GENEVIEVE Lhermitte (kanan) ketika menghadiri prosiding kesnya di mahkamah di Nivelles, Belgium, pada 2008. FOTO fail AFP
GENEVIEVE Lhermitte (kanan) ketika menghadiri prosiding kesnya di mahkamah di Nivelles, Belgium, pada 2008. FOTO fail AFP
AFP

Brussels: Seorang wanita Belgium yang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup akibat membunuh lima anaknya, memohon hayatnya ditamatkan melalui undang-undang khusus di negara itu.

Peguam Nicolas Cohen yang berusia 56 tahun mengesahkan, anak guamnya, Genevieve Lhermitte meninggal dunia melalui eutanasia pada ulang tahun ke-16 tragedi pembunuhan itu, Selasa lalu.

Katanya, keputusan anak guamnya itu selepas mengambil kira perundangan Belgium serta mendapatkan pelbagai pandangan perubatan.

Undang-undang Belgium membenarkan orang ramai memilih untuk mengakhiri hayat, jika mereka dianggap mengalami masalah psikologi yang tidak boleh ditanggung dan bukan hanya fizikal yang tidak dapat diubati.

Individu itu perlu sedar keputusan mereka dan dapat menyatakan hasrat mereka dengan cara yang munasabah dan konsisten.

Pakar psikologi, Emilie Maroit memberitahu saluran RTL-TVI, Lhermitte mungkin memilih untuk mati pada 28 Februari dalam isyarat simbolik untuk menghormati anak-anaknya.

"Mungkin juga dia harus menyelesaikan apa yang dia mulakan kerana pada dasarnya dia mahu menamatkan hidupnya apabila dia membunuh mereka," katanya.

Lhermitte mengelar anak lelaki dan empat anak perempuannya berusia tiga hingga 14 tahun dengan pisau dapur di rumah keluarga di bandar Nivelles, pada 28 Februari 2007, ketika ketiadaan bapa kanak-kanak itu.

Dia kemudian cuba membunuh diri dengan menikam dirinya sendiri, namun percubaan itu gagal dan dia akhirnya menghubungi perkhidmatan kecemasan.

Lhermitte dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada 2008 sebelum dipindahkan ke hospital psikiatri pada 2019.

Peguam Lhermitte berhujah, anak guamnya yang kerap berjumpa pakar psikiatri kerana mengalami gangguan mental dan tidak sepatutnya dihantar ke penjara.

Namun, juri mendapati dia bersalah atas pembunuhan terancang dan menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup selepas mendengar kepakaran perubatan yang bercanggah.

Pada 2010, Lhermitte memfailkan saman sivil menuntut sehingga AS$3.18 juta (RM14.23 juta) daripada seorang bekas pakar psikiatri yang mendakwa dia tidak bertindak atau gagal menghalang pembunuhan, namun dia akhirnya berputus asa selepas 10 tahun tidak berjaya.

Seramai 2,966 orang meninggal dunia melalui eutanasia di Belgium tahun lalu, meningkat 10 peratus berbanding 2021, menurut pihak berkuasa.

Katanya, kanser kekal sebagai penyebab nombor satu permohonan itu, namun hampir tiga daripada empat permintaan pesakit mengemukakan beberapa jenis penderitaan sama ada fizikal dan psikologi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mac 2023 @ 10:10 AM