ZAYN  Sofuoğlu  mahir menunggang motosikal dan memandu supercar walaupun baru berusia tiga tahun. FOTO Agensi
ZAYN Sofuoğlu mahir menunggang motosikal dan memandu supercar walaupun baru berusia tiga tahun. FOTO Agensi
Agensi

Ankara: Kanak-kanak lelaki di Turkiye mampu menunggang motosikal berkuasa tinggi dan memandu 'supercar' walaupun usianya baru tiga tahun.

Oddity Central melaporkan, Zayn Sofuoğlu adalah anak bongsu kepada pelumba motosikal Turkiye, Kenan Sofuoğlu.

Kanak-kanak itu menghabiskan sebahagian besar usia mudanya dengan menunggang motosikal berkuasa tinggi dan 'supercar'.

Dia juga mungkin mempunyai lebih banyak pengalaman berbanding kebanyakan orang dewasa.

Zayn belum berusia dua tahun ketika bapanya, yang memegang rekod lima gelaran Juara Dunia Supersport mula memuat naik videonya menunggang motosikal di jalan masuk rumah keluarga mereka.

Sejak itu, Zayn mengasah kemahirannya dan kini mahir memandu kereta walaupun tidak dapat melihat melalui cermin depan.

Jadi, tidak hairanlah Zayn mempunyai hampir satu juta pengikut di Instagram (IG) sahaja.

Ia kerana dia seorang kanak-kanak istimewa yang mampu melakukan perkara yang tidak diimpikan kanak-kanak seusianya.

Terbaru, tular klip video dimuat naik oleh ibu bapanya, yang menguruskan semua laman sosialnya menunjukkan kanak-kanak itu menggunakan kamera GoPro yang dipautkan ke tablet di dalam kereta Ferarri SF 90 Stradale milik keluarga.

Pemandu dewasa sekalipun akan gugup untuk memandu 'supercar' buat kali pertama terutamanya dalam ruang yang agak sempit tetapi tidak bagi Zayn.

Dalam keadaan matanya perlu memandang tablet dalam kereta dan bergelut untuk mencapai pedal, dia menggerakkan Ferarri merah dengan mudah untuk menggembirakan bapanya

Biarpun Zayn ada bakat memandu dan menunggang motosikal, ibu bapanya sentiasa memantau untuk memastikan tiada perkara tidak diingini berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2023 @ 3:29 PM