PERGUNUNGAN Alps di Switzerland, popular dengan aktiviti luncur air dan sukan ekstrem lain. FOTO fail AFP
PERGUNUNGAN Alps di Switzerland, popular dengan aktiviti luncur air dan sukan ekstrem lain. FOTO fail AFP
BERNAMA

Geneva: Satu rangka manusia yang dikenal pasti milik seorang pendaki gunung yang hilang sejak lebih 50 tahun lalu ditemukan ketika salji dan ais mencair di glasier Switzerland.

Identiti rangka lelaki warga Britain itu dikenal pasti, kata polis daerah Valais pada Khamis.

Dua pendaki gunung menjumpai rangka manusia itu pada 3 Ogos di glasier Chessjen berhampiran Saas Fee.

Pakar forensik menjalankan penyelidikan di hospital Valais, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Analisis asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan rangka itu milik lelaki yang dilaporkan hilang pada Julai 1971.

Menurut polis daerah, pihaknya menyimpan senarai nama semua pendaki gunung yang dilaporkan hilang sejak 1925.

"Glasier yang semakin mencair mungkin akan mendedahkan kepada penemuan lebih banyak pendaki gunung yang dilaporkan hilang sejak beberapa dekad lalu," kata polis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2023 @ 3:36 PM