Reuters

Kyiv: Presiden Rusia Vladimir Putin menggesa tentera Ukraine untuk menggulingkan pemimpin politik negara itu dan melaksanakan rundingan damai.

Ia ketika pihak berkuasa di Kyiv menyeru warganya untuk mempertahankan ibu negara bagi mempertahankan ibu negara bagi menghadapi kemaraan tentera Rusia.

Kementerian Pertahanan memberitahu penduduk untuk membuat bom petrol bagi mengekang musuh.

Pada malam Jumaat, saksi menyatakan mereka melihat tembakan dan peluru yang bertalu-talu di bahagian barat bandar itu.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy merakam gambarnya bersama pembantu di jalanan, dan berazam untuk mempertahankan kemerdekaan Ukraine.

Beberapa keluarga bersesak-sesak di tempat perlindungan selepas Kyiv diserang dengan peluru berpandu Rusia untuk malam kedua.

Ada yang terdesak cuba menaiki kereta api menuju ke arah barat, manakala ratusan ribu yang lain meninggalkan rumah untuk ke lokasi lebih selamat, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Selepas amaran selama berminggu-minggu oleh pemimpin Barat, Putin melaksanakan penjajahan dari tiga bahagian iaitu utara, timur dan selatan pada Khamis.

"Saya sekali lagi merayu kepada anggota pasukan keselamatan Ukraine: jangan membenarkan neo-Nazi dan (nasionalis radikal Ukraine) menggunakan anak, isteri dan warga tua anda sebagai perisai," kata Putin menerusi mesyuarat dengan Majlis Keselamatan Rusia.

Putin sebelum ini menyatakan untuk menyingkirkan elemen pengaruh Nazi pada kepimpinan Ukraine sebagai sebab utama penjajahan itu.

Beliau mendakwa berlaku genosid atau penghapusan bangsa terhadap penduduk berbahasa Rusia di timur Ukraine.

Bagaimanapun, ia dinafikan oleh Ukraine dan sekutu Barat sebagai satu propaganda.

Moscow mendakwa sudah menawan landasan udara Hostomel di barat laut ibu negara Ukraine dan ia berpotensi lokasi untuk melancarkan serangan ke atas Kyiv.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Februari 2022 @ 9:06 AM