VLADIMIR Putin. FOTO Sputnik/ Reuters
VLADIMIR Putin. FOTO Sputnik/ Reuters
AFP

Kyiv: Presiden Rusia Vladimir Putin berkata, penyertaan Sweden dan Finland dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) tidak akan menjadi ancaman kepada Rusia, tetapi memberi amaran kepada perikatan Barat bahawa memindahkan tentera atau senjata ke negara jiran Nordic akan menimbulkan 'tindak balas'.

Dalam keadaan Moscow masih meneruskan serangannya di kawasan sempadan timur Ukraine sejak tiga bulan lalu, Helsinki dan Stockholm bersedia melepaskan dasar ketenteraan berkecuali selama berdekad-dekad kerana bimbang negara itu akan menjadi sasaran seterusnya

Perdana Menteri Sweden Magdalena Andersson mengesahkan semalam, negaranya akan memohon untuk menyertai Nato, sehari selepas Finland yang berkongsi sempadan 1,300 kilometer dengan Rusia mengumumkan hasrat sama.

Putin yang mencetuskan perang dan menyebabkan kemarahan global serta membunuh beribu orang itu berkata, pengumuman dua negara itu tidak memberi ancaman kepada Moscow.

Namun, perkembangan aset dan infrastruktur ketenteraan di wilayah sempadan sudah pasti akan menimbulkan tindak balas.

Reaksi pemimpin Rusia yang lebih sederhana itu berbeza dengan komen awal daripada Timbalan Menteri Luar Negeri Sergei Ryabkov yang menggelar langkah itu sebagai 'kesilapan besar yang mengakibatkan kesan meluas'.

Sebarang tawaran keahlian mesti diluluskan sebulat suara oleh 30 negara anggota Nato.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2022 @ 9:58 AM