Gambar hiasan
Gambar hiasan
AFP

Paris: Polis di Perancis dan Belgium menumpaskan kumpulan penjenayah yang menggunakan saman palsu mahkamah untuk menuduh orang ramai menonton foto penderaan seksual kanak-kanak bagi tujuan pemerasan.

Peras ugut menggunakan penipuan pancingan data (phishing scam) itu sekurang-kurangnya menyebabkan kerugian €3.5 juta (kira-kira RM17.9 juta), dengan ada mangsa yang membunuh diri kerana tertekan.

Sindiket dipercayai menghantar emel palsu daripada polis, hakim atau institusi seperti Europol bagi mengancam mangsa dengan pendakwaan, melainkan mereka membayar sejumlah 'denda'.

Polis berkata, sudah menahan 18 suspek di Perancis dan seorang di Belgium dalam operasi pada Isnin, serta semua mereka kecuali tiga orang dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan penipuan.

Semua suspek itu berusia antara 20 hingga 50 tahun.

Dalam kenyataan Jumaat lalu, polis memaklumkan seorang daripada mangsa yang diperdaya sebanyak dua kali bertindak membunuh diri dan enam lagi berisiko melakukan demikian.

"Kami sangka penipuan ini dilakukan oleh satu struktur berpusat. Rupa-rupanya, ia dikendali beberapa kumpulan yang tidak berkaitan," kata Ketua Unit Khas Polis Perancis Kolonel Thomas Andreu.

Nilai yang diperas ugut daripada mangsa adalah serendah €5,000 (RM25,567.59) hingga €200,000 (RM1,022,703.79), katanya.

Sindiket penipuan bermula pada 2021, mendorong bahagian jenayah siber pejabat pendakwaan Paris membuka siasatan.

Menjelang Jun 2022, sebanyak 400 aduan berkaitan scam dilapor kepada pihak berkuasa.

Komisioner Christophe Durand berkata, mangsa penipuan menderita tekanan yang melampau.

Sebahagian wang yang diperas ugut daripada mangsa lelaki - umur lingkungan 60 tahun - dibelanjakan di Perancis, tetapi kebanyakannya dihantar ke Ivory Coast dan negara Afrika lain.

Kata polis, mangsa lelaki yang diperdaya dua kali, membuat bayaran pertama sebanyak €5,978 (RM30,568.62) sebelum penjenayah itu meminta bayaran €7,480 (RM38,249.12).

"Berasa tidak berdaya dan terperangkap, dia akhirnya meragut nyawanya sendiri," kata polis.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Jun 2023 @ 1:45 PM