NEELOFA. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
NEELOFA. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Ramlah Zainal

Bagi menangani dan memerangi gejala buli siber dan penyebaran berita palsu di laman sosial, Neelofa serta barisan artis terkenal tempatan bergabung menjayakan kempen antibuli siber dan berita palsu sekali gus menjalankan tanggungjawab sosial kepada masyarakat.

Kempen bertemakan ‘Sebar Fakta Bukan Dusta’ dan ‘Aku Bersamamu Itu’ untuk mendidik masyarakat mengenai hak melindungi diri daripada buli siber serta penyebaran maklumat palsu.

Selain Neelofa, barisan artis terkenal yang terbabit dalam kempen ini ialah Datuk Hans Isaac, Maya Karin, Nora Danish, Awal Ashaari, Scha Al Yahya, Alif Satar, Joe Flizzow, Caprice, Adibah Noor, Shahrol Shiro, Kavita Sidhu, Alex Yoong, Jane Teoh, Imam Muda Asyraf dan Ilaa Damia.

Selaku pencetus idea bersama Hans, Neelofa berkata, pihaknya bersama rakan artis terpanggil untuk menjayakan kempen itu kerana menyedari ramai yang sangat lantang mengkritik serta memberikan pendapat.

“Bahasa yang digunakan netizen sangat kasar, suka mencetuskan provokasi, penggunaan kata-kata kesat tanpa memikirkan sensitiviti seseorang.

“Sedar atau tidak, laman sosial atau kewujudan Internet yang pada mulanya positif kini menjadi medium sangat negatif.

“Mereka juga menyalahgunakan kuasa media sosial untuk bertindak di luar kawalan,” katanya.

Ditanya sama ada kempen itu bersifat peribadi, Neelofa berkata, dia tidak menafikan buli siber dan berita palsu adalah gejala yang sangat berkaitan dengan dirinya.

“Walaupun baru lapan tahun berkecimpung dalam bidang seni tanah air, sudah terlalu banyak yang saya hadapi.

“Kritikan dan kecaman bukan perkara baru. Itu tidak termasuk berita palsu yang disebarkan sewenang-wenangnya seolah-olah mereka lebih mengenali diri saya,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran kempen tanggungjawab sosial ‘Akhiri Buli Siber dan Penyebaran Maklumat Palsu’ di KLPac, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bukan saja selebriti, kata Neelofa, sesiapa pun boleh menjadi mangsa buli siber asalkan individu itu mempunyai akses kepada media sosial.

“Hakikatnya, mangsa buli siber mengalami penderitaan secara mental dan fizikal serta boleh membawa kepada pelbagai kesan buruk lain.

“Kempen ini diharap mewujudkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga tingkah laku di media sosial dan meminta netizen tidak menyalahgunakan kebebasan suara sedia ada,” katanya.

NEELOFA. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
NEELOFA. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

Turun padang jayakan kempen

Objektif kempen juga untuk membantu dan memberi kesedaran kepada mereka yang pernah menjadi mangsa buli siber.

Menurut Neelofa, berbekalkan kepakaran dan maklumat menerusi kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), pihaknya akan mempromosikan kempen ini secara besar-besaran.

“Saya sendiri akan turun padang dan menjayakan promosi direncanakan. Kami percaya pengaruh selebriti dapat mengingatkan orang ramai yang buli siber dan berita palsu boleh berlaku kepada sesiapa saja dan anda tidak sendirian,” katanya.

Neelofa berkata, orang ramai perlu peka mengenai undang-undang dan hukuman bawah akta berkaitan jenayah siber.

“Ia membabitkan Akta Komunikasi dan Multimedia, Kanun Keseksaan, Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak, Akta Kanak-Kanak atau Akta Anti Berita Tidak Benar untuk melindungi diri sendiri.

“Jika anda rasa difitnah atau dibuli secara siber, langkah yang perlu diambil ialah ‘screen capture’ komen mereka, laporkan kepada pengurusan laman sosial itu. Jika anda pelajar, laporkan kepada guru dan jika ugutan berterusan, laporkan kepada pihak polis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 April 2018 @ 2:16 AM