GAYA rambut ‘ponytail’. FOTO HIASAN.
GAYA rambut ‘ponytail’. FOTO HIASAN.
Agensi

Tokyo: Pelajar sekolah di Jepun sememangnya diwajibkan mematuhi etika pakaian seragam yang ketat bermula dengan stoking hingga warna pakaian dalam.

Bagaimanapun ada satu peraturan yang mengundang kritikan, bukan hanya kerana tidak masuk akal tetapi alasan di sebaliknya.

Bekas guru sekolah, Motoki Sugiyama berkata, pengurusan sekolah memberitahunya bahawa pelajar perempuan tidak dibenarkan mengikat rambut gaya ekor kuda (ponytail) kerana akan menampakkan tengkuk yang boleh 'merangsang seksual' pelajar lelaki.

"Mereka bimbang pelajar lelaki melihat pelajar perempuan, sama seperti alasan di sebalik peraturan hanya pakaian dalam berwarna putih sahaja dibenarkan," katanya kepada Vice World News.

Menurutnya, dia kerap mengkritik peraturan sebegitu tetapi disebabkan kurangnya suara kritikan daripada pelbagai pihak, akhirnya peraturan itu menjadi normal dan pelajar tiada pilihan selain menerimanya.

Tiada statistik yang menunjukkan sekolah menguatkuasakan larangan gaya rambut ponytail tetapi kaji selidik pada 2020 memperlihatkan satu daripada 10 sekolah di wilayah selatan Fukuoka melarang gaya rambut itu.

Sugiyama sudah mengajar di lima sekolah berbeza di Shizuoka selama 11 tahun, yang semuanya melarang gaya rambut ponytail, sekali gus menjadi misi peribadinya untuk mendedahkan peraturan tidak munasabah, menyertai seruan yang mendesak sekolah menggugurkan peraturan bersifat seksis dan menghalang ekspresi diri kanak-kanak.

Pada Jun lalu, bantahan daripada pelajar dan ibu bapa terhadap peraturan itu mendorong kerajaan Jepun meminta semua lembaga sekolah di wilayah untuk menyemak semula peraturan yang zalim.

Sesetengah institusi telah mengubah cara mereka tetapi amalan berpuluh tahun itu mengambil masa untuk dihapuskan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2022 @ 3:19 PM