Shaqiri (kiri) pernah meniru gaya rambut legenda Brazil, Ronaldo. FOTO File Agensi
Shaqiri (kiri) pernah meniru gaya rambut legenda Brazil, Ronaldo. FOTO File Agensi
Agensi

PERANCANG tengah Liverpool, Xherdan Shaqiri mendedahkan di meniru gaya rambut segi tiga popular Ronaldo ketika zaman remajanya sebagai dedikasi kepada legenda Brazil itu.

Pemain Switzerland itu turut mengakui dia menangis apabila Brazil tewas kepada Perancis pada final Piala Dunia 1998.

Shaqiri turut mengikuti jejak langkah Ronaldo pada 2015 apabila dia beraksi buat Inter Milan, sama seperti superstar Brazil itu yang melakukannya antara 1997 dan 2002.

Pemain sayap Reds berusia 28 tahun itu berkata, dia sentiasa menjadikan pemain legenda itu antara pemain bola sepak terhebat sepanjang zaman.

Xherdan Shaqiri bergelut memburu tempat dalam kesebelasan utama Liverpool. FOTO LiverpoolFC
Xherdan Shaqiri bergelut memburu tempat dalam kesebelasan utama Liverpool. FOTO LiverpoolFC

Dia memberitahu laman rasmi Liverpool : “Dia adalah idola besar saya, idola terbesar. Saya meniru gaya rambutnya juga pada 2002, berbentuk segi tiga - saya memang melakukannya.

“Semua orang di sekolah terkejut apabila saya ke sekolah dengan gaya rambut berkenaan. Tetapi saya tetap minat dan masih lagi kagum dengannya.

“Dia adalah idola besar saya. Saya harap dapat bertemu dengannya.”

Ditanya sama ada pemain sayap yang memiliki tendangan deras itu cuba meniru gaya permainan Ronaldo, dia berkata tidak tapi mengakui terkejut apabila pemain itu tewas dalam salah satu perlawanan terbesar dalam kariernya.

Tambahnya : “Saya tidak begitu meniru dia, kerana setiap pemain berbeza dan mempunyai kepakaran serta bakat yang berlainan.

“Tapi dia adalah hero utama saya suatu masa dahulu.

“Apabila dia tewas dalam perlawanan berdepan Perancis pada final (Piala Dunia 1998), saya menangis di rumah. Saya peminat utamanya.”

Shaqiri berterusan dikaitkan dengan perpindahan keluar dari Anfield ketika Sevilla dan Roma dikatakan berminat mendapatkan khidmat bekas pemain Stoke dan Bayern Munich itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2020 @ 2:33 PM