LOGO TikTok di luar pejabatnya di Culver City, California. FOTO AFP
LOGO TikTok di luar pejabatnya di Culver City, California. FOTO AFP
BERNAMA

London: TikTok kini sumber tunggal berita yang paling banyak digunakan di semua platform untuk remaja di United Kingdom (UK), lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik satu kajian baharu pengawal selia komunikasi UK, Ofcom.

Laporan Penggunaan Berita Pengawal Selia Di UK 2022/23 mendapati TikTok adalah sumber berita tunggal yang digemari dalam kalangan kanak-kanak berumur 12 hingga 15 tahun.

TikTok paling popular dalam kalangan orang muda dan digunakan oleh 28 peratus remaja, diikuti oleh YouTube dan Instagram, kedua-duanya pada 25 peratus.

Bagaimanapun, dengan mengambil kira semua kandungan berita pada platformnya, BBC masih mempunyai capaian tertinggi daripada mana-mana organisasi berita dalam kalangan kumpulan umur ini - 39 peratus remaja menggunakannya.

Kecenderungan itu berlaku selepas kerajaan UK melarang menteri daripada menggunakan TikTok, yang menjadi aplikasi perkongsian video milik China, pada telefon kerja mereka berikutan satu semakan keselamatan.

TikTok dimiliki oleh syarikat internet China ByteDance, berpendapat platform itu tidak berkongsi data dengan China.

Bagaimanapun, undang-undang perisikan Beijing menetapkan syarat supaya syarikat-syarikat membantu Parti Komunis, apabila diminta.

Sementara itu, platform media sosial mendominasi lima sumber berita paling popular dalam kalangan remaja berusia 16 hingga 24 tahun.

Instagram adalah sumber berita tunggal yang paling banyak digunakan pada 44 peratus, diikuti oleh Facebook pada 33 peratus, Twitter pada 31 peratus, dan TikTok pada 29 peratus.

Sementara itu, Facebook - sumber berita ketiga paling popular dalam kalangan orang dewasa - menunjukkan tanda penurunan, daripada 33 kepada 30 peratus dalam tempoh lima tahun lalu.

Populariti TikTok sebagai sumber berita untuk orang dewasa semakin berkembang, dengan satu daripada 10 orang dewasa mengatakan mereka menggunakannya untuk mengikuti cerita terkini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2023 @ 1:27 PM