RAMBUT diperiksa bagi menentukan jenis rawatan sesuai.
RAMBUT diperiksa bagi menentukan jenis rawatan sesuai.
Siti Zarinah Sahib

Ramai dalam kalangan rakyat Malaysia berisiko mengalami masalah rambut terutama rambut gugur dan berkelemumur. Antara faktor yang menyebabkan masalah ini adalah keturunan, pemakanan, usia dan juga salah menggunakan produk.

Bagi wanita bertudung pula masalah menjadi lebih serius kerana rambut yang tidak dijaga rapi akan menjadi lebih berminyak dan berpeluh. Ini berlaku kepada mereka yang gemar mencuci rambut pada waktu pagi dan memakai tudung ketika rambut belum benar-benar kering.

Menurut kajian pakar trikologi Malaysia, 70 peratus rakyat negara ini terdedah risiko rambut bermasalah akibat tersalah memilih produk perapian. Dengan lambakan produk perapian rambut yang sesetengahnya dijual menerusi dalam talian, berjenama terkenal dan mahal harganya, tetapi masih belum boleh memberi jaminan ia mampu menyelesaikan masalah rambut anda.

Kesilapan memilih produk menyebabkan individu terdedah kepada masalah rambut terutama kelemumur dan rambut gugur yang membawa kepada kebotakan.

Menjelaskan lebih lanjut, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MBH Hair Care, Shida Mohamad berkata, selain memberi tumpuan kepada penjagaan wajah, ramai wanita tidak sedar rambut juga perlu diberikan perhatian, apatah lagi ia sering dikatakan sebagai mahkota wanita. Belaian, perapian dan penjagaan harus diberikan setiap hari sama ada dilakukan sendiri di rumah atau mengunjungi pusat penjagaan rambut terpilih.

“Namun apa yang berlaku, kesihatan dan kebersihan rambut seolah-olah diabaikan. Apabila wanita menghadapi masalah seperti keguguran rambut sehingga hampir botak, kelemumur menyebabkan kegatalan kulit kepala dan radang kulit, barulah mereka mendapatkan khidmat nasihat,” katanya

Mengetengahkan rawatan dan set penjagaan rambut menggabungkan cara tradisional dan moden menjadikan pengalaman rawatan di MBH Haircare berbeza berbanding pusat rawatan lain. Antara yang diperkenalkan adalah Oxynano, MBH minyak ayurveda dan MBH Tricho. Sambil menunjukkan teknik rawatan ini kepada penulis, jelas Shida, Tricho untuk individu yang mengalami masalah kulit kepala dan hujung rambut pecah atau bercabang.

Masalah kelemumur, rambut berminyak, berkutu dan gugur sebenarnya sukar diatasi hanya dengan menggunakan kaedah perapian biasa iaitu syampu semata-mata. Jika tidak diberikan rawatan segera, ia akan memberikan impak lebih teruk kepada akar rambut yang mengakibatkan rambut nipis akibat gugur dan botak.

“Oleh itu, Tricho menggunakan teknologi yang diimport khas dari Jerman bagi menghasilkan rawatan berkualiti tinggi dengan kesan yang cepat. Ia dimulakan dengan sesi pemeriksaan dan rundingan terlebih dulu bagi memastikan tahap keterukan sebelum juruterapi menetapkan rawatan yang akan digunakan.

“Selepas rambut diperiksa, mesin khas Tricho akan diletakkan di seluruh bahagian kulit kepala selama beberapa minit. Rawatan ini tidak menyakitkan tetapi memberi pelbagai kebaikan.

Antaranya menggalakkan pertumbuhan anak rambut dalam setiap folikel rambut, memanjangkan fasa pertumbuhan supaya tidak gugur dengan cepat dan membunuh bakteria yang menyebabkan kulit kepala berkelemumur dan berkeruping,” katanya yang menggalakkan wanita melakukan rawatan mengikut tiga sehingga enam sesi untuk kesan maksimum.

RAWATAN AYURVEDA

Rawatan menggunakan minyak ayurveda pula berasaskan sistem penyembuhan holistik yang diambil dari India. Ia menggunakan herba ayurveda dalam bentuk minyak panas yang diurut ke kulit kepala dan rambut untuk mengurangkan keradangan, membantu penyerapan vitamin ke dalam liang pori dan meningkatkan peredaran darah di kulit kepala.

“Selain menggunakan herba India, formulasi habbatus sauda, minyak zaitun dan argan juga berfungsi melembapkan kulit kepala. Ia juga berpotensi melindungi rambut daripada sebarang masalah serta menggalakkan pertumbuhan rambut sihat.

“Di sini, penggunaan habbatus sauda dipilih kerana ia membantu mengurangkan keguguran rambut, sekali gus menguatkan folikel anak rambut. Selain itu habbatus sauda juga dapat menghalang jangkitan yang menyebabkan keguguran rambut,” katanya yang menasihatkan pelanggan agar datang membuat pemeriksaan awal bagi memastikan masalah rambut gugur dapat di atasi segera.

Ramai wanita menghadapi masalah hujung rambut bercabang disebabkan kesalahan menggunakan syampu dan perapi. Oleh kerana rawatan biasa menggunakan syampu tidak mampu menyelesaikannya menyebabkan mereka membiarkan masalah menjadi lebih teruk.

“Kami menggunakan Oxynano menerusi mesin khas yang diletakkan pada bahagian rambut. Rawatan ini dapat mengatasi masalah rambut kering, bercabang, mudah putus dan berbuah. Menggunakan teknologi nano yang diberikan kepada rambut dapat meningkatkan kekuatan ikatan protein dalam helaian rambut, sekali gus memperbaiki dan mengurangkan rambut keriting. Jika dilakukan secara konsisten, ia menjadikan rambut tampak bersinar sekurang-kurangnya selama tiga bulan,” katanya.

Dia yang memiliki Diploma Trikologi daripada Institut Trikologi Mumbai, India menjelaskan, India terkenal dengan rawatan ayurveda yang terbukti berkesan mengatasi masalah rambut.

“Apabila menyambung pengajian di India selama enam bulan, saya dapat memperluaskan pengetahuan mengenai rambut dan rawatan sesuai tanpa menggunakan bahan kimia. Bahan beracun yang terdapat dalam sesetengah produk akan memburukkan lagi masalah,” katanya yang bercadang membuka cawangan MBH Haircare di Shah Alam dan Johor Bahru dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2017 @ 10:14 AM