BELLA kerap menggunakan aloe vera untuk kecantikan diri.
BELLA kerap menggunakan aloe vera untuk kecantikan diri.
Oleh Intan Mas Ayu Shahimi


MENILAI dari sudut pandangan mata kasar, wanita ini memang seorang yang bijak bergaya. Pilihan pakaiannya sopan, tingkah lakunya matang, senyuman pula tampak bersahaja.

Mungkin kerana tuntutan kerjaya sebagai model sepenuh masa, Nurfatin Nabella Mahathir, 21, lebih berhati-hati dalam membentuk imej peribadi.

Tambahan anak kedua daripada tiga adik-beradik ini berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perguruan dengan Kepujian Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL). Pasti naluri pendidik sedikit sebanyak mempengaruhi personaliti dirinya.

Minggu lalu penulis sempat mengorek rahsia dan petua kecantikan diamalkan Nurfatin Nabella untuk kekal anggun serta cergas biarpun dirinya selalu sibuk dengan kerjaya.

Kata Nurfatin Nabella yang mesra dipanggil Bella, dia mula memberi perhatian kepada penjagaan kesihatan dan wajah sejak di sekolah menengah.

“Sejujurnya, saya cukup mengambil berat rutin penjagaan wajah dan diri. Saya akan beri perhatian khusus pada tubuh dan selalu pastikan diri dalam keadaan sihat bersih.

“Saya percaya, tubuh jadi lebih bersemangat dan bertenaga jika penampilan diri dijaga rapi. Tambahan, saya banyak terikat dengan jadual kerja luar, selain aktif dengan pelbagai aktiviti,” katanya.

PILIH RAWATAN SEMULA JADI

Berbeza dengan kebanyakan wanita seusianya, Nurfatin Nabella lebih senang memilih kaedah penjagaan tubuh secara alami berbanding menggunakan produk sedia ada di pasaran.

“Saya kurang berminat untuk mencuba pelbagai produk penjagaan diri di pasaran. Kalau ada sekalipun, semuanya berasaskan bahan organik.

“Berhabis wang beribu ringgit semata-mata untuk mencantikkan diri? Itu bukanlah saya. Kalau kita gunakan kaedah penjagaan yang betul, maka hasilnya pasti tidak mengecewakan.

“Untuk diri saya, daun lidah buaya (aloe vera), mentega sayur (shea butter), minyak kelapa, minyak argan, lemon dan pupur yang dibuat sendiri antara bahan paling mujarab untuk merawat wajah serta memanjakan tubuh. Semua ini diamalkan sejak saya berusia 13 tahun,” katanya.

Menurut Nurfatin Nabella, dia cukup obses dengan khasiat aloe vera dan kerap mencadangkan penggunaannya kepada sesiapa saja yang pernah bertanya mengenai rutin penjagaan diri yang diamalkannya.

“Aloe vera antara bahan wajib pakai setiap hari. Sekarang, ia mudah didapati di butik kecantikan yang menawarkan produk penjagaan berasaskan organik. Tetapi, kalau dapat gel aloe vera secara terus dari pokok, itu lagi bagus.

“Lazimnya, gel ini akan dipakai sebagai topeng wajah (masker). Saya sapu secara tebal setiap malam dan biarkan ia kering. Gel sama juga saya sapukan di tangan dan kaki, serta kawasan kulit kering. Ia berfungsi merawat dan melembutkan.

“Bagi mereka yang banyak bekerja di luar seperti saya, pemakaian gel aloe vera di sekitar permukaan kulit yang terdedah sangat sesuai dijadikan amalan rutin setiap hari,” katanya.

Jelas Nurfatin Nabella, selain mempunyai efek penyejukan, aloe vera juga mampu merawat kesan selaran matahari di muka dan badan.

“Satu lagi petua yang saya suka amalkan adalah menyapu air basuhan beras ke wajah dan biarkan ia kering. Sapuan air ini boleh membantu menegangkan dan mencerahkan kulit.

“Lebih mudah, simpan air basuhan ini dalam bekas kedap udara dan letakkan ke dalam peti sejuk. Jadi, setiap pagi boleh ambil sedikit dan sapu ke seluruh wajah,” katanya.

Tambahnya, mereka yang kerap menggunakan solekan memang memerlukan penjagaan kulit yang betul supaya wajah sentiasa bebas cela dan berseri.

“Jika hari berkenaan saya perlu mengenakan mekap, sapuan air beras akan jadi rutin wajib. Selepas itu, saya akan pakai gel aloe vera sebagai masker untuk beberapa minit. Selesai mencuci wajah, barulah saya bermekap.

“Satu hal yang kerap dipandang remeh adalah keperluan untuk bersenam setiap hari. Tidak kira sesibuk manapun, saya tetap akan curi masa untuk melakukan senaman ringan selama 30 minit.

“Kemudian, sebulan sekali saya akan peruntukkan masa untuk keluar mengembara di hutan. Aktiviti sebegini wajar dicuba ramai wanita kerana ia bukan saja boleh membangkitkan aura positif dalam diri, bahkan menghilangkan tekanan selepas penat bekerja,” katanya.

TIP CANTIK BERSERI

1. Kurangkan bersolek.

2. Lebihkan penjagaan kulit wajah.

3. Utamakan penjagaan kesihatan badan.

4. Pastikan penjagaan kulit yang betul.

5. Minum dua hingga tiga liter air kosong setiap hari.

6. Kurangkan makanan dan minuman manis

7. Bersenam setiap pagi sekurang-kurangnya tiga hingga empat kali seminggu.

8. Sentiasa melembapkan kulit.

9. Cuci muka sekurang-kurangnya dua kali sehari

10. Jadikan pemakaian masker sebagai rutin untuk mereka yang kerap mengenakan mekap.

TIP PUPUR MUDAH

Campurkan putih telur dan yogurt, kemudian sapu seluruh wajah. Biarkan ia kering sebelum dicuci. Pupur ini boleh membantu mengatasi masalah kulit kering, menegangkan muka dan membersihkan sisa mekap!

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 5:10 AM