GAMBAR kiri, suami Zaidatun bersama anak mereka. Zaidatun ketika kandungan berusia 39 minggu.
GAMBAR kiri, suami Zaidatun bersama anak mereka. Zaidatun ketika kandungan berusia 39 minggu.
Siti Zarinah Sahib

Pengalaman dilalui Zaidatun Akmam Azmi, 28, apabila disahkan mengandung anak kedua hanya selama tiga hari sebelum bersalin pada usia kandungan 39 minggu sebenarnya boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.

Walaupun ada mengatakan tidak masuk akal kerana berlaku kepada ibu yang pernah melalui pengalaman hamil kali kedua namun daripada sudut perubatan kes sebegini tidak mustahil terjadi.

Menceritakan pengalaman ‘ajaib’ ini, menurut Zaidatun selepas melahirkan anak pertama Muhammad Aqil Farish Muhammad Fitri pada Januari 2014 dia mengalami kitaran haid yang tidak teratur. Pernah sehingga empat bulan tiada haid. Oleh itu dia langsung tidak menyangka boleh berbadan dua disebabkan tidak datang haid dalam tempoh yang lama.

“Bentuk badan yang tinggi dan besar juga menjadi alasan untuk saya tidak mengesyaki sebarang perubahan pada bahagian perut. Oleh kerana bersalin menerusi pembedahan menyebabkan berat badan saya kekal seperti ketika mengandung. Perut juga sedikit buncit kerana tidak berbengkung.

“Saya juga tidak mengalami sebarang alahan atau perubahan pada selera makan. Semuanya seperti biasa. Cuma saya suka mengunyah ais yang saya anggap sebagai perkara biasa,” katanya menjalankan kerja rumah seperti biasa termasuk kerja berat.

Suatu hari Zaidatun merasai kelainan pada bahagian perut seperti menegang dan mencucuk-cucuk. Sebelum ini dia pernah berjumpa doktor disebabkan sakit pinggang namun tiada imbasan atau pemeriksaan air kencing dilakukan. Doktor hanya mengatakan badan banyak angin dan membekalkan ubat bagi meredakannya.

“Pada 23 Februari 2015, kesakitan pada perut tidak berkurang malah semakin teruk. Saya langsung tidak menyedari ia adalah kontraksi disebabkan tiada pengalaman melaluinya untuk anak pertama. Lalu suami mengajak saya ke klinik untuk membuat pemeriksaan.

“Oleh kerana doktor bertugas tiada kepakaran dalam membuat imbasan jadi saya perlu menjalani ujian air kencing. Alangkah terperanjatnya kerana keputusan adalah positif. Memang saya sangat terkejut kerana langsung tidak menyedari hamil sedangkan selama ini saya langsung tidak berjaga-jaga dan melakukan aktiviti lasak termasuk mendaki Bukit Bendera, Pulau Pinang,” katanya sambil tersenyum.

Dengan perasaan cuak dan gembira bercampur-baur Zaidatun berkunjung ke klinik kesihatan untuk mendapatkan buku lawatan. Sangka ibu muda ini kandungannya baru berusia empat atau lima bulan namun selepas imbasan dia terkejut kerana bayi sudah cukup sifat dan berusia 39 minggu. Pada bila-bila masa sahaja dia dijangka boleh melahirkan anak.

“Lalu kes saya dirujuk ke Hospital Serdang untuk pemeriksaan serta persediaan kelahiran. Ketika itu kontraksi memang sudah ada tetapi tidak terlalu kuat. Saya masih mampu bertahan dan berharap dapat bersalin normal.

‘Pada masa sama saya seperti masih tidak percaya akan melahirkan cahaya mata kedua hanya selepas tiga hari mengetahui sedang mengandung. Persediaan memang langsung tiada, mujur anak pertama ketika itu berusia 11 bulan dan barangannya boleh digunakan untuk kelahiran kali ini,” katanya lagi.

Oleh kerana melalui kehamilan yang rapat dan menerusi pembedahan menyebabkan Zaidatun terpaksa melalui proses yang sama kerana dikhuatiri akan menimbulkan komplikasi jika bersalin normal.

“Alhamdulillah, saya selamat melahirkan cahaya mata kedua diberi nama Muhammad Iman Faidhi dengan cukup mudah. Saya anggap ia sebagai bayi ajaib kerana walaupun langsung tidak membuat persediaan kehamilan, menjalani rutin pemeriksaan bulanan, mengambil ubat-ubatan atau makanan tambahan namun Iman Faidhi sangat kuat dan sihat.

“Menjaganya juga sangat mudah kerana Iman tidak banyak kerenah. Antibodinya juga kuat dan jarang sakit. Dia juga cepat berjalan dan petah bercakap pada usia dua tahun. Saya bersyukur walaupun mengandung tanpa sedar namun Allah memberikan kesihatan dan kekuatan kepada saya dan bayi untuk melalui tempoh kehamilan dengan mudah,” katanya gembira.

Zaidatun menasihati wanita lain agar sentiasa mengambil tahu setiap perubahan diri terutama selepas melahirkan anak dan tidak mengamalkan sebarang perancang keluarga.

Walaupun haid tidak teratur namun tanda seperti berat badan tidak mahu turun, cepat penat dan perut yang semakin membuncit juga petanda sedang hamil. Dia juga mengakui pengalaman dilaluinya ini memberikan sesuatu yang cukup bermakna iaitu berkaitan dengan kawalan minda.

“Tidak merasai tanda kehamilan termasuk pergerakan bayi berpunca kerana saya sudah tetapkan di minda saya tidak mengandung. Bayangkan sebaik sahaja tahu sedang hamil 39 minggu serta-merta saya merasai pergerakan bayi yang sebelum ini tidak pernah dirasai,” katanya yang kini mempunyai anak ketiga Nur Zara Maryam yang berusia setahun tiga bulan.

HAMIL TUJUH BULAN TETAP BERSENAM

Bagi pelakon Eira Syazira, dia langsung tidak sedar hamil anak ketiga disebabkan tidak datang haid selepas melahirkan anak kedua pada 31 Disember 2016. Seingatnya ia adalah perkara biasa bagi wanita yang masih menyusukan bayi mereka sepenuhnya.

“Ketika itu berat badan masih belum turun dan saya mengambil jurulatih peribadi di gimnasium untuk menurunkan berat badan dan mendapat kembali berat ideal. Antara aktiviti yang saya lakukan adalah tinju, combat, squat dan lompat skip yang kesemuanya memerlukan saya bergerak pantas, melompat, mengangkat bebanan dan menggunakan sepenuh tenaga.

“Selepas melalui beberapa siri senaman saya hairan perut saya tetap tidak kempis. Malah saya rasa terlalu sukar untuk mendapatkan berat ideal 48 kilogram berbanding anak kedua,” katanya.

Namun Eira tetap tidak mahu membenarkan kata hatinya dan menolak yang dirinya sedang hamil sehinggalah dia menerima tawaran berlakon dalam drama yang memerlukannya memegang watak berat dan agresif. Dalam drama itu Eira menjadi wanita teraniaya yang disepak dan diterajang suami.

“Walaupun mudah letih ketika berada di set penggambaran tetapi saya langsung tidak terfikir mengenai kehamilan sehinggalah ibu mentua menegur badan semakin besar seperti mengandung. Begitu juga dengan kakak yang meminta saya jalani pemeriksaan. Ketika itu saya dapat rasakan ada sesuatu yang berbeza pada bentuk badan dan emosi.

“Perut saya juga sering tegang dan merasai seakan ada pergerakan bayi. Lalu saya membuat pemeriksaan sendiri di rumah. Alangkah terkejutnya dengan keputusan ujian yang positif,” katanya teruja.

Mahukan kepastian, Eira bertemu doktor dan membuat imbasan teliti. Doktor mengesahkan kandungan sudah memasuki tujuh bulan dan bayi berada dalam keadaan sihat dan cukup sifat.

Tambahnya lagi, berbeza dengan kandungan pertama dan kedua dia tidak melalui alahan seperti mabuk, pening dan muntah. Malah dia juga tidak kuat makan atau mengidam sesuatu.

“Mungkin juga kerana minda saya mengatakan yang saya tidak mengandung menyebabkan simptom ini tidak dirasai. Mujur juga saya mengamalkan pemakanan sihat dengan banyakkan sayur-sayuran dan buah-buahan membuatkan saya tidak bimbang mengenai ubat-ubatan yang tidak saya ambil ketika awal kandungan.

“Walaupun usia kandu­ngan sudah tujuh bulan lebih dan bakal melahirkan cahaya mata pada Disember ini namun saya masih bersenam di gimnasium menerusi aktiviti bersesuaian. Pada usia kandungan begini ia sangat berbeza, saya langsung tidak letih, mengantuk atau cepat penat. Berbeza ketika kehamilan pertama dan kedua,” katanya yang akan menjalani kelahiran menerusi pembedahan untuk anak ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2017 @ 12:57 PM