ISLA McNabbs, ahli Mensa perempuan termuda dunia. FOTO  Guinness World Records.
ISLA McNabbs, ahli Mensa perempuan termuda dunia. FOTO Guinness World Records.
Agensi

Washington: Ketika kanak-kanak seusia dengannya meraikan hari lahir dengan permainan, Isla McNabb pula menyambut ulang tahun ke-2 dengan menyebut perkataan yang ditulis pada tablet boleh padam.

Anak kelahiran Crestwood, Kentucky di Amerika Syarikat (AS) ini dalam misi menjadi ahli termuda Mensa, iaitu kelab masyarakat IQ tinggi tertua dunia.

Ibu bapanya, Jason dan Amanda memberitahu Guinness World Records yang mereka menyedari tahap intelektual anaknya berbeza dengan kanak-kanak lain selepas diberi tablet itu oleh ibu saudara sebagai hadiah hari jadi.

Jason menulis perkataan 'merah (red)' pada papan berkenaan dan Isla menyebut perkataan itu walaupun dia di bawah usia empat atau lima tahun, umur yang mana kanak-kanak berupaya menyebut perkataan.

Selepas itu, Jason berkata, dia mula menulis perkataan-perkataan lain untuk merangsang anaknya sehingga mereka membuat keputusan untuk membawa Isla menjalani ujian IQ.

"Pakar psikologi yang menguji Isla mengkhusus dalam kanak-kanak berbakat (gifted children). Dia beritahu jarang menguji kanak-kanak tetapi membuat pengecualian selepas mendengar mengenai bakat Isla," katanya.

Isla akhirnya mendapat markah dalam peratusan ke-99 kecerdasan bagi umur menurut ujian IQ Stanford-Binet dan berusia dua setengah tahun ketika ujian itu.

Pada 2 Jun 2022, Guinness secara rasmi mengiktirafnya sebagai ahli Mensa perempuan termuda di dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2023 @ 3:47 PM