GEMBIRA dengan kehadiran cahaya mata selepas menanti selama 19 tahun.
GEMBIRA dengan kehadiran cahaya mata selepas menanti selama 19 tahun.
Siti Zarinah Sahib

Hati wanita mana yang tidak sedih apabila diberikan pelbagai gelaran tidak subur, tidak boleh beranak dan paling menyedihkan apabila dikatakan mandul. Walaupun pelbagai usaha dilakukan sama ada rawatan moden atau tradisional namun rezeki itu adalah hak Allah dan Dia saja yang mengetahui bila masa terbaik untuk menganugerah zuriat kepada hamba-Nya.

Sebagai manusia tentunya ada rasa sedih, kecewa dan tertekan terutama dengan pandangan sinis masyarakat. Bagi pasangan yang mendapat 100 peratus sokongan keluarga terutama suami sudah tentu ia memberikan sedikit kelegaan.

Bagi Hadibah Abu Bakar, 46 dan Affendy Syed Omar, 47, penantian selama 19 tahun untuk mendapat zuriat pertama bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilalui bersama.

Dalam sabar menanti, mereka tidak putus berdoa dan sentiasa berfikiran positif akan dikurniakan zuriat yang comel. Melangsungkan perkahwinan pada November 1996, Hadibah yang berasal dari Skudai, Johor menjelaskan, pada tahun kedua perkahwinan dia dan suami menjalani pemeriksaan di hospital. Namun doktor mengesahkan mereka tidak mempunyai sebarang masalah.

“Selepas pemeriksaan kami rasa lega kerana tiada masalah dalaman. Namun saya tetap mengambil ubat tradisional yang dikatakan membantu meningkatkan kesuburan,” katanya yang tidak pernah mendapatkan sebarang rawatan kesuburan di hospital kerana mahu kehamilan berlaku secara semula jadi.

Tahun pertama hingga ketiga adalah detik yang sangat mencabar dan memenatkan. Hadibah terpaksa melayan banyak pertanyaan seperti bila mahu mengandung, adakah merancang dan mengapa tidak jalani rawatan. Ramai memberi pelbagai petua dan mengesyorkan mereka menjalani rawatan dengan individu tertentu.

“Tertekan juga kerana saya terpaksa menerangkan kepada mereka semuanya adalah kuasa Allah. Tekanan ini menyebabkan saya mengisi masa bersama suami dengan pelbagai aktiviti. Lama-kelamaan kami sendiri tidak kisah dan reda dengan ketentuan Allah.

“Sebagai wanita tipu jika dikatakan saya langsung tidak berkecil hati dengan cakap orang namun setiap pertanyaan dilayan dengan baik. Walaupun ada rasa sedih namun perasaan itu saya lontarkan jauh-jauh kerana tidak mahu mengganggu fikiran dan usaha mendapat zuriat,” katanya yang pernah hamil dua kali tetapi kedua-dua kandungan gugur pada usia 10 minggu.

“Insiden keguguran itu memang menyedihkan dan buat saya rasa tertekan kerana saya sangat mengharapkan agar ada keajaiban berlaku selepas disahkan hamil. Namun takdir Tuhan mengatasi segalanya. Saya reda dengan apa yang berlaku. Sekurang-kurangnya saya tahu, rahim saya sihat dan boleh hamil sendiri,” katanya sayu.

RASA TIDAK LAYAK UNTUK HAMIL

Apabila memasuki usia 40-an Hadibah mula merasakan yang dia tidak berpeluang bergelar ibu, mengandung dan menyusukan bayi sendiri. Tidak mahu terlalu lama memendam kesedihan dia dan suami menunaikan umrah pada 2013.

“Di sana jiwa lebih tenang, saya reda dan menerima takdir Allah ini. Tetapi seandainya masih apa peluang saya yakin Allah akan memakbulkan doa hamba-Nya yang tidak jemu meminta dan berusaha,” katanya positif.

Pada masa sama Hadibah tertarik untuk mencuba produk makanan sunnah berasaskan habbatus sauda iaitu Listra yang diambil pada September 2014 sebagai makanan tambahan.

“Selepas pengambilan botol ketiga haid saya lewat dua bulan. Walaupun hati kuat mengatakan yang saya mengandung namun saya tidak mahu terlalu menaruh harapan. Tanda juga jelas kelihatan, sakit pinggang, badan rasa tidak selesa dan loya. Saya memberanikan diri membuat ujian kehamilan sendiri. Alangkah bahagianya apabila keputusannya positif,” katanya gembira.

Hamil anak pertama pada usia 44 tahun, Hadibah menganggap ia sesuatu yang sangat menggembirakan. Malah sepanjang kehamilan Hadibah tidak mengalami sebarang masalah dan melalui tempoh sembilan bulan dengan gembira.

Dia juga mengelak untuk berfikiran negatif atau terlalu risau dengan fakta yang mengatakan kehamilan pada usia 40-an mempunyai risiko mendapat anak cacat. Namun Allah mempermudahkan kelahiran Nurmedina pada 2015.

“Syukur kepada Allah kerana memperkenankan doa saya. Selain berusaha saya yakin sekiranya kita sentiasa positif insya-Allah, Allah akan memakbulkan permintaan hamba-Nya yang banyak bersabar,” katanya yang kini berusaha untuk hamil anak kedua sebelum berusia 50 tahun.

ANAK PERTAMA DAN KEDUA

“Pada tahun pertama sehingga ketiga perkahwinan, saya hidup dalam tekanan kerana kata sinis orang sekeliling. Syukur suami sangat membantu dan sentiasa memberikan semangat,” kata Nur Afiza Abu Seman, 36, ibu kepada pasangan kembar yang menerima cahaya mata pada Disember 2016 selepas 13 tahun menanti.

Setiap kali ketibaan Aidilfitri atau menerima jemputan kenduri, Nur Afiza mula gelisah kerana perlu berhadapan dengan saudara-mara yang asyik bertanyakan mengenai status mereka yang masih ‘bujang’ tanpa anak.

“Anak adalah rezeki dan bukan manusia yang menentukan rezeki itu. Semuanya ketentuan Allah namun ramai orang yang tidak faham. Seolah-olah jadi satu kesalahan jika pasangan berkahwin tidak mempunyai anak. Perkara seperti inilah yang mencetuskan pergaduhan dengan pasangan.

“Jadi kami bersikap sederhana dan melalui hidup dengan gembira. Apa yang penting adalah berdoa, berusaha dan bertawakal. Sentiasa berfikiran positif dan selebihnya serah pada Allah,” katanya.

Tambahnya lagi, melayari bahtera rumah tangga berdua selama 13 tahun memang banyak cabarannya. Tanpa semangat dan kesabaran sudah pasti dia dan suami Khairuddin Rani, 39, tidak dapat melalui hari-hari mendatang dengan penuh kegembiraan.

Ujar Nur Afiza, dia dan suami pernah menjalani pemeriksaan di hospital dan doktor mengatakan mereka tiada masalah. Cuma Nur Afiza mempunyai haid yang tidak teratur sekali gus mengganggu proses untuk hamil.

“Saya tidak mahu terlalu memikirkannya. Pada masa sama saya turut mengambil pelbagai persediaan tradisional namun tidak berhasil sehinggalah saya ditemukan dengan produk habbatus sauda yang pada mulanya hanya diambil sebagai makanan tambahan bagi memperbetulkan kitaran haid,” katanya yang mengakui haidnya mulai teratur selepas beberapa bulan.

Selepas empat bulan, Nur Afiza mulai rasa kurang selesa, apabila nafsu makan berkurang, badan terasa panas seakan mahu demam manakala pinggang agak sakit. Tiada pengalaman mengandung membuatkan Nur Afiza tidak mahu menaruh harapan terlalu tinggi. Namun jauh di sudut hati dia mengharapkan sesuatu yang positif.

Apabila haidnya lewat dua minggu, Nur Afiza terus menjalani pemeriksaan dan alangkah terkejutnya apabila disahkan ada dua janin di dalam rahimnya.

“Saya bagaikan tidak percaya mengandung kembar, namun selepas doktor mengesahkannya barulah kami menerimanya. Syukur saya panjatkan kepada Allah atas rezeki yang sangat bermakna ini,” katanya yang mengakui mempunyai genetik kembar di sebelah ibu.

Melalui tempoh kehamilan yang mudah, akhirnya Nur Afiza melahirkan anak pertama dan kedua di Hospital Sungai Petani Kedah. Bayi comel itu diberi nama Nur Adra Kayyira dan Nur Adra Kayyisa yang kini memasuki usia lima bulan.

Setiap kali menatap wajah comel itu Nur Afiza sangat bersyukur kerana berkat doa setiap hari, usaha yang tidak pernah putus serta kesabaran yang tinggi Allah memperkenankan doa mereka.

LIMA TAHUN, KEMBAR TIGA

Ketika membuat imbasan kali pertama doktor mengesahkan Masuze Mohd Yusof, 32, mengandung kembar dua. Sehingga pada saat kelahiran barulah doktor memberitahu ada satu bayi lagi di dalam rahimnya.

“Siapa yang tidak terkejut kerana sebelum ini doktor hanya memberitahu saya mengandung kembar dua. Tidak sangka ketika proses kelahiran secara normal tiba-tiba bayi saya songsang dan perlu menjalani pembedahan segera disebabkan ada tiga bayi di dalam kandungan. Melalui proses pembedahan yang cepat tanpa sebarang komplikasi akhirnya lahirlah tiga bayi perempuan diberi nama Maisarah Athirah, Maisarah Adriana dan Maisarah Adlina,” katanya.

Masuze yang sebelum ini mempunyai tiga cahaya mata berusia 11, sembilan dan lima tahun mempunyai masalah haid berpanjangan selama sebulan. Malah dia turut mengalami gangguan kesihatan seperti cepat letih, sering berdebar-debar dan panas badan. Memikirkan kesihatan diri dia memberanikan diri membuat pemeriksaan.

“Doktor memberitahu terdapat sista dalam rahim yang menyebabkan haid berpanjangan selama sebulan. Menerusi rawatan yang disyorkan saya meminta untuk melakukan perubatan tradisional. Rakan memperkenalkan produk berasaskan habbatus sauda kerana ia bagus untuk mengecutkan sista dan saya teruja mencubanya,” katanya.

Tidak sangka amalan pengambilan makanan tambahan ini Listra Nu Derm menjadikan Masuze lebih subur sehingga hamil untuk kali keempat selepas lima tahun mencuba. Lebih menggembirakan apabila dia mengandung kembar tiga yang kesemuanya perempuan.

Dia yang bekerja di Pusat Latihan Perhutanan Kuala Berang mengakui selepas kelahiran ketiga-tiga cahaya mata, proses menjaga ketika dalam pantang agak mencabar kerana masing-masing melakukan perkara yang sama serentak. Oleh itu dia mengharapkan bantuan ibu bagi menguruskan ketiga-tiga bayinya.

“Alhamdulillah walaupun agak penat menguruskan si kecil namun semuanya memberikan pengalaman yang sangat berharga. Saya tidak pernah mengharapkan kelahiran kembar tiga namun inilah kurniaan Allah. Tugas saya dan suami sekarang adalah mendidik mereka sebaik-baiknya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2017 @ 11:33 AM