik nama ringkas, Diena Wong ini. Ternyata ibu kepada dua anak ini tidak sombong, malah cukup ramah melayan perbualan, cukup spontan dan merendah diri.

Pada majlis sama, Nor Dayana turut mengedarkan buku hasil penulisannya bertajuk Bisnes 6 Angka Sebulan Melalui #Instagram. Buku setebal 117 muka surat berkenan menceritakan pengalaman jatuh bangunnya menaikkan jenama produk yang diasaskan sendiri, Lovera.

Menurut Nor Dayana, dia mula menjinakkan diri dalam perniagaan sekitar 2014. Ketika itu, anak kelahiran Shah Alam, Selangor ini mengandung anak sulung.

“Saya mempunyai ijazah sarjana dalam bidang Teknologi Media Baharu, Universiti Teknologi MARA. Sebelum memulakan perniagaan, saya menguruskan perniagaan milik keluarga di Pulau Pinang.

“Pada asalnya saya bercita-cita menjadi pensyarah, bukan usahawan. Tetapi, Allah lebih mengetahui perjalanan dan perancangan terbaik dalam hidup saya.

“Selepas tiga tahun bekerja di Pulau Pinang, saya mula rasa ia tidak sesuai dengan diri. Tambahan pula, hanya saya menguruskannya seorang diri di sana tanpa keluarga. Jadi, saya mengambil keputusan nekad untuk berhenti selepas berkahwin dan tinggal bersama suami di Shah Alam,” katanya.

Jelas Nor Dayana, awalnya dia berkecimpung dalam bidang perniagaan kerana didorong rasa terpaksa. Apatah lagi, pada waktu itu dia tidak lagi berkerja dan memerlukan sumber kewangan untuk simpanan serta perbelanjaan diri.

“Suami bekerja. Namun, sebagai wanita, saya juga mahu menggenggam wang sendiri. Hendak tak hendak, saya terpaksa berniaga. Kebetulan ketika itu saya mengalami perubahan hormon yang ketara.

“Kulit kering, menggelupas, bersisik dan bengkak kemerahan. Tiada satu pun produk yang boleh digunakan untuk mengurangkan ketidakselesaan. Tidak kira produk penjagaan kulit, alat solek atau apa saja bentuk kosmetik, semua tidak boleh pakai. Jika saya pakai juga, kulit akan mula merenyam, gatal dan pedih.

“Sampaikan saya pernah membayangkan keadaan kulit yang pedih dan tegang, tiba-tiba merekah. Saya mula takut hendak mencuci muka dan mengambil wuduk. Bayangkan, betapa bersalahnya rasa hati ketika menghadap Allah,” katanya.

PINTU REZEKI

Benar kata orang tua, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia, tidak siapa yang tahu. Dalam pada sibuk mencari produk yang sesuai untuk masalah kulit, Nor Dayana akhirnya bertemu gel aloe vera.

“Hari itu, saya dan suami keluar berjalan-jalan di pusat beli-belah. Kebetulan mata tertarik pada butik kecantikan yang dikerumuni ramai gadis. Rupa-rupanya mereka ‘memborong’ gel aloe vera. Saya pula tidak membeli kerana bimbang percubaan untuk kulit tidak menjadi.

“Begitupun, otak pantas membuahkan idea. Sampai saja di rumah, saya terus menghadap komputer, mencari maklumat mengenai manfaat aloe vera dan trend kecantikan dalam pasaran cina. Melalui carian selama lima minit itu saya dapati aloe vera kaya dengan pelbagai manfaat.

“Bukan tidak tahu kehebatan tumbuhan ini, tetapi itu kali pertama saya mengenali aloe vera secara dekat. Selepas yakin, saya kembali ke butik kecantikan terbabit dan membeli sebotol untuk diuji pada wajah sendiri.

“Siapa sangka, seminggu menggunakan gel berkenaan, kulit saya berubah lebih lembut dan lembap. Saya semakin teruja untuk meneroka keajaiban aloe vera dan mula bercerita kehebatan tumbuhan itu di Facebook. Walaupun ada sedikit rasa bimbang, namun saya ceritakan juga mengenai masalah kulit dan penyelesaian baru dengan gel aloe vera.

“Satu lagi kejutan tiba apabila ramai yang memberi maklum balas di Facebook. Ramai yang mahu tahu, produk apa yang saya guna. Dari situ, saya terus yakin untuk memulakan perjalanan baru dengan memperkenalkan produk berasaskan aloe vera,” katanya.

CUBA NASIB

Sekalipun fikiran kian berkecamuk dengan pelbagai idea, pelan dan perancangan, namun Nor Dayana sedar bahawa segala yang diatur tidak mungkin berjaya tanpa adanya produk serta jaminan bekalan untuk menyokong perniagaannya.

Langkah pertama, wanita ini memberanikan diri mencari individu yang mahu mencuba produk untuk mendapatkan testimoni. Memandangkan belum ada pembekal yang meyakinkan, Nor Dayana membeli lagi gel aloe vera di butik sama dan dibotolkannya dalam saiz kecil.

“Sejujurnya, motivasi utama saya ketika itu adalah duit. Saya hanya mahu projek ini berjaya kerana mahu mengumpul duit dan duduk di rumah sendiri. Tambahan anak sulung juga bakal lahir.

“Dalam masa sama, saya juga ligat mencari pembekal. Alhamdulillah, dalam kekalutan itu saya menerima maklum balas yang sangat baik daripada pelanggan. Kemudian, menyusul pula khabar daripada pembekal dan akhirnya semua usaha saya merealisasikan Magic Jelly, bercantum menjadi satu,” katanya.

Mungkin sudah tersurat rezeki, Nor Dayana bukan setakat mampu menghasilkan produk sendiri, malah berjaya mencapai impian untuk hidup selesa.

“Saya semakin yakin untuk melangkah jauh apabila jualan mencecah lima angka selama tiga ke empat bulan berturut-turut. Daripada situ, saya melihat jenama ini mampu melangkah lebih jauh.

“Ia bukan sekadar mengubah hidup saya, tetapi turut membantu ramai orang menjana pendapatan keluarga. Ia umpama satu tanggungjawab baru yang cukup besar untuk diri. Saya mula berfikir, bagaimana agaknya perasaan ejen sekiranya saya sendiri tidak mampu memajukan jenama ini,” katanya.

CABARAN

Tentu sekali hambar perjalanan perniagaan tanpa onak duri dan cabaran. Kata Nor Dayana, perkara paling sulit untuk dilakukan dari dulu hingga kini adalah mengekalkan jenama di pasaran.

“Bukan senang untuk bersaing dalam lambakan produk kini. Begitupun, selepas empat tahun dalam dunia perniagaan, ada banyak perkara yang membuka minda. Salah satunya, bisnes bukan sekadar menjual, tetapi lebih daripada itu.

“Dalam masa sama, saya juga perlu kuat dan cekal untuk memastikan syarikat terus kukuh dengan pengurusan kakitangan serta ejen yang cemerlang,” katanya.

Jelas Nor Dayana, dalam dunia perniagaan sememangnya akan ada jatuh dan bangun. Malah, dia sendiri mempunyai pengalaman yang sukar dilupakan apabila ada pihak meniru produk keluarannya dan ditikam belakang oleh ejen sendiri.

“Bagaimanapun, masih banyak kenangan manis untuk diimbau sepanjang empat tahun ini. Antara yang paling saya hargai adalah cerita inspirasi daripada ejen bagaimana produk keluaran saya membantu mereka menaik taraf hidup.

“Jika boleh, saya sentiasa mahu membantu individu lain yang mahu memulakan karier mereka sebagai usahawan. Ramai yang bermula daripada ‘kosong’, tetapi kini mampu membeli rumah, kereta. Ada juga beberapa ejen saya yang sudah mengeluarkan produk mereka sendiri.

“Pokok pangkalnya adalah sokongan. Untuk diri saya, keluarga adalah tulang belakang terutama suami dan ibu bapa. Begitu juga dengan rakan seperjuangan lain yang turut berada dalam industri,” katanya.

Tambahnya, dia bangga apabila produk keluarannya berjaya memenangi hati ramai wanita berumur 16 hingga 30 tahun. Lebih daripada itu, jenama ini juga berjaya menembusi pasaran Singapura dan Brunei.

“Dalam tempoh 10 tahun akan datang, saya mahu terus membantu ramai usahawan lain mengembangkan perniagaan mereka dan menjadi aktivis sosial,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2018 @ 1:51 PM