WANITA berswafoto di bukit Vorobyovy, Moscow. FOTO AFP
WANITA berswafoto di bukit Vorobyovy, Moscow. FOTO AFP
AFP

Moscow: Rusia berkata, ia mengusir diplomat dari tiga negara Eropah sebagai tindakan balas terhadap langkah yang diambil terhadap utusan Moscow berhubung operasi ketenteraan Kremlin di Ukraine.

Kementerian Luar Rusia mengisytiharkan 15 diplomat dari Belanda sebagai persona non grata, memberi mereka masa dua minggu untuk keluar dari negara itu.

Moscow memberikan tarikh akhir yang sama kepada kakitangan Kedutaan Belgium selepas negara itu mengusir 21 utusan Rusia, bulan lalu.

Walaupun Rusia sudah memberi amaran bahawa ia akan bertindak balas dengan mengikut 'prinsip timbal balik', kenyataan itu tidak menyatakan berapa ramai kakitangan Belgium diarah keluar.

Empat diplomat Austria diberi sehingga Ahad untuk meninggalkan Rusia, menunjukkan putusnya hubungan dengan negara yang berkecuali itu sejak Perang Dingin.

Pengumuman Moscow dibuat seminggu selepas Canselor Austria Karl Nehammer menjadi pemimpin Eropah pertama melawat Presiden Rusia Vladimir Putin sejak Kremlin melancarkan operasi ketenteraannya di Ukraine pada 24 Februari lalu.

Pengusiran itu adalah yang terbaharu dalam siri langkah yang diambil antara Moscow dan negara-negara Barat susulan kempen ketenteraan Rusia.

Serangan itu menyebabkan Rusia dipulau masyarakat antarabangsa dan memutuskan banyak hubungan ekonominya dengan Barat.

Tetapi Rusia masih belum bertindak balas terhadap keputusan Jerman dan Perancis selepas masing-masing menghantar pulang 40 utusan Moscow.

Wakil Luxembourg dipanggil pada Selasa dan diberi amaran bahawa Rusia mungkin memutuskan untuk mengambil tindakan balas berikutan pengusiran negara kecil Eropah itu terhadap duta Moscow.

Kementerian luar Rusia menggelar keputusan Belanda untuk mengusir utusannya sebagai "tidak berasas" dan langkah yang diambil oleh Belgium sebagai "provokatif."

Katanya, pengusiran Austria terhadap empat warga Rusia "merosakkan hubungan dua hala dengan serius".

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2022 @ 10:08 AM