DR Alina menunjukkan rawatan rambut kepada pekerjanya.
DR Alina menunjukkan rawatan rambut kepada pekerjanya.
Siti Zarinah Sahib


KAJIAN dijalankan Jurnal Trikologi Antarabangsa ke atas 240 pelajar perubatan di Malaysia daripada pelbagai etnik menunjukkan pelajar Melayu cenderung mempunyai lebih banyak masalah kulit kepala berbanding kaum lain di Malaysia.

Ia disebabkan kesalahan dalam amalan penjagaan rambut dan faktor berhijab dalam kalangan pelajar wanita. Kenyataan ini turut dipersetujui Ketua

Pegawai Eksekutif Dermalene Sdn Bhd, Dr Alina Hasni Mohamad Rashid yang mendedahkan dia kerap menerima pelanggan bertudung yang mempunyai masalah kelemumur serius.

Apabila diselidiki, mereka tidak mengamalkan penjagaan rambut dengan betul sehingga kelemumur menjadi berkuping. Apabila ini berlaku, ia menyebabkan ada wanita tidak keluar rumah kerana malu dan tiada keyakinan diri.

“Jika setakat kelemumur halus selepas seharian tidak mencuci rambut itu boleh dikatakan sebagai normal. Namun ada yang sehingga berkuping-kuping dan berbau,” katanya.

Memelihara rambut daripada kelemumur tidak sukar cuma perlu rajin. Jika anda bersikap sambil lewa dalam penjagaan rambut dan kulit kepala, ia menyebabkan kelemumur, rambut gugur dan bercabang menjadi masalah utama anda.

WANITA perlu mengunjungi salun untuk memastikan rambut sentiasa sihat.
WANITA perlu mengunjungi salun untuk memastikan rambut sentiasa sihat.

“Bagi wanita berhijab, penjagaan tambahan perlu diberikan berbanding mereka yang tidak bertudung. Kulit kepala yang tertutup dalam tempoh lama mengundang peluh yang akhirnya bercampur minyak semula jadi lalu menyebabkan kelemumur yang serius,” katanya.

PUNCA KELEMUMUR

Menurut Dr Alina, kelemumur disebabkan sebum atau minyak yang pada asalnya berfungsi sebagai pelembap pada rambut dan kulit kepala.

Namun bagi sesetengah wanita, sebum ini dihasilkan secara berlebihan menyebabkan kulit kepala berminyak.

“Ia mungkin disebabkan faktor akil baligh, bersalin, tekanan atau cara memakai syampu yang tidak betul. Apabila sebum ini bercampur dengan kotoran dan sel kulit mati, ia menjadi kelemumur,” katanya.

Amalan penjagaan rambut yang salah seperti tidak mencuci rambut dengan betul turut menyumbang kepada masalah ini. Selain itu, bagi wanita berhijab tidak mengeringkan rambut dan kulit kepala sebaiknya menyebabkan kawasan kulit menjadi tempat pembiakan kulat yis yang dipanggil Malassezia.

Selain kulit kepala kering, penggunaan syampu yang tidak tepat dengan jenis rambut menjadi penyumbang kepada masalah kulit kepala.

ALINA HASNI MOHAMAD RASHID
ALINA HASNI MOHAMAD RASHID

Kelemumur juga berkaitan dengan psoriasis iaitu sejenis penyakit yang disebabkan sistem imunisasi badan menyerang sel tisu sihat.

“Apabila ini berlaku, proses penghasilan sel baharu akan menjadi lebih cepat berbanding biasa lalu menyebabkan sel kulit mati bertambah banyak. Ia mengakibatkan kawasan terjejas menjadi berkuping. Masalah ini boleh berlaku termasuk di leher dan kulit kepala,” katanya.

TIP PENJAGAAN RAMBUT


1. Pilihan fabrik tudung yang betul

Oleh kerana Malaysia beriklim panas dan lembap, wanita berhijab dinasihatkan memilih jenis tudung yang lembut, selesa dan menyerap peluh. Pilih fabrik seperti kapas dan lycra yang ringan serta memberikan keselesaan kepada anda. Pemilihan anak tudung juga memainkan peranan penting. Pastikan ia tidak ketat dan sejuk.

2. Syampu rambut dengan kerap

Daripada anda menggunakan syampu yang ‘kuat’ dua kali seminggu, apa kata anda cuba syampu lebih ringan setiap hari. Anggap kulit kepala sama seperti kulit wajah anda. Lakukan penjagaan kulit kepala sama seperti anda memanjakan kulit.

Syampu anti kelemumur yang anda gunakan perlu mempunyai bahan yang boleh membantu kulit kepala mengelak daripada kelemumur. Syampu perlu mempunyai agen antikulat seperti ketoconazole, pyrithione zinc, selenium sulfide yang boleh menstabilkan pertumbuhan Malassezia (sejenis yis yang biasa ditemui dalam kelemumur).

3. Biarkan syampu selama lima minit

Apabila bersyampu, biarkan ia lima minit bagi memberi peluang syampu benar-benar bekerja pada kulit kepala anda. Ada kala dengan melakukan ‘perapan syampu’ ini, ia membantu mengurangkan kegatalan.

4. Keringkan kulit kepala dan rambut dengan betul

Pastikan selepas mencuci rambut anda meluangkan masa mengeringkan keseluruhan kulit kepala. Sebaiknya gunakan pengering rambut atau keringkan menggunakan tuala sekiranya anda membasuh rambut pada waktu malam.

Memakai tudung ketika rambut masih basah akan memburukkan keadaan kelemumur anda. Beri peluang kulit kepala bernafas dengan baik.

5. Dapatkan rawatan kulit kepala setiap bulan

Walaupun mengunjungi salun bukan menjadi sebahagian daripada budaya Melayu, tetapi dengan pendidikan dan kesedaran diberikan semakin banyak salun Muslimah dibuka. Ini menjadikan wanita tidak lagi kekok dan lebih bersedia mendapatkan rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Disember 2019 @ 6:15 AM