RAKAMAN gambar Karimi Nasseri di Lapangan Terbang Charles De Gaulle yang yang diambil pada 12 Ogos 2004. FOTO AFP
RAKAMAN gambar Karimi Nasseri di Lapangan Terbang Charles De Gaulle yang yang diambil pada 12 Ogos 2004. FOTO AFP
AFP

Bobigny, Perancis: Lelaki warga Iran yang pernah 'terperangkap' selama 18 tahun di Lapangan Terbang Charles de Gaulle di luar ibu negara Perancis, meninggal dunia pada Sabtu di terminal, menurut pihak berkuasa lapangan terbang itu.

Mehran Karimi Nasseri, 77, yang menggelar dirinya sebagai Sir Alfred meninggal dunia di Terminal 2F lapangan terbang itu akibat serangan jantung, kata pegawai lapangan terbang itu kepada AFP.

Karimi Nasseri pernah 'menetap' di situ selepas tidak dapat memasuki Perancis berikutan kehilangan dokumen yang mengesahkan statusnya sebagai pelarian pada 1988.

Dia menjadikan ruang kecil di lapangan terbang itu dengan sebuah bangku plastik sebagai lokasi untuknya berteduh dan bermalam dengan sokongan daripada orang ramai serta pekerja di situ.

Kisah Karimi Nasseri itu mendapat perhatian media antarabangsa dan menjadi inspirasi kepada pengarah Hollywood, Stephen Spielberg untuk menerbitkan filem 'The Terminal' pada 2004 yang dibintangi Tom Hanks dan Catherine Zeta-Jones.

Hanks memainkan watak lelaki yang terperangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa JFK New York selepas negara asalnya runtuh akibat revolusi, jalan cerita yang diinspirasikan daripada kisah hidup Karimi Nasseri.

RAKAMAN gambar pada 12 Ogos 2004 ketika Karimi Nasseri tidur di Lapangan Terbang Charles De Gaulle. FOTO AFP
RAKAMAN gambar pada 12 Ogos 2004 ketika Karimi Nasseri tidur di Lapangan Terbang Charles De Gaulle. FOTO AFP

Dilahirkan pada 1945 di Masjed Soleiman di wilayah Khuzestan, Iran, Karimi Nasseri menetap di Terminal 2F, Lapangan Terbang Charles de Gaulle pada November 1988 selepas terbang dari Iran ke London, Berlin dan Amsterdam dalam usaha mencari ibunya.

Dia diusir pihak imigresen di London, Berlin dan Amsterdam kerana gagal mengemukakan mengemukakan dokumen perjalanan yang sah, sebelum terkandas di Perancis .

Di Lapangan Terbang Charles de Gaulle, Karimi Nasseri mendapat sokongan orang ramai secara tidak formal di lapangan terbang itu dengan menyediakannya makanan dan bantuan perubatan, selain sumbangan buku dan radio.

Pada 1999, Karimi Nasseri diberikan status pelarian dan hak untuk menetap di Perancis.

"Saya tidak pasti apa yang saya mahu lakukan, tinggal di Roissy (Lapangan Terbang Charles de Gaulle) atau pergi," katanya selepas diberikan hak untuk tinggal di Perancis.

"Saya mempunyai dokumen (status pelarian) sah, saya boleh tinggal di sini, saya fikir harus memikirkan dengan teliti semua pilihan sebelum membuat keputusan."

"Dia tidak lagi mahu meninggalkan lapangan terbang ini," kata peguamnya Christian Bourguet ketika itu. "Dia takut untuk pergi."

Selepas diberi status pelarian dan kebenaran untuk tinggal di Perancis pada 1999, dia masih menetap di lapangan terbang terbabit sehingga 2006.

Dia kemudian meneruskan kehidupan di sebuah asrama menggunakan wang yang diterima menerusi filem 'The Terminal', lapor akhbar Liberation.

Bagaimanapun, Karimi Nasseri kembali ke lapangan terbang itu beberapa minggu lalu dan menetap di situ, kata pihak berkuasa Lapangan Terbang Charles de Gaulle.

Dia kemudian meninggal dunia di situ dengan bersamanya ditemukan wang beberapa ribu euro, kata pegawai lapangan terbang itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 November 2022 @ 11:30 AM