GAYA rambut Alfie Ransom seperti Ronaldo Nazario ketika musim Piala Dunia.
GAYA rambut Alfie Ransom seperti Ronaldo Nazario ketika musim Piala Dunia.
Agensi

London: Taasub dengan bintang bola sepak Brazil, Ronaldo Nazario, seorang kanak-kanak di England sanggup menggunting rambut mengikut gaya rambut pemain itu.

Bagaimanapun, gaya rambut 'istimewa' begitu tidak disukai pengurusan sekolah dan murid itu 'dihalau' ketika memasuki kelas, baru-baru ini.

Alfie Ransom, 12, dilapor Mirror, meminta ibunya mencukur kepalanya supaya kelihatan seperti Ronaldo ketika Piala Dunia 2002 yang dimenangi Brazil.

Kanak-kanak itu yang tinggal di bandar Hull, Yorkshire mempertimbangkan gaya rambut baharu selama berminggu-minggu dan apabila England memenangi perlawanan pertama Piala Dunia di Qatar yang lalu, dia memutuskan untuk meneruskan gaya rambut Ronaldo.

Ibunya, Emma Shaw menerima panggilan daripada pihak sekolah pada pagi Rabu lalu yang memberitahu Alfie dihantar pulang kerana melanggar peraturan sekolah.

Ibu berusia 32 tahun itu mempersoalkan tindakan sekolah kerana potongan rambut anaknya tidak akan menjejaskan pembelajaran.

Dakwanya, pihak sekolah berkeras yang anaknya melanggar peraturan pakaian seragam dan tidak dibenarkan kembali semula sehingga rambut itu dicukur sepenuhnya.

"Pada masa kini, sekolah sepatutnya menerima sesiapa saja dan menggalakkan orang ramai untuk menjadi unik dan diri mereka sendiri. Bagaimanakah situasi ini berbeza?

"Ronaldo adalah salah seorang pemain kegemaran anak saya ketika musim Piala Dunia. Walaupun masih kecil, sentiasa ada trend mengikut apa yang dilakukan oleh bintang pop dan selebriti.

"Rakan Alfie menyukai potongan rambut ini dan membuatkan dia sangat gembira dan yakin. Dia suka ke sekolah tetapi dia tidak akan dibenarkan kembali sehingga dia mencukur rambutnya. Ini tidak masuk akal kerana ia tidak akan menjejaskan pembelajarannya," katanya.

Sekolah di United Kingdom mempunyai peraturan ketat berhubung pemakaian pakaian seragam sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk memperincikan mengenai solekan, pengilat kuku dan potongan rambut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 November 2022 @ 3:35 PM